PETALING JAYA: Perkembangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang sedang diteliti dan dikaji oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dijangka diketahui Khamis ini.
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
April lalu, kerajaan menyasarkan untuk membentangkan RUU berkenaan di Parlimen Julai ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun dipetik sebagai berkata, ia bergantung kepada jawatankuasa khas yang akan meneliti dan menggubal akta tersebut.
Jawatankuasa Pilihan Khas itu sebelum ini diberikan tempoh sebulan meneliti dan memuktamadkan draf RUU Pindaan Perlembagaan dan RUU berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
Ia berikutan beberapa perkara berbangkit khususnya tafsiran melompat parti perlu diperhalusi terutamanya melibatkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan wakil rakyat melompat parti.
Pada 1 Mei lalu, Mingguan Malaysia melaporkan, Wan Junaidi berkata, undang-undang berkenaan anti lompat parti akan melibatkan Pindaan Perlembagaan tanpa digubal RUU Anti Lompat Parti.
“Ya, ia hanya pinda. Pada 15 April kita telah putuskan dan kita telah kaji dengan lebih terperinci pada 21 April.
“Ini bermakna tiada RUU lain dan ia hanya mencukupi dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya. – UTUSAN











