Pengusaha pelancongan harap kerajaan lihat semula langkah pemulihan sektor itu - Utusan Malaysia

Pengusaha pelancongan harap kerajaan lihat semula langkah pemulihan sektor itu

Pengusaha pelancongan Taman Negara Kuala Tahan berharap kerajaan dapat melihat semula Belanjawan 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Pemain industri pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan di sini tidak jelas dengan usaha kerajaan membantu mereka selepas tiada insentif signifikan diumumkan dalam Belanjawan 2021 bagi melonjakkan kembali industri itu.

Pengasas Bird Group Taman Negara (BGTN), Sabri Abdullah berkata, penularan pandemik Covid-19 menyebabkan pengusaha pelancongan sangat terkesan dan penutupan Taman Negara secara drastik sebelum dibuka semula baru-baru ini memberikan kesan besar.

“Pemain industri pelancongan di sini tidak nampak insentif yang boleh menjamin kami untuk naik kembali dalam belanjawan yang dibentangkan,” katanya di sini semalam.

Mengulas peruntukan RM50 juta bagi membaik pulih kemudahan pelancongan seluruh negara, Sabri berkata, ia baik tetapi jumlah berkenaan tidak signifikan untuk semua.

Katanya, Taman Negara Kuala Tahan memerlukan banyak prasarana yang mampu memberikan tarikan ‘wow’ bagi menarik pengunjung dalam berhadapan cabaran besar industri pelancongan yang kini mengharapkan pelancong domestik.

“Kalau dengan peruntukan RM50 juta seluruh negara, bagi negeri dan khususnya Taman Negara Kuala Tahan berapa kita boleh dapat.

“Bagi inisiatif 500 peluang pekerjaan kepada Orang Asli dan penduduk tempatan sebagai pemandu pelancong taman negara pula kita belum pasti apa kaedah bantuan yang akan diberikan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abdul Rahman berkata, Belanjawan 2021 dilihat tidak memberangsangkan bagi sektor pelancongan.

Beliau yang juga pemandu pelancongan khas alam sekitar Taman Negara berkata, Belanjawan 2021 tidak membantu penggerak utama industri pelancongan yang sedang ‘nazak’ seperti ejen pelancongan, pengusaha hotel dan chalet yang semakin tertekan dengan kerugian tetapi dalam masa sama terpaksa membayar pinjaman.

“Saya lihat tiada insentif membantu mereka dan mereka bergelut membayar pinjaman dan sebagainya, kalau ramai pemandu pelancong sekali pun diwujudkan tetapi tiada pelancong dibawa tidak ada gunanya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×