POKOK SENA: Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hairan terhadap sikap pihak tertentu yang terlalu mendesak supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.
Menteri Besar Kedah itu turut mempersoalkan sama ada kumpulan yang membuat desakan tersebut merasakan mereka mampu menang sekiranya PRU diadakan secepat mungkin.
Katanya, peringkat kepimpinan negeri-negeri, beliau tidak nampak ada pihak yang beria-ia mahukan supaya pilihan raya diadakan segera.
“Sebelum ini Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor telah buat kenyataan sama untuk menunggu sampai habis penggal untuk pelaksanaan pilihan raya. Di peringkat negeri, nampaknya tak ada isu sangat.
“Tetapi tak tahulah di peringkat mana (kalut nak adakan PRU). Saya pun hairan pasal apa yang ‘pulun’ nak PRU sangat? Boleh menangkah?
“Kalau nak PRU sangat, saya takut nanti mereka kalah teruk lagi. Jadi tunggulah sampai habis penggal, tak perlu kalut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan penyampaian sumbangan bantuan wang ihsan kepada 358 ketua isi rumah di Pejabat Daerah dan Tanah Pokok Sena di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam temu bual eksklusif bersama Nikkei Asia baru-baru ini yang bertegas menunggu waktu sesuai bagi mengadakan pilihan raya, walau didesak pihak tertentu supaya menyegerakannya.
Muhammad Sanusi menegaskan, ketika ini semua pihak tidak seharusnya membuat sebarang spekulasi mahu pun menekan mana-mana pihak supaya segera melaksanakan PRU.
“Sementara belum habis penggal ini, kita usahalah untuk atasi apa juga masalah yang sedang berlaku. Tak perlulah kita sebarkan salah mana-mana individu.
“Semua itu tidak mendatangkan faedah kepada negara. Kerana satu atau dua orang punya pasal, habis negara ini nak diheret,” katanya.
Tempoh penggal Parlimen sekarang akan berakhir pada 16 September 2023 manakala memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang untuk tidak mengadakan PRU15 akan tamat pada 31 Julai ini. – UTUSAN











