Dilema nuklear Korea Utara

Dilema nuklear Korea Utara

KOREA Utara baru-baru ini mempamerkan aset ketenteraan berskala besar dibarisi senjata nuklear berintensiti tinggi dan peluru berpandu termasuk jenis Hwasong-17 yang mampu kekal di udara dalam jangka masa panjang. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERARAKAN ketenteraan berskala besar Korea Utara, baru-baru ini terus membuka tirai persengketaan meruncing yang kian merancakkan lembaran risiko konflik rantau.

Pameran kuasa ofensif dibarisi senjata nuklear berintensiti tinggi dan peluru berpandu antara benua (ICBM) serta variasi baharu peluru berpandu jarak dekat dan sederhana memberi mesej jelas kepada Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan khususnya.

Sebanyak 13 ujian senjata dilaksanakan oleh rejim Kim Jong-un pada tahun ini memuncak pada bulan lalu menyaksikan pelancaran peluru berpandu Hwasong-17 yang disajikan sebagai barisan hadapan senjata moden Pyongyang yang mampu untuk kekal berada di udara bagi jangka masa panjang. Ia juga memiliki kemampuan fleksibiliti tujahan tinggi yang akan memberi ancaman baharu terhadap sistem pertahanan antipeluru berpandu Barat.

Keupayaan tambahan terus diperkasa dengan kebolehan secara teori untuk menampung jumlah peledak nuklear lebih tinggi meliputi seluruh kontinental AS, berbanding dengan limitasi geografi di Alaska dan Guam sebelum ini. Walaupun pengkritik dan penganalisis terus sangsi dengan keupayaan sebenar Hwasong-17, strategi baharu yang dicanang Jong-un menganjak percaturan dan reaksi balas rantau ke persada risiko baharu yang bakal mengundang perubahan dinamik spektrum ketenteraan dan konflik berskala tinggi.

Jong-un dalam ucapannya sempena ulang tahun penubuhan ketenteraan Korea Utara ke-90 menggariskan penggunaan senjata nuklear secara preemptive atau taktik serangan awal mencetus pergolakan keseimbangan kuasa di rantau. Seoul dan Tokyo bagaikan cacing kepanasan dalam memastikan ancaman ini ditangani dengan lebih bersepadu terus dihimpit dengan kekangan konvensional dan sistematik yang menghindari kedua-dua kuasa untuk memberikan rintangan dan pencegahan seimbang terhadap Pyongyang.

Dalam mesejnya, Jong-un tegas dalam perancangannya untuk memperkasa keupayaan taktikal nuklear Pyongyang dalam masa yang terpantas dan mengancam untuk meledak sekiranya diprovokasi oleh musuh. Ini memberikan amaran jelas kepada Seoul dan juga Washington untuk menghentikan strategi provokasi awal dan usaha sistematik kekangan melalui kombinasi sekatan ekonomi dan ancaman serangan awal serta cegah rintang nuklear.

Presiden baharu Yoon Suk-Yeol di Korea Selatan yang memperkenalkan agenda agresif dan konservatif dalam mencorak hubungan semenanjung tidak berganjak daripada strategi memberikan tekanan bersepadu dan konsisten terhadap Jong-un dalam harapan untuk menghimpit dan menutup laluan baharu yang cuba dibentuk Pyongyang.

Namun, objektifnya dilihat tidak mendatangkan hasil yang diimpikan di mana Jong-un bukan sahaja tidak menerima sebarang dampak malah terus mencetus perubahan strategik untuk menjurus kepada pendirian teguh doktrin kuasa nuklear.

QUAD

Strategi Seoul, Tokyo serta Washington yang cuba dilemparkan sebelum ini kini digunakan Jong-un. Ini menyebabkan Seoul dan Tokyo makin terdesak dalam memastikan jurang kuasa nuklear tidak akan terus melebar luas. Kedua-dua negara yang selama ini bergantung kepada wadah sokongan Washington sedar bahawa mereka tetap terdedah kepada ancaman nuklear yang tidak dapat ditangani secara seimbang. Sehingga kini terus bersandarkan kepada keefisienan kuasa ketenteraan konvensional dalaman dan harapan cegah rintang nuklear yang disalurkan oleh Washington.

Menyedari kepincangan ini, bekas Perdana Menteri menimbulkan cadangan untuk Tokyo menjadi hos kepada senjata nuklear Washington, dengan ancaman Pyongyang dan juga Beijing sebagai faktor perkiraan utama. Perdana Menteri Fumio Kishida dalam reaksi awal mengetepikan cadangan tersebut dalam mengekalkan prinsip nuklear tiga berangkai yang telah dipraktikkan selama ini yang berpaksikan kepada kepatuhan untuk tidak memiliki dan menghasilkan senjata nuklear dan tidak membenarkannya dalam wilayah Jepun.

Ancaman Pyongyang bukan merupakan spektrum risiko tunggal yang berada dalam percaturan strategi Kishida dan Suk-yeol. Beijing terus berada di radar utama kedua-dua kuasa walaupun Seoul khususnya cuba untuk mendapatkan perancangan lebih teliti dalam mengawal pengaruh dan kesan daripada perluasan Beijing dan pada masa sama mengekalkan kesinambungan pertalian ekonomi rapat.

Panggilan untuk menyertai Dialog Keselamatan Quadrilateral (QUAD) masih terbuka namun Suk-yeol akan terus bergelut dengan perkiraan risiko dan kelebihan sedia ada, dengan ancaman tertinggi daripada Pyongyang melibatkan sandaran kepada kepentingan Beijing untuk mencengkam Jong-un dan memastikan keseimbangan risiko terus terpelihara.

Seoul juga semakin gusar dengan ketersediaan dan keinginan Washington untuk menjamin keselamatannya dengan risiko perubahan dasar luar dengan perubahan tampuk kepimpinan. Walaupun Camp Humphreys di Pyeongtaek merupakan pangkalan ketenteraan terbesar di luar AS dan lebih 28,000 anggota tentera ditempatkan di Korea Selatan, kegusaran masih timbul mengenai kesinambungan jaminan keselamatan untuk jangka masa panjang. Seoul sesungguhnya berada di landasan yang berisiko tinggi dan terdedah kepada ancaman nuklear jiran utaranya dengan terus terikat dengan kebergantungan sepenuhnya kepada negara Uncle Sam, yang juga mengundang kemarahan Beijing yang gusar dengan keberadaan senjata berintensi tinggi seperti platform antipeluru berpandu THAAD.

Tirai baharu yang kekal berisiko yang terpalit dengan dilema keselamatan serta keberkesanan polisi kekangan dan tindak balas akan dibuka dengan penglibatan wajah dan pelaku baharu dalam pentas ini, dengan penantian impak tindakan dan polisi Kishida, Suk-yeol serta Presiden Joe Biden dalam menyeimbangi keperluan keselamatan di rantau ini dengan seteru utama yang ditunjangi Beijing dan Pyongyang. Sasaran untuk terus membentuk keamanan dan diplomasi rantau akan bergantung kepada percaturan polisi dan fokus di Beijing, Pyongyang dan Taipei sebagai dilema dan pencetus risiko konflik rantau dan global. – UTUSAN

PENULIS ialah Penolong Pendaftar di Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×