PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesan aplikasi digital al-Quran yang mengandungi penyelewengan atau tafsiran yang menyimpang antaranya merangkumi pengaruh mu’tazilah dan tafsiran berasaskan fahaman Syiah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, perkara itu hasil dapatan kajian yang dilaksanakan oleh Bahagian Penyelidikan Jakim pada tahun lalu mengenai penyelewengan pentafsiran ayat-ayat al-Quran dalam aplikasi digital.
Katanya, Jakim turut mendapati terdapat lebih 500 aplikasi al-Quran yang tersedia dalam Google Play Store dan Apple App Store di seluruh dunia.
“Dalam kajian ini, sebanyak 32 aplikasi digital yang diterbitkan sama ada di dalam atau luar negara diteliti, didapati aplikasi tafsir digital yang mengandungi penyelewengan atau tafsiran yang menyimpang merangkumi perkara-perkara yang mempunyai pengaruh mu’tazilah, analisis logik akal yang berlebihan dan mengikut fahaman pengarang sendiri.
“Selain itu, penyelewengan yang didapati juga melibatkan, tidak merujuk sumber ulama muktabar, huraian sisipan yang terkeluar daripada konteks ayat, tafsiran yang tidak selari dengan konteks sebenar ayat, berasaskan fahaman Syiah dan merujuk pendapat imam-imam Syiah.
“Tafsiran tidak selari dengan kalimah asal, percanggahan fakta saintifik, percanggahan amalan ritual dan sunnah, tafsiran yang menimbulkan kontroversi serta tidak dinyatakan sumber rujukan ilmu tafsir juga antara penyelewengan yang didapati,” katanya di sini semalam.
Selasa lalu, akhbar ini mendedahkan, hanya satu aplikasi mudah alih al-Quran di Malaysia iaitu Smart Quran yang mendapat kelulusan Lembaga Kawalan dan Pelesenan Percetakan Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Sebelum ini, dianggarkan terdapat 250 aplikasi mudah alih Islam termasuk al-Quran yang diterbitkan pelbagai pihak dari dalam atau luar negara sekali gus mencetuskan kebimbangan tentang ketepatan kandungannya kerana tidak disemak Lajnah Penyemakan dan Penilaian Teks Al-Quran (LPPPQ) KDN.
Mengulas lanjut, Idris berkata, orang ramai diminta mengambil maklum berhubung aplikasi tafsir yang boleh diterima dan tidak bertentangan dengan syariat Islam.
Katanya, ini kerana aplikasi tafsir yang tidak mempunyai sebarang percanggahan dalam pentafsiran ayat al-Quran dan sesuai diguna pakai dalam masyarakat dan selari dengan konteks ayat mengikut Tafsir Pimpinan Ar-Rahman dan Tafsir Ibnu Kathir.
Justeru katanya, berdasarkan dapatan kajian yang dilaksanakan oleh Jakim, dicadangkan supaya kawalan dan penguatkuasaan terhadap semua aplikasi tafsir perlu dilakukan secara berterusan dengan sentiasa menyemak dan memantau kandungan digital.
Jelasnya, tindakan yang bersesuaian juga perlu diambil oleh pihak berkuasa jika didapati aplikasi tafsir terdapat penyelewengan.
“Garis panduan dalam menyediakan tafsir digital juga perlu diwujudkan secepat mungkin. Ia dapat menjadi peraturan dan standard yang perlu diikuti oleh mana-mana pembangun aplikasi tafsir digital bagi menghasilkan tafsir digital yang berkualiti dan bersesuaian dalam konteks Malaysia.
“Melaksanakan program dan kempen kesedaran tentang tafsir al-Quran dalam kalangan masyarakat umum meliputi aspek membezakan sesuatu yang betul atau salah dalam teks agama, elemen penyelewengan, kaedah terbaik dalam memuat turun aplikasi al-Quran dan tafsir, menyertakan nama aplikasi Smart Quran yang boleh dijadikan rujukan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan- pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, kerajaan perlu proaktif dan mengambil usaha lebih lagi untuk menyemak aplikasi mudah alih al-Quran yang berleluasa ketika ini.
Katanya, ini kerana agak tak wajar hanya satu yang diluluskan kerana aplikasinya sudah terlalu banyak.
“Kena proaktif dan mengambil usaha lebih untuk menyemak. Biar rakyat pilih mana yang sesuai untuk mereka. Mungkin kalau lima hingga 10 aplikasi yang diluluskan lebih sesuai daripada hanya satu.
“Memang tugas kerajaan menasihatkan rakyat untuk berhati-hati, tetapi itu tak cukup. Kena ada mekanisme pengawalan. Jangan terus letak tanggungjawab pada rakyat. Itu macam kerajaan lepas tangan,” katanya. – UTUSAN










