ANAK-anak yang lahir wajib berbakti kepada ibu bapa. Tetapi ia bukanlah menjadi tempat untuk ibu bapa mencagarkan anak mereka.
Luahan seorang individu yang mana setiap bulan apabila menerima gaji pasti menjadi isu. Ibu bapa seolah-olah mewajibkan setiap anak membuat pinjaman peribadi RM50,000 untuk membalas jasa mereka.
Ulas Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd. Solahuddin Shahruddin, anak-anak ibarat kain putih yang dicorakkan oleh orang tuanya. Cantik acuannya maka cantiklah kuihnya.
“Itulah anak-anak kita. Tanggungjawab ibu bapa untuk mencorakkan anak-anak mengikut apa yang dikehendaki tetapi perlulah berlandaskan ajaran agama dan ikhlas tanpa mengharapkan balasan daripada anak,” katanya kepada Seri.
Tegasnya, ibu bapa perlu memahami perbezaan antara elemen keperluan dan kehendak serta memberi kefahaman berkaitannya kepada anak-anak yang meningkat dewasa.
“Elemen keperluan yang dimaksudkan adalah perkara asasi seperti makan minum yang halal, tempat tinggal yang baik, pakaian yang menutup aurat, dan pendidikan yang sempurna.
“Menjadi tanggungjawab ibu bapa dalam memenuhi keperluan anak-anak dahulu bukannya melihat kepada maslahah. Jika anak-anak telah dilahirkan dalam kemewahan yang diwarisi ibu bapa maka ia menjadi bonus kepada anak-anak,” katanya.
Tambah beliau, ibu bapa usah membanding setiap anak jika memiliki tahap pencapaian akademik berbeza kerana setiap rezeki telah ditetapkan oleh Allah SWT.
“Ajarkan ilmu agama dan peliharalah dengan kasih sayang. Insya-Allah, setiap anak itu membawa rezeki yang berbeza-beza. Rezeki ibu bapa tidak akan pernah putus di dunia mahupun di akhirat kelak melalui doa anak yang soleh,” katanya.










