MUKADIMAH
PENGUASAAN kartel dalam industri penternakan ayam terus menjadi isu penting dan sering dibahas beberapa pihak.
Masalah berkenaan bukan sahaja memberi kesan kepada pemain industri, malah turut menekan pengguna yang terpaksa menanggung sebarang kenaikan harga ayam akibat percaturan kartel.
Malangnya, ada yang menuding jari dan mendakwa kementerian terlibat tidak berfungsi.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MUHAMMAD ARIEF CHE SOH dan jurugambar KAMARUL HASIFI KAMARUDIN, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), DATUK SERI ALEXANDER NANTA LINGGI berkongsi pandangan dan gerak kerja yang dijalankan kementeriannya berhubung isu berkenaan.
UTUSAN: Sejauh mana benar wujudnya kartel yang mengawal harga dan mengaut keuntungan berganda?
ALEXANDER: Cerita berkaitan kartel ini adalah cerita lama. Agensi di bawah KPDNHEP, iaitu Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dikerah menjalankan siasatan terperinci berkaitan hal ini. Mereka sudah buat laporan awal tetapi belum selesai. Jadi, dalam hal ini, saya mohon mana-mana pihak yang ada maklumat yang betul, benar dan tepat, sila tampil bantu MyCC dan KPDNHEP. Sebab tanpa maklumat tepat, sukar kami siapkan laporan yang boleh kita guna pakai untuk menangani masalah kartel atau monopoli ini.
Sebab dikatakan sudah berlaku berpuluh tahun, sesiapa boleh bercerita sebegitu. Dan kartel ini mungkin ada, saya tidak menafikan. Mungkin masa lampau pernah disiasat dan mungkin belum ada tindakan, tapi kali ini saya tegaskan supaya MyCC betul-betul buat siasatan terperinci dan serius.
Dan saya mahu suatu masa nanti, laporan MyCC ini kalau benar ada kartel, kita ambil tindakan sekeras-kerasnya kepada mereka yang terlibat.
Kenapa KPDNHEP sering dicemuh dan menjadi mangsa di sebalik isu peningkatan harga barangan?
Kami akui memang hampir setiap hari dapat banyak komen mengatakan kami tidak buat yang sepatutnya. Kami faham kerana kadang kala ia terjadi sebab masyarakat tidak dapat maklumat tepat, mungkin tidak faham keadaan sebenar.
Contohnya dalam isu harga ayam naik, semua orang sensitif dan pengguna merasakan mereka terbeban. Kami pula melihat kepada kaedah nak mengawal harga dan keberadaannya di pasaran. Tetapi kenaikan harga ayam ini banyak juga bergantung kepada pengeluaran di peringkat ladang yang bukan secara langsung di bawah kawal selia kementerian.
Kami menjalinkan kerjasama dengan pihak lain dan dalam hal ayam ini, pastinya bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), di mana keluaran ayam di peringkat ladang adalah di bawah kawal selia MAFI.
Sebab itu kita ada program advokasi dan pendayaupayaan pengguna, kita bantu mereka faham keadaan sebenar mengapa harga barang naik. Kebanyakan keluaran kita bergantung juga kepada input dari negara luar. Contohnya, sebanyak 70 peratus kos mengeluarkan ayam adalah dedak ayam dan hampir 100 peratus diimport dari negara asing. Banyak faktor mengapa harga dedak ayam naik. Ada yang disebabkan cuaca dan sekarang sebab yang luar biasa adalah peperangan Ukraine dan Rusia.
Sekarang kita baca, kita dengar, kita tahu ia adalah masalah global yang menyaksikan peningkatan harga barang, inflasi di seluruh dunia. Jadi itu hakikatnya, kita tidak boleh menafikannya. Cuma bagaimana kita bantu pengguna dan rakyat, kita kawal dan kita bantu antaranya secara terus iaitu pemberian subsidi kepada barangan keperluan.
Tidak pernah dalam sejarah, kerajaan wujudkan subsidi kepada ayam tetapi kali ini kita buat. Mengapa kita buat? Pertama, kerana kerajaan prihatin. Kalau setakat macam dahulu kita kawal sahaja mungkin tidak memadai untuk kita letak tahap harga di peringkat runcit dengan harga subsidi RM8.90 sekilogram.
Kuasa membeli golongan B40 semakin susut susulan peningkatan harga barangan. Bagaimana KPDNHEP melihat keadaan ini?
Ya, sememangnya tidak berapa manis didengar, tetapi hakikatnya sebegitu sebab harga barang keseluruhannya sudah naik. Fenomena ini berlaku di seluruh dunia dan kita tidak terkecuali. Banyak sebab seperti Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya.
Sebab itu kita seharusnya menerima hakikat bahawa kesemua harga barangan keperluan dan bukan keperluan sudah meningkat. Bukan bermakna kerajaan tidak ambil berat tentang masalah dan beban rakyat, kerajaan memang prihatin. Sebab itu kita berbelanja berbilion-bilion melalui subsidi tahun ini berbanding tahun sebelumnya.
Jadi, jangan mana-mana pihak di luar sana mengatakan seolah-olah kerajaan tak nak bantu. Kerajaan sudah bantu, sekarang pun bantu dengan subsidi yang terus bertambah. Cuma saya kata sebagai rakyat, kita harus juga tahu dan sedar bahawa subsidi mungkin akan berakhir kerana kalau sudah jauh meningkat nanti mampu atau tidak kita meneruskan subsidi. Sebab itu langkah-langkah jangka pendek kita bantu dengan subsidi yang dapat mengurangkan bebanan sara hidup sama ada B40 dan M40.
Satu lagi cara yang selalu kami sebut, iaitu menyarankan jadi pengguna yang bijak memilih, buatlah perbandingan harga. Sebab itu kami bangunkan satu aplikasi dikenali sebagai Price Catcher yang boleh dimuat turun melalui telefon bimbit untuk buat perbandingan. Dalam aplikasi ini ada maklumat-maklumat untuk membantu pengguna membuat pilihan sekali gus mengetahui tahap harga yang mungkin berbeza di satu-satu tempat. Jadi, aplikasi itu kita harap dapat membantu untuk buat pemilihan yang lebih baik.
Menjelang Hari Raya Aidilfitri, bagaimana KPDNHEP bertindak mengawal harga barang sekali gus menepis berlaku manipulasi harga di pasaran?
Kita lancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang memang dilaksanakan setiap tahun sama ada Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Pesta Keamatan dan Gawai di Sarawak. Untuk hari raya tahun ini, saya telah umumkan tempoh hari bahawa skim ini bermula 26 April sehingga 6 Mei ini.
Barangan yang disenaraikan semuanya 28 termasuk ayam dan telur. Ayam dan telur pelbagai gred ini sebenarnya sudah dikuatkuasa melalui Skim Harga Keluarga Malaysia bermula 5 Februari sehingga 5 Jun ini. Jadi, kita tambah untuk Hari Raya Aidilfitri ini 22 barangan, keseluruhannya 28 barangan.
Jadi, seperti biasa sebelum letak harga kawalan maksimum, kita buat libat urus bersama agensi atau pihak berkaitan iaitu MAFI untuk kita tentukan bekalan sama ada mencukupi atau tidak dan bagaimana keberadaannya di pasaran.
Jadi selepas kita berpuas hati dengan kajian dan libat urus, barulah kita tetapkan harga maksimum yang telah kita wartakan dan umumkan. Kali ini kita buat perseimbangan di antara bukan sekadar harga, kita tengok juga masa untuk kita bantu dan memudahkan peniaga selain tidak membebankan pengguna yang menggunakan barangan yang telah kita kenal pasti untuk dikawal harganya semasa Hari Raya Aidilfitri ini. – UTUSAN











