Dari lembah pelacuran ke aktivis masyarakat - Utusan Malaysia

Dari lembah pelacuran ke aktivis masyarakat

FILEM Gangubai Kathiawadi mengangkat kisah sebenar yang berlaku di Mumbai, India. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BULAN ini, filem-filem Bollywood mula menaiki takhta filem terlaris dan paling banyak ditonton dalam saluran penstriman berbayar Netflix.

Perkembangan itu sekali gus memecah dominasi filem Korea Selatan yang kerap menghuni carta tertinggi tontonan.

Filem Gangubai Kathiawadi tidak semena-mena menghuni carta tiga teratas dan menjadi pilihan penonton di Malaysia.

Ia bukan filem biasa-biasa, tetapi merupakan kisah sejarah yang diadaptasi dari sebuah buku yang ditulis oleh Hussain Zaidi berjudul Mafia Queens of Mumbai.

Gangubai Kathiawadi adalah pemilik nama sebenar tokoh terpenting dalam sejarah India, Ganga Harjeevandas yang banyak memperjuangkan hak wanita.

Ganga yang mendapat jolokan sebagai Ratu Mafia dilahirkan dalam keluarga tersohor di Kathiawad, Gujarat.

Sejak kecil, dia menanam cita-cita untuk menjadi pelakon terkenal Bollywood dan berhasrat pergi ke Mumbai bagi merealisasikan impiannya.

Semasa berusia 16 tahun, dia mula jatuh cinta dengan Ramnik Lal yang merupakan akauntan bapanya.

Kerana cinta, Ganga sanggup melarikan diri bersama kekasihnya ke Mumbai bagi memulakan kehidupan baharu.

Pasangan itu akhirnya mengikat tali perkahwinan sebagai bukti cinta mereka.

Namun, kerana cinta, Ganga dipermainkan dan kehidupannya musnah selepas Ramnik menjualnya ke rumah pelacuran.

Sejak itulah kehidupan wanita itu berubah, tidak lagi mahu dikenali sebagai Gangga, sebaliknya mahu dikenali dengan identiti baharu iaitu Gangubai.

Gangga tidak mempunyai pilihan lain. Dia sedar tidak akan dapat pulang semula ke pangkuan keluarganya.

Mereka pasti tidak akan dapat menerima dirinya, apatah lagi masyarakat sekeliling setelah hidupnya bergelumang dengan rumah pelacuran.

PELACUR DIGERUNI
Gangubai atau dipanggil Gangu merupakan nama yang sangat tersohor di kawasan zon merah di Kamathipura, Mumbai kerana kebanyakan pelanggannya adalah golongan mafia.

Sekitar 1960an, ketua gangster paling digeruni di Mumbai, Karim Lala bersama Haji Mastan dan Vadarajan mengusai bandar itu.

Kawasan ‘panas’ di rumah pelacuran di Kamathipura turut berada di bawah penguasaan Karim.

Menurut kisah yang diabadikan dalam buku tersebut, wanita itu pernah didera, dipukul dan dianiaya oleh salah seorang konco Karim demi kepuasan nafsunya.

Gangu tidak berdiam diri bahkan kejadian itu menyebabkan dia berani bersemuka dengan Karim bagi menuntut keadilan.

Kelantangan wanita itu bersuara menyebabkan lelaki tersebut akhirnya dibunuh dengan tangan Karim sendiri.

Hubungan Karim dan Gangu bertukar sangat istimewa selepas insiden itu.

Gangu mula menganggap Karim sebagai abangnya dan begitu juga buat Karim yang menganggap aktivis sosial itu sebagai adiknya dengan menghadiahkan pemerintahan Kamathipura kepadanya.

Sejak itu, Gangu muncul sebagai ‘Ratu Mafia Mumbai’.

Siapa sangka, dari seorang pelacur yang bagaikan tiada masa depan, Gangu akhirnya menjadi seorang individu yang berkuasa dan sangat digeruni di Kamathipura.

PEJUANG HAK WANITA
Gangu tidak pernah menggunakan kuasanya untuk mengeksploitasi kanak-kanak perempuan dan wanita terjerumus ke kancah pelacuran.

Walaupun dia sendiri pernah berdepan cabaran getir dalam hidupnya apabila dilacurkan oleh suami sendiri, dia sebolehnya mahu melihat golongan pelacur mempunyai kehidupan yang lebih baik.

Gangu merupakan seorang wanita yang sangat baik hati kepada pekerja seks dan anak-anak yatim di kawasan itu.

Gangu tidak pernah memaksa sesiapa bekerja tanpa pengetahuannya, walaupun dia sendiri merupakan ‘Mak Ayam’ di rumah pelacuran tersebut.

Baginya, semua wanita dan kanak-kanak yang tinggal di Kamathipura adalah seperti anak-anaknya sendiri dan dia melayan mereka bagaikan seorang ibu.

BIAR JASA JADI KENANGAN
Gangu sering menggayakan sari berwarna putih dengan memakai bindi merah besar di dahinya.

Dari berkerja sebagai seorang pekerja seks, wanita itu berubah menjadi tokoh wanita disegani dan memiliki kekayaan serta sebuah kereta mewah jenis Bentley.

Gangu pernah bertemu dengan Perdana Menteri India ketika itu, Jawaharlal Nehru dan mencadangkan supaya kawasan zon merah tersebut dilindungi.

Permintaannya diluluskan selepas Nehru melihat kebijaksanaan dan ketulusan hatinya membela nasib pekerja seks.

Sehingga hari ini, penduduk di Kamathipura mengingati jasa mendiang di kawasan itu.

Sebuah patung besar dibina di kawasan tersebut sebagai tanda peringatan terhadap Gangu yang meninggal dunia pada 8 September 1977.

Di Kamathipura, gambar Gangu masih menghiasi dinding rumah pelacuran.
filem terlaris

Jalan hidup Gangubai ibarat sebuah novel atau filem. Di depannya penuh onak dan duri.

Ranjau kehidupan itu menyebabkan sesekali dia menyeka air mata, adakala bersulam gembira mencapai kemenangan dalam sebuah perjuangan.

Filem Gangubai Kathiawadi yang diterbitkan oleh produksi Sanjay Leela Bhansali bertujuan membingkaikan jerih payah yang dihadapi wanita itu di Kamathipura.

Pelakon Bollywood, Alia Bhatt menggalas tanggungjawab berat dengan membawa watak Gangubai.

Filem tersebut sudah ditayangkan di pawagam seluruh India sejak Februari lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×