KUALA LUMPUR: Kerajaan dilihat berpotensi besar membuat pusingan-U atau U-turn berhubung mekanisme pelaksanaan moratorium lanjutan dan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2021, Jumaat lalu.
Ini kerana, berdasarkan kedudukan Perikatan Nasional (PN) yang rapuh di Dewan Rakyat, ketidakpuasan hati rakyat berhubung perkara itu mempengaruhi sokongan terhadap kerajaan hari ini.

Penganalisis berpendapat, Kabinet berkemungkinan terpaksa tunduk dengan kehendak rakyat yang mahukan pengeluaran RM10,000 secara pukal dan lanjutan moratorium automatik bagi tempoh enam bulan lagi andai Belanjawan 2021 berdepan tentangan hebat dalam sesi perbahasan.
Pensyarah di Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, kedua-dua isu itu tidak hanya dilaungkan pembangkang tetapi turut melibatkan UMNO meskipun parti itu sudahpun menyatakan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri dan belanjawan berkenaan.
“Cadangan pasal Akaun 1 KWSP dengan lanjutan moratorium, UMNO antara yang kuat memperjuangkan perkara itu. Pakatan Harapan (PH) sudah pasti akan jadikan ia sebagai modal politik.

“Saya rasa UMNO juga akan menjadi kumpulan pendesak meskipun berada dalam kerajaan. Kedudukan PN yang rapuh memungkinkan kerajaan tunduk kepada kemahuan rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Dalam pada itu, melihat daripada perspektif kepenggunaan, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi berpendapat, pengeluaran dengan nilai RM500 secara bulanan adalah langkah yang baik bagi mengelakkan orang ramai dimanipulasi sindiket scam. – UTUSAN










