Aidilfitri: Berjayakah kita? - Utusan Malaysia

Aidilfitri: Berjayakah kita?

JANGAN sampai kewajipan solat terabai dek asyik berhari raya. – GAMBAR HIASAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

1SYAWAL yang baru berlalu adalah tarikh sangat dinanti-nanti oleh kebanyakan umat Islam. Hari Raya Aidilfitri disambut dengan ceria bersama ahli keluarga, sanak saudara dan rakan.

Cantik berpakaian baharu, hidangan kuih-muih pelbagai rasa dan warna, tawa ceria menghiasi amalan ziarah-menziarahi. Oh! Sungguh indahnya suasana pada Aidilfitri.

Namun persoalannya, kegembiraan Aidilfitri diraikan atas kejayaan apa? Adakah kerana Ramadan telah tamat, maka tiada lagi belenggu rukun dan syarat puasa yang merantai diri? Atau adakah kerana baju raya 10 pasang sempat disiapkan oleh tukang jahit?

Jom kita telusuri dan insafi bersama makna dan erti kejayaan 1 Syawal yang sebenar. Pertama, jelas bergembira pada Hari Raya Aidilfitri adalah suatu perkara yang dibenarkan dalam Islam.

Ini dapat difahami apabila Rasulullah SAW membenarkan dan tidak melarang apabila ada dua kanak-kanak perempuan dalam kalangan Ansar bernyanyi pada hari raya.

Rasulullah SAW bersabda kepada Saidina Abu Bakar: “Wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kaum mempunyai hari raya dan ini adalah hari raya kita.” (Riwayat Imam Bukhari)

Berkata juga Imam Ibnu Hajar Asqalani: “Menzahirkan kegembiraan pada hari raya adalah merupakan syiar agama.”

Kedua, mesti faham dan jelas kenapa kita boleh bergembira pada hari raya. Perkataan ‘id berasal daripada ‘aud yang bererti ulangan.

Ini kerana hari raya itu berulang setiap tahun atau juga kegembiraannya berulang pada setiap kali menjelang hari raya. Perkataan fitri membawa maksud fitrah, iaitu keadaan fitrah yang suci bersih, tiada noda hitam dosa.

Maka kegembiraan yang diraikan adalah kerana kita telah berjaya membersihkan hati daripada noda hitam dosa, mengikat dan mengekang hawa nafsu, mengatasi bisikan jahat syaitan dan yang utamanya kerana berjaya menyerah dan mengabdi diri dengan sebenar-benarnya kepada Allah Azzawajalla sepanjang Ramadan.

Ini nilai kegembiraan yang diraikan, kegembiraan berasaskan kepada kesyukuran. Bukannya kegembiraan dengan nilai bersuka ria semata-mata tanpa penghayatan.

Sebelum kita raikan kegembiraan 1 Syawal, mari kita semak terlebih dahulu adakah kita beroleh kejayaan atau sebaliknya. Adakah kita berjaya mengekang hawa nafsu kita?

Bagaimana tutur bicara kita sepanjang Ramadan lepas, adakah umpat-mengumpat, kata mengata, keji mengeji tidak terkeluar daripada mulut kita? Yang keluar daripada mulut kita hanyalah kata-kata yang baik, bacaan al-Quran, zikir dan selawat.

Bagaimana pula dengan pancaindera lain seperti penglihatan, pendengaran, kaki dan tangan kita? Adakah semuanya telah kita jaga dengan sepenuh daya usaha demi memenuhi pengabdian sebenar kepada Allah?

Bagaimana pula syariat Allah yang lain, adakah kita telah selamat daripada pembaziran, adakah kita selamat daripada bersangka buruk kepada saudara kita dan adakah juga kita selamat daripada berhasad dengki dengan saudara kita, adakah kita selamat daripada menyakiti saudara kita dan adakah kita masih dalam keadaan bermusuhan dengan saudara kita?

BERKABUNG

Lebih menyedihkan sekiranya ada dalam kalangan kita yang hanya berpuasa dengan tidak makan dan minum tetapi pada masa sama tidak mendirikan solat, tidak menutup aurat dengan sempurna dan mengekalkan diri dengan perlakuan dosa.

Jadi, semaklah semua perkara-perkara di atas dan tanya diri dengan jujur, adakah kita layak untuk bergembira dengan makna sebenar kegembiraan Aidilfitri?

Tidakkah kita berasa malu sambut Aidilfitri meriahnya 30 hari 30 malam, tetapi nilai kejayaan tiada bahkan hanyalah sebuah kegagalan.

Rasulullah SAW mengingatkan kita dalam satu hadis baginda: “Jibril datang kepadaku dan berkata: Celaka sungguh seorang manusia yang bertemu dengan Ramadan, tetapi keluar daripadanya tanpa diampuni dosanya, lalu aku pun menyebut, amin.” (Riwayat Imam Bukhari)

Peringatan ini cukup untuk menginsafkan, apakah nilai sebenar kegembiraan yang kita raikan pada Aidilfitri? Ini juga bukanlah bermakna hari raya itu mesti disambut dengan cara persis berkabung kematian, tetapi berpada-padalah dan sentiasa insafi kelemahan dan kekurangan diri kita semua.

Cuba tampung segala lemah dan kurang kita itu dengan puasa sunat enam hari Syawal dan seterusnya cuba mengekalkan dengan banyak berpuasa sunat khususnya pada hari-hari yang disunatkan berpuasa.

Ketiga, renungkan bersama juga bagaimanakah cara kita meraikan kegembiraan di Aidilfitri. Kita mulakan seawal malam hari raya, adakah kita kian sibuk dengan menganyam ketupat, membakar lemang, memasak rendang dan sebagainya sehingga kita terlupa dan terlepas untuk kekal melakukan amal ibadah?

Satu peringatan sangat baik untuk kita insafi sebagaimana dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah: “Siapa yang mendirikan malam hari raya dengan penuh penghisaban, nescaya tidak mati hatinya pada hari matinya segala hati.”

Kita penuhi Aidilfitri dengan memperbanyakkan takbir bermula pada malam hari raya sehinggalah menunaikan solat sunat hari raya. Kita juga digalakkan untuk bertahlil, bertahmid dan bertakbir pada hari raya.

Paling utama jangan kita tinggalkan solat sunat hari raya kerana ia sangat dituntut. Antara lain juga kita digalakkan berhias dengan mandi, memakai bau-bauan dan pakaian baharu pada hari raya serta sunat untuk segera ke masjid. Sunat juga untuk kita menjamah sedikit makanan sebelum pergi bersolat Hari Raya Aidilfitri.

Bergembiralah jua di Aidilfitri dengan kita menziarahi sanak saudara untuk eratkan silaturahim. Bergembira dengan jiwa bersyukur kepada Allah kerana mengizinkan kita menyempurnakan sebulan ibadah puasa dengan iman dan takwa kepada-Nya.

Berhati-hatilah saudaraku semua, jangan sampai kemuliaan Aidilfitri tercemar dengan perlakuan dosa kita. Jaga-jaga dengan pembaziran, batasan aurat terutama apabila berkumpul kaum keluarga dan lebih utama jangan sampai kewajipan solat terabai dek asyik berhari raya. – UTUSAN

PENULIS ialah Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×