SPRM ada kuasa siasat hakim - Utusan Malaysia

SPRM ada kuasa siasat hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai kuasa menyiasat mana-mana pegawai badan awam termasuk hakim setelah menerima laporan atau aduan rasmi dibuat yang melibatkan perkara-perkara di bawah bidang kuasanya.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, Seksyen 3 Akta SPRM 2009 memperuntukkan kuasa kepada pihaknya menyiasat kes jenayah rasuah termasuk siasatan terhadap pegawai badan awam yang melibatkan mana-mana orang yang menjadi anggota, pegawai, pekerja atau perkhidmatan sesuatu badan awam.

Jelas SPRM, taksiran seksyen itu melibatkan anggota pentadbiran, ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan dan mana-mana orang yang menerima saraan daripada wang awam.

“Berdasarkan prosedur, suruhanjaya ini bertanggungjawab untuk mengesahkan dan menyiasat sesuatu laporan atau aduan rasmi yang telah dibuat kepada SPRM melibatkan perkara-perkara di bawah bidang kuasanya.

“SPRM telah diberikan kuasa untuk menyiasat kes jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009 termasuk siasatan terhadap pegawai badan awam’ yang ditafsirkan dalam Seksyen 3 akta itu.

“Selaras dengan prinsip pengasingan kuasa, setelah semua proses siasatan selesai dilakukan, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat keputusan sama ada melakukan pendakwaan atau sebaliknya,” kata kenyataan itu semalam.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Dr. Rais Yatim menegaskan, SPRM sepatutnya tidak mengumukan terlebih dahulu tentang siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali kerana boleh mencetuskan persepsi kurang baik dalam kalangan rakyat membabitkan institusi kehakiman.

Dalam itu, SPRM memaklumkan pihaknya telah mempunyai rekod menyiasat hakim yang mana kertas siasatan berkaitan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat penilaian.

“Berhubung siasatan terhadap hakim tersebut, SPRM telah menerima satu aduan pada 15 Mac 2022 disusuli dua lagi aduan pada 23 dan 27 April 2022 dan siasatan itu masih berada di fasa awal dan melibatkan kepentingan awam.

“Harus dijelaskan bahawa apabila sesuatu siasatan dijalankan terhadap mana-mana individu, ia tidak bermakna individu tersebut telah melakukan kesalahan. Sehubungan itu, SPRM memohon masyarakat umum memberi ruang untuk proses siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, penulis blog, Raja Petra Kamaruddin mengeluarkan satu laporan yang menyebut nama Hakim Mohd Nazlan dan beliau kemudian membuat satu laporan polis pada 21 April berhubung artikel berita disiarkan portal Malaysia Today yang mendakwa beliau sedang disiasat berhubung pemindahan wang yang tidak dapat dijelaskan ke dalam akaun banknya.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata, Mohd. Nazlan menafikan “tuduhan-tuduhan palsu, tidak berasas serta berniat jahat” yang bertujuan menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai seorang Hakim Mahkamah Rayuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×