Shalma Eliana cabar diri - Utusan Malaysia

Shalma Eliana cabar diri

SHALMA ELIANA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMBINA kerjaya sebagai penyanyi sejak dua tahun lalu, kala ini namanya bukan sahaja dikenali melalui bakat tetapi juga sebagai kekasih kepada penyanyi Ismail Izzani. Mengakui terkesan dengan tanggapan dia kini menumpang populariti teman lelakinya itu, bagi Shalma Eliana, ia adalah sesuatu yang sudah dijangka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tidak menyesal dengan keputusan untuk tidak berselindung mengenai kisah cintanya, kongsi penyanyi ini lagi, fokusnya hanya satu untuk terus membuktikan kemampuan diri.

“Saya memang tidak mahu sebenarnya dikenali sebagai kekasih Mail (Ismail) pada mulanya, tetapi dalam masa yang sama Mail sendiri berkongsi hubungan kami secara terbuka di laman sosial. Jadi melihat ini sebagai sesuatu yang positif kami berdua mahu apa yang dimiliki ini menjadi kelebihan buat karier nyanyian. Dia dan saya berada dalam industri yang sama, jadi kami melihat ini peluang untuk hasilkan karya bersama.

“Soal yang mengatakan hanya menumpang populariti itu bagi saya lama kelamaan perkara itu akan hilang sendiri, selagi saya berusaha membuktikan kemampuan saya dalam industri ini. Sebab itu saya akan bekerja keras untuk memastikan nama saya diterima dengan baik dalam industri,” kata adik kepada pengacara Shalma Ainaa ini.

Mengukur tahap populariti kekasihnya, yang kini mendapat jolokan Justin Bieber Malaysia, bukan sesuatu yang mengejutkan untuk dia ditekan perasaan cemburu peminat Ismail kini. Dikecam dengan pelbagai perkataan yang cukup menyakitkan hati, Shalma atau lebih mesra disapa Yana menjelaskan, dia tidak mahu terjerumus dalam situasi yang sia-sia.

“Bukan sesuatu yang mengejutkan untuk menerima mesej ugutan malah ada yang menyifatkan wajah saya nampak lebih tua dan tidak sesuai dengan Mail. Macam-macam kata-kata yang menyakitkan. Demi menarik perhatian Mail juga ada yang cuba mencederakan diri.

“Selalunya saya memang tidak akan layan selain menyekat sahaja mesej-mesej negatif seperti itu. Malah saya juga tidak terkesan sebab sebagai seorang penyanyi kita tahu perkara seperti ini akan sentiasa datang dan apa yang lebih penting untuk sentiasa positifkan diri,” kata gadis berusia 20 tahun ini.

 

AROMA pertaruhan baharu Shalma Eliana. UTUSAN/AMIR KHALID

 

Mendapat sokongan keluarga untuk meneruskan hubungan cinta ini, secara logik bukan sesuatu yang mustahil untuk dia dan Ismail menuju ke fasa berbeza hubungan mereka.

Namun pada usia ini, Yana yakin masih banyak yang perlu diberi tumpuan terutama kerjaya seninya yang masih hijau.

“Keluarga memang tahu akan hubungan kami, malah ibu Mail juga turut rapat dan menerima kehadiran saya. Mail sendiri sebenarnya seorang yang mudah mesra, dia juga pernah mengikuti percutian bersama keluarga saya sebelum ini.

“Soal pertunangan, bagi saya bukanlah sesuatu yang mustahil bila kita sudah berkawan pasti ada niat untuk ke fasa berbeza. Cuma dalam tempoh sekarang kami berdua masih terlalu muda untuk ke arah itu. Fokus lebih kepada kerjaya dahulu,” katanya jujur.

Aroma

Mengharapkan tuah lagu terbaharunya berjudul Aroma, berbeza dengan dua single sebelum ini Janji Terindah dan Mahukah Kamu, Yana yakin ada perbezaan yang dibawakan dirinya.
Selain umur, cara penyampaian lagu ini juga dilihat lebih matang berbanding penampilan awalnya dalam industri sebelum ini.

“Sesuai dengan umur saya, lagu-lagu saya sebelum ini mempunyai perbezaan. Menerusi Aroma saya cuba menampilkan sisi matang saya. Lagu ini juga turut terkait dengan kisah hidup saya, yang pernah melalui fasa yang cukup menyakitkan.

“Melalui Aroma saya mahu sampaikan sebagai wanita perlu mempunyai jati diri yang kuat dan tidak terus membiarkan maruah terus dipijak selain kuat dalam menyatakan pendirian diri.

“Merupakan ciptaan Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat, saya yakin ramai yang boleh kaitkan kehidupan mereka melalui lagu ini,” kongsi pemegang Diploma Komunikasi dan Pengajian Media di sebuah institusi pengajian tinggi swasta ini.

Sementara itu melihat kerjaya lakonan sebagai satu lagi bidang yang diminatinya. Yana ketika ini tidak menolak untuk terus aktif menerima tawaran. Namun dalam memilih keutamaan, fokusnya kekal untuk menjadi seorang penyanyi yang disegani suatu hari nanti.

“Saya suka sahaja untuk berlakon sebab dalam usia muda ini saya mahu belajar. Bidang lakonan juga dalam suatu sudut boleh membantu bidang nyanyian saya. Kalau ikut lakonan lebih sukar berbanding nyanyian, tetapi tidak ada masalah sebab saya suka. Walaubagaimanapun nyanyian kekal menjadi fokus utama ketika ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN