'Sulaiman perlu ganti Ab. Rauf' - Rospandi - Utusan Malaysia

‘Sulaiman perlu ganti Ab. Rauf’ – Rospandi

SULAIMAN MD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: UMNO Bahagian Alor Gajah mencadangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali segera dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, menggantikan penyandang, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Pemangku Ketua Bahagian, Datuk Rospandi Leman berkata, keputusan tersebut diputuskan sebulat suara dan mendapat sokongan penuh ketika Mesyuarat UMNO Bahagian, semalam.

Menurutnya, keputusan itu dibuat bertujuan mengukuhkan lagi kepemimpinan parti di peringkat bahagian serta negeri, jika Ketua Menteri adalah individu yang sama memegang jawatan tersebut.

ROSPANDI LEMAN

Beliau berkata, ini juga akan memudahkan parti membuat persediaan gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Pendirian tegas UMNO Bahagian Alor Gajah adalah menyokong penuh Sulaiman terus mendapat mandat sebagai Ketua Menteri sehingga habis penggal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rospandi menegaskan, pendirian mereka selaras dengan aku janji yang telah dibuat pucuk pimpinan, bahawa Sulaiman akan terus kekal dilantik sebagai Ketua Menteri jika diberikan mandat baharu.

“Sebarang cubaan untuk mengganggu-gugat kepemimpinan Sulaiman dan memaksa beliau meletakkan jawatan sebagai perbuatan mengkhianati mandat besar yang telah diberikan oleh pengundi dan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November lalu.

“Seluruh jawatankuasa bahagian berpendirian fokus utama kerajaan negeri adalah untuk memulihkan  semula pembangunan ekonomi dan kehidupan rakyat negeri ini yang terjejas akibat wabak Covid-19,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×