Cuaca tropika memang menyeronokkan! Cuaca panas dan lembap menyebabkan ramai di antara kita yang gemar akan aktiviti renang. Ia bukan sahaja boleh menyejukkan badan, sebaliknya aktiviti ini membantu mengekalkan kesihatan fizikal dan mental sambil membolehkan kita meluangkan masa bersama yang tersayang.
Rata-rata penduduk tempatan jarang membina kolam renang peribadi di pekarangan kediaman. Selalunya bila mahu berenang, kita akan mengunjungi kolam renang di kondominium atau hotel.
Ini kerana pada pemahaman kita, kos pembinaan kolam renang di rumah adalah sangat tinggi dan juga kerana ketidaksesuaian tapak pembinaan, proses penyelenggaraan mungkin susah untuk dijalankan.
Di negara barat, kolam renang persendirian sudah menjadi trend berkat teknologi pembinaan kolam yang canggih, peningkatan kesedaran tentang kebersihan diri dan sifat mereka yang mementingkan kualiti hidup. Lagi-lagilah semenjak dunia dilanda pandemik Covid-19.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Serantau Waterco, Koo Zao Cheong berkata, dengan pembinaan kolam dan teknologi sanitasi yang ditambah baik, memiliki kolam peribadi di rumah untuk berenang dengan selamat bukanlah sesuatu yang sukar untuk dicapai.Dengan perancangan dan peralatan yang betul, pemilik rumah mampu membina kolam renang impian mereka sambil mengekalkan bajet.
Berikut tips membina kolam renang impian tanpa membuat perbelanjaan besar:
#1 Keadaan tapak pembinaan adalah faktor utama yang akan menentukan kos
Nilai keadaan tapak pembinaan untuk menentukan saiz, bentuk, dan jenis kolam renang yang sesuai untuk rumah. Anda mungkin perlu menjalankan ujian tanah untuk memahami keadaan tanah dan kestabilan dalam menentukan kesesuaian lokasi dan jenis kolam renang. Kawasan rata yang bertanah halus merupakan tapak ideal untuk pemasangan kolam kerana ia memerlukan kerja asas dan landskap yang minimum. Tanah cerun yang curam dengan tanah berbatu atau lembut akan memerlukan landskap tambahan yang akan menyebabkan kos yang lebih tinggi.
#2 Tentukan jenis dan saiz kolam renang berdasarkan keadaan tapak pembinaan
Tentukan jenis dan saiz kolam renang impian. Keadaan dan kestabilan tanah akan menentukan lokasi kolam renang sama ada ia perlu berada di dalam atau luar rumah, di atas tanah atau di dalam tanah. Amnya, kolam dalam tanah adalah lebih mahal berbanding dengan kolam atas tanah kerana banyak masa diperlukan untuk menggali dan mengalih tanah sebelum pembinaan kolam boleh dimulakan. Begitu juga dengan saiz. Semakin besar, makin tinggi kosnya.
#3 Pemilihan bahan dan ciri tambahan
Bahan pembinaan yang digunakan untuk kolam idaman juga merupakan salah satu perkara utama yang perlu dipertimbangkan untuk mengawal bajet, mengekalkan estetika dan juga untuk memastikan proses penyelenggaraan minimum untuk jangka panjang. Beberapa bahan yang paling popular untuk pembinaan kolam termasuk konkrit dan gentian kaca. Kolam konkrit merupakan pilihan paling kuat dan paling tahan lama tetapi masa yang diperlukan untuk membinanya mungkin lebih lama kerana ia dibina di tapak pembinaan itu sendiri. Kelengkapannya juga bergantung pada keadaan cuaca. Sebaliknya, kolam gentian kaca adalah pra-acuan. Oleh itu, ia lebih cepat untuk dipasang. Jika ingin meningkatkan estetika atau ciri tambahan untuk berenang dengan lebih santai, boleh pasang lampu kolam renang dan ciri tambahan seperti sistem pemanasan kolam.
#4 Sistem penyelenggaraan dan sanitasi
Sistem peredaran dan sanitasi berkualiti penting memastikan kolam di dalam atau di luar rumah kekal bersih dan jernih untuk kita berenang dengan selamat. Jenis sistem penapisan dan sanitasi akan mempengaruhi kos pemasangan dan penyelenggaraan kolam renang dalam jangka masa panjang.
Pastikan juga sistem penapisan air yang dipilih telah terbukti dan diuji secara menyeluruh sebagai jimat tenaga dan selamat. Ia berupaya mencegah pertumbuhan bakteria dan kuman berbahaya di dalam kolam. Beri juga perhatian pada tahap klorin yang digunakan untuk mengelakkan kesan yang tidak diingini pada kulit dan pada masa yang sama, tahap klorin tersebut cukup untuk mengekalkan kebersihan dan keselamatan air. Walaupun pemasangan sistem ini memerlukan perbelanjaan awal, namun ia akan menjimatkan masa dan wang bagi proses penyelenggaraan kolam dalam jangka masa panjang.
Pemasangan kolam renang di rumah bukanlah sesuatu yang menyukarkan. Perancangan dan pemahaman betul mengenai jenis dan ciri-ciri kolam renang, membolehkan pemasangan kolam renang dilakukan di kediaman sendiri.
Namun, pastikan anda berunding dengan pembina kolam profesional. Ini penting bagi memastikan pembinaan kolam, selamat dan tahan lama.










