PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi berpendapat, kejatuhan ringgit akan menyebabkan eksport Malaysia menjadi lebih menarik dan digemari, sekali gus meningkatkan kuantiti eksport negara.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, kebanyakan perdagangan negara masih menggunakan dolar Amerika Syarikat (AS) sebagai ‘vehicle currency’ iaitu mata wang yang digunakan untuk menginvois transaksi perdagangan antarabangsa.
“Itu juga akan menyebabkan nilai dagangan kita meningkat dan akan menyumbang kepada kenaikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Selain itu, sektor pelancongan kita juga akan menikmati limpahan kejatuhan mata wang ringgit, di mana kita akan menjadi destinasi pilihan pelancong.
“Namun, ia adalah mimpi ngeri kepada pengeluar yang mengimport barangan pertengahan sebelum menjadi barangan akhir untuk dijual sama ada di pasaran domestik atau pasaran eksport kerana kos pengeluaran mereka akan meningkat secara mendadak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kos mengimport menjadi lebih mahal dan itu akan menyebabkan harga barangan import lebih mahal di pasaran tempatan.
Ujarnya, keadaan itu akan menyebabkan kos barangan serta kadar inflasi meningkat seterusnya membebankan lagi rakyat.
“Oleh itu, rakyat harus bijak dalam berbelanja dengan membeli barangan tempatan. Kenaikan ringgit bergantung kepada banyak faktor dalam dan luaran.
“Justeru, semasa ringgit sedang jatuh ini keutamaan adalah menjana pengeluaran barangan tempatan dan meningkatkan lagi jualan eksport,” katanya.
Setakat pukul 9.05 pagi semalam, mata wang tempatan berada pada 4.3745/3780 berbanding dolar AS daripada 4.3650/3680 sewaktu ditutup pada Jumaat.
Ringgit ditutup pada 4.3760/3845 berbanding dolar AS. – UTUSAN










