Angkat kedudukan bahasa Melayu - Utusan Malaysia

Angkat kedudukan bahasa Melayu

BUKANLAH satu masalah besar untuk pelajar asing menguasai bahasa baharu yang akan memberi kelebihan kepada mereka nanti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ENTAH mengapa, ada pihak tertentu menyuarakan rasa kurang senang melalui media sosial apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyarankan baru-baru ini beberapa langkah untuk mengukuhkan dan memperkasakan semula kedudukan bahasa Melayu.

Di antara saranan beliau ialah mewajibkan pelajar asing di institusi pengajian tinggi (IPT) mengambil subjek bahasa itu sebagai salah satu mata pelajaran dalam pengajian mereka.

Bahasa Melayu juga hendaklah digunakan secara meluas dalam urusan rasmi pentadbiran negara termasuk mesyuarat dan persidangan peringkat antarabangsa.

Sebagai permulaan, beliau menggunakannya ketika mesyuarat dua hala dan sidang akhbar semasa lawatan rasmi ke Brunei, Kemboja dan Thailand.

Menariknya, beliau akan menyarankan bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN berikutan dituturkan oleh lebih 300 juta orang di Indonesia, Brunei, Thailand, Filipina dan Kemboja.

Bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar, maka Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dikehendaki membuat pindaan Akta DBP 1995 untuk membolehkannya bertindak sebagai penguat kuasa.

Ini selari dengan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152(6) yang memperuntukkan penggunaan bahasa Melayu dalam pentadbiran kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan.

Pindaan peruntukan juga bertujuan membolehkan mereka mengambil tindakan terhadap sebarang pelanggaran dan berperanan mengembangkan bahasa itu di peringkat antarabangsa.

Sesungguhnya, apa yang disarankan oleh Perdana Menteri adalah bertujuan memperkukuhkan kedudukan bahasa Melayu mengikut rule of law seperti terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Seksyen 2, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 menekankan penggunaan sepenuhnya bahasa kebangsaan dalam urusan pentadbiran dan tujuan rasmi.

Hakikat ini menjelaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan perlu diperkasakan.

Seperti yang diucapkan oleh Perdana Menteri bahawa tidak ada sebab mengapa kita rasa janggal untuk berbahasa Melayu walaupun di pentas antarabangsa.

Namun demikian, ada pihak tertentu berasa kurang senang atas saranan Perdana Menteri itu dengan mengemukakan beberapa alasan.

Misalnya, ada yang menyatakan bilangan pelajar asing akan berkurangan apabila diwajibkan mengambil subjek bahasa itu di IPT.

MBMMBI

Sebenarnya banyak negara yang mewajibkan pelajar asing mengambil subjek bahasa ibunda mereka. Ini melibatkan pelajar kita yang belajar di luar negara.

Bagi pelajar, bukanlah satu masalah besar untuk menguasai bahasa baharu, malah akan memberi keuntungan dan kelebihan kepada mereka nanti.

Selain itu, ada yang khuatir jika kerajaan menekankan penggunaan bahasa Melayu, akan menyebabkan penguasaan bahasa Inggeris akan terabai.

Perkara ini tidak perlu dibimbangkan kerana sistem persekolahan kita masih mengekalkan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Penguasaan bahasa Inggeris tetap diberi keutamaan kerana bahasa itu masih digunakan secara meluas di IPT dan sektor swasta.

Ada juga pandangan sinis tentang penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Sudah tentu perkara ini diambil kira, kaedah penterjemahan ke bahasa Inggeris adalah kebiasaan dalam protokol hubungan antarabangsa.

Cuba lihat bagaimana pemimpin besar dunia terus menggunakan bahasa mereka sama ada dalam mesyuarat dua hala, sidang akhbar atau semasa ucapan, ia akan diikuti dengan penterjemahan.

Cadangan untuk menjadikan bahasa kedua dalam kalangan negara ASEAN adalah berdasarkan teras utama bahasa di Nusantara adalah berpaksikan bahasa Melayu dan jumlah penggunanya sangat ramai.

Oleh itu, langkah seterusnya memerlukan perbincangan lebih mendalam dalam kalangan negara anggota lain. – UTUSAN

TAN Sri Alimuddin Mohd. Dom ialah bekas Ketua Pengarah Pendidikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×