Tidak adil buat perbandingan 17 sukan gagal

Tidak adil buat perbandingan 17 sukan gagal

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengadakan sidang akhbar di Sukan SEA Vietnam 2021, semalam. Turut serta Ahmad Shapawi Ismail (kanan), Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (dua dari kiri), dan Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Nur Azmi Ahmad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Majlis Sukan Negara menyifatkan walaupun 17 sukan di Sukan SEA Vietnam 2021 disenaraikan gagal kerana tidak mencapai sasaran, namun jumlah itu hanyalah angka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, jika dilihat daripada senarai berkenaan terdapat sukan yang tidak termasuk dalam sukan yang dipertandingkan di Olimpik.

Justeru, adalah tidak wajar untuk membuat perbandingan dan pihak MSN bersedia untuk memperkukuhkan lagi sukan Olimpik di temasya dwi tahunan itu bagi membolehkan mereka menyumbang pingat emas.

“Kalau melihat kepada sukan Juijitsu, dance sports, catur dan sukan seperti triathlon yang kita hanya mempunyai sekelompok kecil yang beraksi. Jadi itu kita perlu lihat secara keseluruhan dan paling penting adalah sukan Olimpik. Walaupun apa cara pun, kita perlu mengekalkan sukan ini bagi mereka boleh menyumbangkan pingat emas.

“Jadi kita sudah melakukannya melalui program bersama persatuan sukan dan sebagainya. Kita mempunyai lebih banyak sukan yang menang dalam Sukan Olimpik namun tak ada sukan seperti renang yang berupaya menyumbang 21 emas kepada Singapura yang berbanding kita hanya satu.

“Olahraga sebagai contoh, menyumbangkan 22 emas kepada Vietnam manakala kita hanya lima. Ini yang perlu kita lihat… isinya bukan bukan kulit. Ini adalah bahagian yang akan kita laksanakan.

“Kita perlu melihat dalam diri sendiri, perkukuhkan program pelapis di peringkat negeri, SUKMA (Sukan Malaysia) dipertingkatkan kualiti dan sebagainya. Jadi semua ini akan kita lakukan berbanding hanya berdasarkan angka saja.

“Catur dibandingkan dengan olahraga, tak logiklah. Dance sports dibandingkan dengan gimnastik, itu pun tak logik kerana dance sports bukan sukan Olimpik manakala gimnastik pula sukan olimpik. Inilah situasinya, jadi tak boleh bandingkan gagal dengan cemerlang,” kata Shapawi.

Akuatik renang, bola keranjang, catur, dance sports, juijitsu, judo, kanu/kayak, memanah, mendayung, pencak silat, petanque, tenpin boling, bola tampar, futsal lelaki, triathlon, bola sepak dan esukan diletakkan dalam sukan yang gagal di Hanoi selepas tidak mencapai sasaran ditetapkan.

Akuatik terjun, olahraga, golf, gimrama, gimnastik artistik, bina badan, berbasikal, wushu, taekwondo, karate, menembak, billiard snuker, badminton dan muay berada dalam senarai sukan cemerlang.

Ping pong, sepak takraw, xiangqi, kick boxing, duathlon, kurash, lawan pedang, tenis dan tinju berada dalam klasifikasi memuaskan manakala futsal wanita berada di tahap sederhana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×