Kalau MCA boleh lulus, kenapa UMNO tidak? - Utusan Malaysia

Kalau MCA boleh lulus, kenapa UMNO tidak?

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO telah menghantar surat permohonan bagi meluluskan perlembagaan parti yang telah dipinda kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), semalam.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dengan berkata, surat berkenaan ditandatangani beliau sendiri dan berharap memperoleh kelulusan dengan segera.

“Kita hantar pukul 2 petang hari ini secara bertulis. Dan kita hantar sebelum pejabat RoS tutup,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jelas beliau, seharusnya permohonan kelulusan itu tidak akan menjadi sebarang pertikaian kerana apa yang dimohon UMNO adalah sama dengan apa yang diluluskan terhadap MCA baru-baru ini.

“Pindaan kami lebih kurang serupa dengan apa yang diluluskan oleh RoS terhadap MCA, jadi ia bukan perkara baharu. Saya harap RoS tidak akan mengambil masa yang panjang sebab pindaan itu serupa dengan perlembagaan MCA.

“Saya kira jabatan kerajaan ini laju buat kerja, jadi bolehlah luluskan dengan cepat, sebab kalau MCA boleh lulus, kenapa UMNO tidak boleh lulus,” ujarnya.

Antara perkara yang diluluskan RoS terhadap pindaan MCA adalah menambah klausa dalam perlembagaan parti dengan membenarkan penyertaan ahli-ahli daripada bukan berbangsa Cina untuk menjadi Ahli Bersekutu.

Selain itu, pemilihan parti perlu diadakan dalam masa enam bulan selepas PRU, atau selepas 36 bulan daripada pemilihan parti terdahulu, bergantung kepada mana yang lebih lewat, serta berkenaan kuorum mesyuarat, setelah dipinda, perlembagaan parti menetapkan bahawa mana-mana mesyuarat yang ditangguhkan mestilah mempunyai kuorum minimum seramai 7 orang.

Jika tidak, ia akan dianggap sebagai tidak sah.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Maslan turut mempersoal adakah PKR memperoleh hasil yang menguntungkan parti apabila pemilihan parti dibuat lebih awal daripada UMNO, sekali gus menyifatkan parti itu seperti pengecut.

“PKR kosong kerusi di Melaka, kosong kerusi di Sarawak, satu kerusi di Johor (dalam proses di petisyen), jadi jika mereka berani pun, berbeza rekod dengan BN yang menang besar di Melaka dan Johor.

“Jadi apabila bercerita tentang berani, apa hasil mereka di pilihan raya?” Soalnya.

Terdahulu, dilaporkan PKR lebih yakin dan berani berbanding UMNO kerana mengadakan Pemilihan PKR 2022 sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, keberanian itu tidak ada dalam UMNO yang mengemukakan pelbagai alasan dan tindakan untuk mengelak daripada mengadakan pemilihan UMNO sebelum PRU15.

“Di kala Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhempas pulas untuk mengatur strategi supaya pemilihan UMNO diadakan selepas PRU15, tetapi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bimbang akan kedudukannya dicabar,” jelas Hassan sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×