Hampir semua sektor dilanda krisis tenaga kerja

Hampir semua sektor dilanda krisis tenaga kerja

INDUSTRI sawit negara berisiko ketinggalan dengan pesaing lain jika urusan pengambilan buruh asing untuk bekerja di sektor itu terus perlahan dan tidak dise­gerakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir semua sektor penting di negara ini berdepan masalah kekurangan tenaga kerja yang dibimba­ngi menjejaskan prestasi eko­nomi negara.

Ketika ekonomi negara da­lam peringkat pemulihan selepas pandemik Covid-19, isu kekurangan pekerja terutama pekerja asing dikhuatiri meng­akibatkan keadaan itu lebih me­runcing.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia), Tukiman Radion berkata, beliau mengunjurkan 80 peratus daripada sektor itu berdepan masalah apabila ramai pekerja sudah tidak mahu lagi bekerja dalam bidang pembinaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, isu tersebut berlaku sejak selepas kerajaan menarik semula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus menyebabkan kontraktor ‘terdesak’ mendapatkan semula pekerja demi memastikan perniagaan mereka terus berjalan.

Katanya, pihak persatuan memerlukan 300,000 hingga 400,000 pekerja untuk bekerja kembali dalam sektor itu.

“Memang sekarang ini ba­nyak kekurangan tenaga kerja. Ada pun pekerja sekarang ini mereka tidak lagi mahu beker­ja dengan syarikat kontraktor, mereka tuntut gaji lebih tinggi, malah ada mahu bekerja sendiri secara te­rus tanpa me­lalui mana-mana syarikat atau ejen.

“Mereka (pekerja asing) ini terlalu ramai, tetapi tidak mahu lagi bekerja dalam sektor ini kerana lebih terdedah kepada tindakan penguat kuasa jika tiada permi. Jadi, mereka lebih rela bersembunyi atau bekerja di ladang, hutan sebab tiada gangguan pihak berkuasa.

“Yang membuatkan saya terkilan apabila Kementerian Sumber Manusia tidak mahu memberikan (jumlah tenaga kerja) kepada persatuan. Sebaliknya, kerajaan mahu syarikat dan individu yang memohon (permit pekerja) kena mohon sendiri,” katanya ketika dihu­bungi semalam.

Tukiman menyarankan su­paya kerajaan melakukan pro­ses pemutihan terhadap pe­kerja-pekerja asing di negara untuk diambil bekerja ke sektor-sektor terpilih.

“Mereka ini ramai di sini (dalam negara), jadi, serbu sahaja mereka yang tidak mempunyai dokumen rasmi. Ambil dan daftarkan semula mereka bekerja secara sah di bawah syarikat pemohon dan bukan individu. Jika mereka enggan bekerja, hantar mereka pulang ke negara asal,” katanya.

Semalam, akhbar ini mela­porkan memetik Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, industri sawit negara berisiko ketinggalan dengan pesaing lain jika urusan pengambilan buruh asing untuk bekerja di sektor itu terus perlahan dan tidak dise­gerakan.

Katanya, kira-kira 50,000 pe­kerja bagi menampung ke­kurangan tenaga kerja dalam komoditi tersebut yang disifatkan kritikal pada masa ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Datuk N. Subramaniam berkata, pihaknya masih belum mem­punyai data terkumpul me­ngenai peratusan kekura­ngan tenaga kerja dalam sektor perhotelan.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan kadarnya jauh lebih tinggi kerana ketika ini, terdapat banyak kekosongan untuk beberapa jawatan termasuk pelayan, tukang kemas (housekeeping), dan penyambut tetamu.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan supaya memberikan subsidi upah antara tempoh enam sehingga setahun dari sekarang supaya pihaknya dapat memperbaiki mutu perkhidmatan dengan tenaga kerja yang mencukupi.

“Semua persatuan hotel mempunyai pekerja yang cukup dan setiap negeri pula berdepan masalah yang berbeza-beza. Orang tempatan pula tidak mahu bekerja dalam bidang ini sebab ada peluang lain dirasakan lebih baik.

“Sekarang kami sedang berusaha menarik mereka semula, tetapi ramai yang mensyaratkan supaya dibayar gaji lebih mahal tetapi kami pula tidak mahu. Akibatnya, kami tidak boleh meningkatkan tahap perkhidmatan kami,” katanya.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan turut mengakui masalah sama, kerana terdapat kekosongan kira-kira 30,000 tenaga kerja yang perlu diisi.

“Sekarang kami tertekan kerana kurang tenaga kerja. Kalau boleh kami perlukan lebih ramai warga tempatan untuk bekerja. Walaupun perniagaan dilihat kembali pulih, tapi banyak juga kedai terpaksa tutup sebab isu tiada pekerja. Kami juga menyumbang pada ekonomi negara, kami bayar cukai dan zakat, jadi jumlah ini sudah cukup untuk melancarkan gerak kerja dalam sektor ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN