Bukan sekadar ‘anugerah Allah’

Bukan sekadar ‘anugerah Allah’

MUAFAKAT Nasional (MN) formula terbaik untuk parti Melayu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NASIHAT Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, kejayaan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu tidak menjamin kemenangan sama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang. Banyak perkara dan cabaran perlu diteliti BN bagi persediaan menghadapi PRU15 termasuk memastikan ikhtiar BN Johor dipantau serta ditetapkan petunjuk prestasi utama (KPI). Antaranya, kenaikan harga barang.

Begitu juga (kelulusan pengeluaran) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kalau ia dianggap feel good factor tetapi dalam empat atau lima bulan ke hadapan, tidak pasti lagi.

Kadangkala terfikir juga, adakah perancangan UMNO ini hanya untuk menghadapi PRU15? Selepas menang untuk lima tahun macam mana pula? Kejayaan masa kini atau jangka pendek, tidaklah sebegitu besar berbanding jangka panjang. Kita perlu fikirkan mendepani 100 tahun akan datang. Paling baik hingga pengakhiran dunia ini.

Sebab itu saya amat teruja dengan pandangan, Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia apabila menyebut bahawa Muafakat Nasional (MN) adalah ‘anugerah Allah’ apabila UMNO dan Pas dapat bekerjasama setelah sekian lama ‘bermusuhan’ sehingga menjejaskan hubungan persaudaraan sesama saudara begitu meruntun. Inilah perancangan jangka panjang, bukan singkat sekadar menang PRU15.

Pandangan optimis dan proaktif Annuar ini ternyata agak berbeza sekali dengan pandangan pemimpin UMNO lain yang sedang memimpin parti pada hari ini. Ramai yang mahu MN ‘mati’ dan perlu ‘ditalkinkan.’

Jangan kerana kemenangan beberapa PRN tanpa MN menjadikan kita alpa. Tidak perlu MN lagi. UMNO (BN) boleh berdiri sendiri. Ingat, menang kalah semua itu berada dalam perancangan Allah. Hari ini berkuasa, esok belum tentu. Ambil iktibar PRU14.

Pada hemat saya, MN bukan setakat ‘anugerah’ tetapi penyelamat masa depan agama, bangsa dan negara. Bukan setakat jangka pendek berdepan PRU15 tetapi demi jangka masa panjang.

Melalui pengamatan saya dalam politik UMNO, ada segelintir pemimpin agama yang tidak mahu mengaku orang agama atau dikenali sebagai orang agama. Ya, memang tidak dinafikan, tidak semestinya orang yang bergelar ustaz itu menjadi menteri agama.

Pemimpin yang bukan ustaz pun mampu menjadi menteri agama, jika ada asas kukuh dan sifat berani mempertahankan Islam. Contoh seperti pernah ditunjukkan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menjadi menteri agama. Walaupun bukan berlatarbelakangkan agama, kepemimpinan beliau begitu menyerlah. Jauh lebih baik daripada orang agama itu sendiri, terutama keberanian dalam mempertahankan Islam apabila diserang musuh.

Sama seperti Annuar, walaupun bukan berlatarbelakangkan agama, pandangan beliau tentang agama dan masa depan Islam begitu tajam. Walaupun MN dilanda dengan pelbagai masalah, beliau masih begitu optimis. Meskipun dibenci dan tidak disukai oleh beberapa pemimpin UMNO masa kini.

Saya cukup bimbang jika dalam kalangan kita tidak dapat melihat anugerah tersebut dan tidak berusaha memperkasakan anugerah tersebut dengan sebaik-baiknya. Malah, merancang untuk meruntuhkan dengan lebih cepat supaya terkubur.

Jika diteliti secara mendalam, selepas UMNO kecundang dalam PRU14, jika MN tidak dihidupkan, mana mungkin UMNO kembali berkuasa pada hari ini. Sokongan Pas terhadap UMNO amat penting dalam kancah politik hari ini.

PUTRAJAYA

Anugerah ini perlu dilihat dari pelbagai sudut.

Pertama, MN ternyata berjaya menggerunkan musuh-musuh Islam meskipun UMNO-Pas kecundang dalam PRU14. Dalam kata lain, MN atau muafakat dalam kalangan orang Islam tidak disukai musuh kerana mereka tahu itulah resepi kejayaan.

Kedua, saya meminta pemimpin UMNO-Pas supaya lebih banyak bersyukur dengan anugerah ini kerana Allah masih membuka peluang kepada kita. Bayangkan kedua-dua parti ini terus keras hatinya, apakah UMNO dapat merintis jalan ke Putrajaya pada hari ini?

Ketiga, saya juga ingin mengingatkan bahawa jangan sampai nikmat anugerah ini membawa kita berputus asa dengan rahmat Allah. Jika ada kelemahan perbaiki bukan saling menuding jari dan bercakaran.

Keempat, dalam politik, tidak ada siapa yang betul atau salah seratus peratus. Perkara yang perlu diselesaikan sekarang, bukan soal siapa, tetapi apa? Perjelaskan apa yang betul, apa yang salah.

Kelima, fikirlah soal masa depan yang panjang. Jangan hanya memikirkan masa kini. Jika hanya untuk menang PRU15, nampak sangat kita sangat kemarukkan kuasa, bukan masa depan ummah yang lebih gemilang.

Keenam, jangan perjudikan masa depan agama dan anak bangsa. Perlu ada penegasan dan ketegasan dalam politik.

Dalam hal ini, saya amat teruja dengan pendekatan Datuk Seri Najib Tun Razak. Meskipun ada suara mahukan MN dibubarkan, beliau mengambil pendekatan tidak serang sana, serang sini. Dalam beberapa PRN, tidak pernah beliau menyerang Pas. Kenapa? Jawapan mudah, Najib berjiwa besar, melihat kepada masa depan yang panjang, bukan jangka pendek, meskipun terpaksa berhadapan dengan kes mahkamah berjela panjangnya.

Ketujuh, jika MN terkubur, muafakat apa lagi menginsafkan kita?

Kelapan, ketika MN diumumkan, berapa banyak air mata gugur ke bumi, betapa khalayak begitu mengidamkan penyatuan agung yang selama ini dinantikan?

Kesembilan, jika mahu lihat negara yang berasaskan kenegaraan Melayu ini terus kekal untuk jangka masa panjang, tidak ada pilihan, anugerah MN ini mesti diteruskan dan dipertahankan.

Insaflah, sekarang bukan masa menuding jari untuk melihat siapa benar, siapa salah. Sekarang adalah masa biduk lalu kiambang bertaut. Justeru, pastikan MN tetap mekar dan subur. Bajailah ia meskipun kadangkala layu kerana jika terkubur, paling rugi adalah kita. Sudah tentu paling beruntung adalah MCA, Gerakan, MIC dan DAP kerana mereka menang atas angin disebabkan kemelut sesama kita. Renungkanlah. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah ialah Pensyarah di Pusat Pengajian Teras, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×