KUALA LUMPUR: Tindakan ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin bertindak keluar daripada Bersatu hanya memberi kesan negatif kepada parti itu, bukan kerajaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Azmi Hasan berkata, ini kerana mana-mana parti politik tidak bersedia untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat, sekali gus sokongan akan diberikan kepada kerajaan yang diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kedudukan kerajaan tidak tergugat kerana Zuraida termasuk yang lain sama ada Bersatu ataupun Parti Bangsa Malaysia (PBM), mereka belum sedia untuk PRU, jadi walaupun Zuraida keluar daripada Bersatu dan ingin bincangkan mengenai hal letak jawatan dalam Kabinet, ia tidak memberi kesan kepada kerajaan.
“Tetapi, jika Zuraida tarik sokongan, maksudnya Ismail tak ada pilihan selain membubarkan Parlimen, ini sudah pasti tidak mahu dilakukan mana-mana parti kecuali UMNO,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Seorang lagi penganalisis politik, Dr. Muhamad Nadzri Mohamed Nor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpandangan tindakan Zuraida itu hanya memberi kesan terhadap dominasi Bersatu dalam kerajaan hari ini.
“Mana-mana parti yang ada kuasa negara boleh membentuk dominasi atau mempunyai kuasa dominan. Dalam konteks ini, tunjang kepada kerajaan adalah Barisan Nasional (BN) berbanding Bersatu, jadi dominasi Bersatu tentu sekali semakin kurang.
“Sebab itu kalau lihat dari semasa ke semasa, ada corak di mana pemimpin yang menyokongnya telah menukar sokongan kepada pihak lain atau cuba membentuk parti baru seperti Zuraida,” ujarnya. – UTUSAN










