PUTRAJAYA: Pengesahan Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) berhubung pelanggaran protokol halal Thomas Food Industries (TFI) yang turut diakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuktikan segala pendedahan sebelum ini adalah benar.
Pada masa sama, pengakuan ‘the hood man’ bekas pekerja di rumah sembelih yang dikenali sebagai Abdullah berdasarkan bukti rakaman video, bukan semata-mata satu dakwaan atau membuat fitnah.
Susulan itu, timbul persoalan sejauh mana SICHMA selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan di Australia, melaksanakan perananmengikut piawaian halal Malaysia selama tempoh pelantikannya?
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber organisasi halal antarabangsa berkata, dalam maklum balas SICHMA kelmarin, pihaknya menyalahkan bekas pekerja sembelihan tersebut yang tidak membuat laporan terus kepada mereka ketika kejadian pelanggaran protokol halal itu berlaku.
Sedangkan katanya, terdapat penyelia halal yang ditugaskan di TFI dan adakah petugas itu tidak melaporkan kesalahan kepada mereka biarpun pekerja penyembelih sudah mengemukakan aduan mengikut amalan betul.
“Pengesahan SICHMA ini menimbulkan pelbagai persoalan lain, bagaimana sebenarnya berlaku dalam amalan pemeriksaan pematuhan halal di setiap rumah sembelihan.
“SICHMA mendakwa, jika mereka mengetahui kesalahan ini sudah tentu mereka menurunkan gred haiwan yang disembelih kepada status tidak halal. Di TFI, sebanyak 6,000 kambing disembelih setiap hari, jika ia dianggap tidak halal sudah tentu melibatkan kerugian besar kepada syarikat rumah sembelihan itu tetapi mengapa penyelia halal di situ tidak mengambil tindakan sewajarnya?
“Jika SICHMA pernah menurunkan gred haiwan yang disembelih dengan cara tidak halal, buktikan dengan statistik berapa banyak haiwan menjadi bangkai berdasarkan tindakan mereka sebelum ini,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, sumber berkata, SICHMA turut mendakwa tidak melantik mana-mana syarikat pengambilan pekerja untuk bertindak bagi pihak mereka.
Akaun bersumpah
Namun katanya, adakah SICHMA mahu menafikan akuan bersumpah (SD) bekas penyembelih yang pernah bekerja di empat rumah sembelihan lain selain TFI yang turut diiktiraf badan itu bahawa mereka di bawah tanggungjawab seorang individu yang bertindak bagi pihak SICHMA dalam pemantauan halal.
“SICHMA lebih suka mempersoalkan motif ‘Abdullah’ dalam pendedahan ini namun tidak menyangkal bukti atau dakwaan yang dibuat.
“SICHMA telah bertahun-tahun beroperasi berasaskan perniagaan dan menuntut rumah sembelihan mendapatkan pekerja daripada syarikat pekerjaan yang dikendalikan individu itu.
“Penyembelih diarahkan supaya tidak berurusan dengan SICHMA tetapi perlu melalui individu itu yang bertindak sebagai perantara. Susunan kerja ini telah diterangkan beberapa penyembelih itu bukan sahaja ‘Abdullah’,” katanya.
Justeru katanya, kegagalan SICHMA dalam menjalankan tanggungjawab memantau protokol halal di luar negara bagi pihak Jakim perlu diambil serius kerana melibatkan sensitiviti umat Islam.
Oleh itu jelas beliau, Jakim perlu mengambil tindakan sewajarnya dan bersedia menarik balik pengiktirafan yang diberikan terhadap SICHMA selepas merosakkan reputasi dan kepercayaan yang diberikan.
Sejak 14 April lalu, akhbar ini mendedahkan status halal rumah penyembelihan itu yang diragui apabila prosedur didakwa tidak mengikut syariat Islam.
Laporan itu dibuat berdasarkan bukti rakaman video dan gambar menunjukkan haiwan-haiwan dilemaskan dalam takungan darah binatang yang disembelih terdahulu dan haiwan itu mati akibat lemas bukannya kerana disembelih.
Ini termasuk pengakuan terbuka sumber utama bekas penyembelih di rumah sembelihan itu yang mengakui segala dakwaan didedahkan mempunyai bukti bergambar dan rakaman video.- UTUSAN











