Kumpulan 'duri dalam daging' perlu dihadap ke Lembaga Disiplin UMNO

Kumpulan ‘duri dalam daging’ perlu dihadap ke Lembaga Disiplin UMNO

KHAIDIRAH Abu Zahar (dari kiri) Muhamad Akmal Saleh dan Siti Faizah Abdul Azis bersama kepemimpinan UMNO Bahagian Jasin dalam sidang akhbar di Japerun Merlimau, Lipat Kajang, Jasin, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dalam Parlimen Jasin menggesa Lembaga Disiplin parti mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan yang didakwa sebagai ‘duri dalam daging’ cuba memecahbelahkan muafakat di negeri ini.

ADUN Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh; ADUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar dan ADUN Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis membuat gesaan itu dalam satu sidang akhbar khas di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) Merlimau, Lipat Kajang, di sini hari ini.

Kata Muhamad Akmal, pemimpin yang terlibat tidak sepatutnya termakan dengan permainan persepsi dicetuskan pembangkang sehingga mengeruhkan keadaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, semua kenyataan dikeluarkan kumpulan itu adalah bersifat peribadi, meskipun mendakwa kononnya mewakili kepemimpinan peringkat bahagian.

“Sungguh sedih apabila fitnah yang dimulakan pihak pembangkang dikeruhkan lagi oleh individu-individu dalam UMNO sendiri yang mendakwa mewakili jawatan utama.

“Itu hanya bersifat peribadi dan tidak pernah sama sekali dibincangkan apatah lagi diputuskan oleh Biro Politik UMNO Bahagian Jasin, justeru kami menggesa agar individu ini dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin,” katanya.

Ditanya mengenai status hubungan mereka dengan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Abd. Rahman yang tidak muncul bersama pada sidang akhbar berkenaan, Muhamad Akmal menyatakan, ia adalah hak individu dalam mengemukakan pendapat.

“Itu (pendapat Hasan) bersifat peribadi, sama ada sealiran atau tidak kita boleh fikirkan sendiri, tapi mana-mana individu (ahli) yang nak bercakap bersifat peribadi, silakan, kita tiada masalah. Tetapi jika nak mengatakan untuk mewakili bahagian, ia perlulah berlaku perbincangan dengan Biro Politik dan juga Mesyuarat UMNO Bahagian dan sebelum ini memang tidak ada langsung mesyuarat itu dijalankan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi rombakan membabitkan jawatan Timbalan Pengerusi dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri.

“Kami tidak dimaklumkan (rombakan) dan tidak dibincangkan dalam pucuk pimpinan malah ura-ura mengenainya juga tidak kedengaran, namun apa jua keputusan parti, kita akan akur,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×