Tiga beradik hilang ibu di pagi Aidilfitri - Utusan Malaysia

Tiga beradik hilang ibu di pagi Aidilfitri

MIKAIL Rifqi Nor Radzuan bersama adik-adiknya menunjukkan gambar ibunya, Mira Azira Mohamad, 33, yang meninggal dunia di pagi Aidilfitri akibat kemalangan ketika ditemui di rumah ibu saudaranya di Pangsapuri Seri Sena, Kampung Bakau, Kangar, Perlis.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ketika kanak-kanak lain gembira meraikan lebaran bersama keluarga, berbeza pula dengan nasib tiga beradik di sini yang kehilangan ibu di pagi Hari Raya Aidilfitri.

Ibu mereka, Mira Azira Mohamad, 33, maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Datuk Ali di sini Isnin lalu.

Beberapa hari sebelum lebaran, Mira Azira sempat bergurau dengan berpesan kepada adiknya, Mira Nirwarni, 29, supaya menjaga anak bongsunya, Rabiatul Adawiyah berusia empat tahun.

Sebelum ini, anak sulung dan kedua, Mikail Rifqi Nor Radzuan, 8, serta Nur Qistina,5, sudah berada di bawah jagaan Mira Nirwarni kerana kakaknya dan suami tidak bekerja serta kurang berkemampuan.

Ketika kejadian, Mira Azira yang tinggal di rumah keluarga mentuanya di Ayer Hitam, Kedah dalam perjalanan pulang beraya di kampung, namun tidak sempat bertemu dengan ahli keluarga.

Mira Nirwarni berkata, dia tidak menyangka gurauan kakaknya itu adalah pesanan terakhir sebelum pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

“Memang tidak sangka kakak betul-betul pergi dan juga meninggalkan anak bongsunya untuk kami jaga. Semasa dia kata nak tinggalkan adik yang kecil itu, kami anggap dia hanya bergurau.

“Ketika saya mendapat berita mengenai kemalangan dan pemergian kakak, kami sedang bersiap untuk menunaikan solat Aidilfitri. Apabila dapat tahu, kami terus bergegas ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya Pangsapuri Seri Sena, Kampung Bakau di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi di Jalan Datuk Ali itu, kereta yang dinaiki Mira Azira bersama suaminya, Nor Radzuan Abd. Rahman,33, dan Rabiatul Adawiyah terbabas serta melanggar sebatang pokok di kawasan berkenaan.

Kemalangan itu mengakibatkan Mira Azira meninggal dunia manakala Nor Radzuan patah kaki kiri serta tangan kanan dan masih dirawat di HTF.

Rabiatul Adawiyah pula cedera di bibir dan masih trauma dengan sering kali terjerit-jerit memanggil ibunya.

“Dua hari dia tidak bercakap dengan orang dan apabila tidur dia meracau memanggil ‘mama’ dan menyebut pokok. Mungkin disebabkan kemalangan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Mira Nirwarni dan suaminya yang masing-masing orang kurang upaya (OKU) fizikal di bahagian kaki menjaga ketiga-tiga anak saudaranya itu meskipun ada beberapa individu menawarkan diri untuk mengambil mereka.

“Ada ramai juga yang tanya nak jaga mereka tapi kami pun sayangkan mereka dan tak mahu mereka berpisah. Ayah mereka juga tidak kisah jika kami yang menjaga mereka,” katanya yang menjalankan perniagaan nasi kandar.

Dalam pada itu, Mikail Rifqi berkata, dia sangat merindui ibunya dan sedih kerana tidak dapat bersamanya di Aidilfitri seperti sebelum-sebelum ini.

“Umi dan walid ada ajar saya agar sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya emak masuk syurga dan dapat bertemunya nanti,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghulurkan bantuan di akaun CIMB Bank Mira Nirwarni iaitu 7045631497. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×