Ramai mahu audit forensik

Ramai mahu audit forensik

Farhash Wafa Salvador
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Banyak pihak mencadangkan agar satu audit forensik dilakukan oleh entiti bebas terhadap mekanis­me pemilihan jawatan dalam PKR supaya ia dilihat bebas daripada campur tangan pihak berkepentingan.

Bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador berkata, beliau boleh menerima kekalahan jawatan Naib Presiden sekiranya segala kesangsian dan keraguan terhadap pemilihan parti yang didakwa tercemar dapat diatasi.

Malah, beliau berkata, calon-calon lain boleh berlapang dada menerima keputusan itu sebagai sesuatu yang sah manakala yang menang boleh terus menjalankan tanggungjawab mereka tanpa rasa sangsi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehubungan itu katanya, gesaan semua calon yang membuat bantahan agar satu audit forensik oleh entiti bebas ke atas mekanisme pemilihan parti disusuli dan satu kiraan semula undi-undi di hadapan saksi terdiri daripada wakil-wakil calon adalah wajar.

“Syor saya supaya pertikaian sebegini tidak berulang di pemilihan akan datang adalah supaya sistem pemilihan parti ini benar-benar bebas daripada campur tangan pihak yang berkepentingan. Aplikasi-aplikasi yang digunakan tidak boleh ada kaitan dengan mana-mana ahli. Ia sepatutnya dikendalikan oleh entiti bebas.

“Begitu juga proses kiraan undi sepatutnya dapat dilakukan dengan lebih terbuka dengan keputusan disiarkan secara langsung. Saya amat berharap Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan parti mengambil serius pandangan calon-calon yang telah mengemukakan bantahan secara rasmi dan mengambilkira cadangan untuk penambahbaikan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Farhash menegaskan, keraguan mengenai perkara itu turut disuarakan calon-calon lain yang bertanding.

Katanya, itu bukan soal tidak berlapang dada menerima ke­kalahan, tetapi persoalannya sama ada berbangkit keraguan di atas kemungkinan sistem dan mekanisme pemilihan parti telah dikompromi dan berlakunya manipulasi oleh pihak tertentu.

“Jika dilihat secara kasar pun persoalan terhadap sistem pengundi atas talian (PAT) sudah mendedahkan satu mekanisme dan prosedur yang diragui ke­telusannya. Di sini semua undi dikumpul dan dikira oleh JPP yang terdiri dari ahli-ahli parti lalu diumumkan tanpa sebarang check and balance,” dakwanya.

Beliau menambah proses itu tidak berlaku dengan kehadiran pihak ketiga atau wakil-wakil calon, maka persoalan samada berlaku manipulasi adalah logik.

“Tiada siapa dari pihak calon mahupun pihak ketiga hadir dalam kiraan undi untuk mengesahkan bahawa angka-angka yang dicatat adalah benar.

“Kelewatan pengumuman keputusan sehingga beberapa hari selepas pemilihan sedangkan pengundian atas talian sepatutnya lebih memudahkan dan mempercepatkan proses, juga mendedahkan keputusan kepada manipulasi.

“Bayangkan dalam pilihan raya umum yang melibatkan jutaan rakyat yang mana undi dan kiraan dibuat secara fizikal sahaja pun, keputusannya boleh didapati dalam beberapa jam sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×