Sedikit masa sahaja lagi Aidilfitri bakal menjelma membawa seribu satu kebahagiaan. Sudah tentu sudah ramai yang rancak menyiapkan persiapan ketika ini. Maklumlah sekatan pergerakan sudah tidak ada di seluruh negara, haruslah meriah.
Sebut sahaja pasal raya sudah tentu terbayang juadah dan kuih raya. Sudah ada kuih raya tentu kena ada balang raya, bukan?
Bermacam-macam rekaan balang kuih raya yang ada di pasaran. Daripada bentuk bulat, petak dan bulat atau daripada kaca dan plastik boleh dipilih mengikut selera masing-masing.
Namun, nampaknya tahun ini balang raya kaca menjadi trend dan pilihan disebabkan rekaan yang lebih mewah dan elegan.
Balang kaca seperti bentuk arkilik misalnya direka dengan tekstur mewah untuk melengkapkan dekorasi hari raya.
Rekaan balang yang didatangkan dalam warna putih dan keemasan serta sedikit bertekstur memberikan corak yang menarik.
Balang kaca dengan penutup kayu juga antara yang menjadi pilihan.
Bagi penggemar suasana estetik, balang jenis berkenaan sangat sesuai dipadankan dengan talam yang diperbuat daripada kayu bagi melengkapkan dekorasi.
Terkini, balang dengan penutup kayu Acacia antara yang paling laris.
Paling penting balang jenis itu juga kedap udara.
Rupa bentuk praktikal dan ringkas itu juga membolehkan ia digunakan semula untuk mengisi barangan dapur selepas raya.
Barangan dapur seperti tepung, beras atau bijirin boleh diletakkan dalam bekas berkenaan.
Selain serbaguna, balang tersebut juga boleh menjadi sebahagian dekorasi untuk tema rumah ladang atau rumah ala English.
Perlu atau tidak?
Sebenarnya, perlukah balang raya cantik? Pada saya, perlu kerana balang yang cantik dapat menarik perhatian tetamu untuk menjamah.
Rupa luaran sangat memainkan peranan penting menentukan sama ada isi dalam menarik atau tidak.
Jadi, balang yang cantik mampu membuka selera untuk para tamu. Tidaklah nanti penat buat kuih raya tapo tetamu tidak jamah pun, kan?
Namun, cantik sahaja tidak mencukupi. Ia juga haruslah praktikal sebagai bekas penyimpanan. Sebaiknya cari yang kedap udara supaya kuih tahan lebih lama dan tidak lemau.










