KOTA BHARU: Kerjasama Pas dalam soal penyatuan ummah tidak terhad kepada UMNO, sebaliknya terbuka kepada mana-mana pihak termasuk Parti Amanah Negara (Amanah) dengan syarat mereka serius membawa agenda itu.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, sebagaimana pernah disebut sebelum ini, pintu rundingan terbuka luas kepada Amanah jika parti itu ‘serius’ untuk meninggalkan Pakatan Harapan (PH), terutama DAP.
“Kita berfikiran terbuka dan bukan sahaja menerima UMNO dalam kerjasama ini, dengan Amanah pun, dengan syarat tinggalkan PH, tinggalkan DAP.
“Sesiapa sahaja yang sanggup bersama berjuang demi penyatuan ummah, kita terima kerana kami terbuka, dan itu sikap kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Pas Kelantan sempena Aidilfitri di pekarangan Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Hampir 30,000 masyarakat terdiri daripada pelbagai latar belakang menghadiri majlis berkenaan yang dianjurkan buat pertama kali selepas dua tahun tiada sambutan Hari Raya Aidilfitri gara-gara pandemik.
Mohd. Amar berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri pernah menekankan bahawa penyatuan ummah itu bukan hanya antara Pas dan UMNO, tetapi dengan pelbagai pihak.
Mengulas mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti yang akan dibentangkan di Parlimen pada Julai ini, Mohd. Amar berkata, Pas menyerahkannya kepada keputusan Kabinet.
Kata Timbalan Menteri Besar itu, harus diingat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebelum ini pernah meluluskan enakmen berkaitan undang-undang tersebut, namun, telah dibatalkan oleh mahkamah.
“Pada dasarnya, kita sudah setuju dengan akta ini cuma dari segi teknikal sahaja yang sedang diperhalusi oleh Kabinet. Jadi sekarang kita serahkan kepada Kabinet yang akan buat keputusan. Kita kena tengok kandungan akta itu nanti apabila dibentangkan oleh kerajaan dan kita sebagai sebahagian daripada kerajaan, insya-Allah akan sokong,” katanya. – UTUSAN











