PETALING JAYA: Naib Presiden PKR baharu, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan kemenangan Rafizi Ramli dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden parti memberi sinar baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Katanya, pemilihan kali ini menandakan pembaharuan terhadap perjuangan Reformasi, malah menganggap PKR tidak kekurangan bakat, komitmen, dan semangat dalam kalangan ahli-ahlinya.
Malah, beliau menyifatkan parti itu mempunyai masa depan yang cerah kerana dibarisi pucuk pimpinan yang muda kerana Rafizi baru sahaja berusia 44 tahun, Datuk Seri Amirudin Shari (42), Chang Lih Kang (41) dan Nik Nazmi (40).
“Dengan gandingan Anwar-Rafizi, saya yakin ini adalah tiket terbaik untuk PKR menghadapi PRU-15. Keinginan kita untuk berkhidmat kepada parti dan rakyat tetap utuh.
“Sudah tiba masanya untuk kita mengetepikan perbezaan, merapatkan saf, dan mula mendapatkan semula kepercayaan rakyat. Kita harus fokus untuk memenangi PRU-15 dan memulihkan kerosakan yang telah dilakukan oleh dua kerajaan terakhir,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, katanya, keputusan pemilihan kali ini membuktikan bahawa ahli PKR menolak strategi ‘Khemah Besar’.
“Anggota kita telah menghantar isyarat jelas bahawa mereka mengharapkan PKR untuk memperkukuh gabungan Pakatan Harapan sedia ada.
“Mereka mahu kita menolak kepentingan politik dengan jalan pintas, menolak kerjasama dengan kuasa yang telah berulang kali menolak pembaharuan, keadilan sosial serta semangat berbilang kaum dan mengkhianati mandat rakyat.
“Kepimpinan baharu kita mesti bertindak balas terhadap isyarat yang jelas ini. Pemilihan parti telah berakhir, kerja untuk membina semula Malaysia mesti bermula,” katanya.-UTUSAN











