Mengukuhkan mata wang RM

Mengukuhkan mata wang RM

SEMUA negara di dunia takut jika mata wang dolar AS susut atau dinilai semula disebabkan krisis perang Rusia-Ukraine. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOLAR Amerika Syarikat (AS) sedang menghadapi krisis runcing dalam perdagangan antarabangsa ekoran kesan senjata makan tuan. Namun, ia masih menepati harapan global untuk menaik secara umum 3.2 peratus pada 2022 setelah meningkat 6.4 peratus pada 2021.

Mata wang Ringgit Malaysia (RM) tidak disangkutkan kepada dolar AS setelah ia dibuat demikian antara 1998 dan 2005 dan cuba berpisah daripada dilihat duduk di bawah ketiak Uncle Sam. Walaupun begitu, pada hakikatnya bukan sahaja mata wang kita, tetapi banyak perkara terutama pasaran saham dan kewangan Malaysia amat bergantung dan dipengaruhi oleh apa yang berlaku di AS.

Misalnya, kini rizab persekutuan AS dianggarkan akan menaikkan kadar faedah secara agresif pada tahun ini dan 2023. Jadi, nilai dolar AS akan terus naik berbanding mata wang lain termasuk RM.

RM menyusut pada kadar 4.1 peratus tahun ini berbanding dolar AS. Pada tahun ini, RM menyusut 1.3 peratus berbanding dolar AS. Hari ini, kadar pertukaran RM kepada dolar AS ialah RM4.305, satu penurunan agak mendadak daripada RM4.21 pada awal April 2022.

Bagaimanapun, RM terus mengukuh berbanding mata wang lain, iaitu 4.2 peratus berbanding Euro dan 6.7 peratus berbanding Yen pada tahun lepas. Pada tahun ini, RM mengukuh 1.8 peratus berbanding Euro dan 4.2 peratus Yen.

Di peringkat Asia, RM meningkat sebanyak 6.7 peratus berbanding Thai Baht pada 2021 tetapi mata wang kita merosot berbanding kebanyakan mata wang negara Asia.

Berbanding Yuan (China), mata wang RM menunjukkan arah mengukuh walaupun kadar kenaikan pertukaran adalah agak kecil.

Dolar AS sebagai sebuah mata wang dagangan dan mata wang rizab sedang diuji. Krisis Rusia-Ukraine-Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengundang perubahan besar dalam dunia perdagangan antarabangsa.

The New World Order sebenarnya sudah mula dilancarkan kesan daripada perang Rusia-Ukraine. Sekatan (sanction) yang dikenakan oleh AS kepada Rusia dan sekutunya serta peraturan perdagangan telah menjadi senjata makan tuan dan mungkin menyebabkan dolar AS sebagai mata wang penting dunia boleh terpinggir dan diganti oleh peraturan baharu.

Peperangan kewangan yang menggantikan peperangan fizikal dilihat melemahkan AS dan sekutu NATO sendiri. Sekatan penggunaan Swift dalam perbankan dan penggunaan mata wang dolar AS untuk perdagangan antarabangsa kepada Rusia dan sekutunya serta musuhnya menyebabkan Rusia tidak ada pilihan selain menggunakan mata wangnya sendiri, Ruble untuk berurus niaga di arena antabangsa.

Rusia mempunyai kelebihan sebab ia membekalkan lebih 35 peratus sumber minyak dan gas dunia. Bila ia memaksa pembeli minyak dan gasnya untuk membayar dalam Ruble, keputusan itu tidak dapat dipersoalkan oleh dunia. Jadi, ahli NATO pun terpaksa tunduk dengan peraturan Rusia dan dilihat secara tidak langsung melawan arah matlamat AS.

EMAS

Kini China dan Arab Saudi juga sudah mula cuba berpisah dengan dolar AS dan memperkenalkan Petrol-Yuan (berbanding sebelumnya di mana seluruh dunia menggunakan Petrol-Dolar).

Apa yang lebih menarik ialah Rusia juga telah mengukuhkan mata wang Rublenya dan membuat keputusan untuk kembali kepada model ala Bretton-wood yang menggunakan rizab emas sebagai sandaran mata wang Ruble.

Rusia kebetulannya mempunyai stok emas terbesar di dunia (2,300 ton). Rusia dengan bijaknya menilai jongkong emas tulennya 30 peratus lebih murah (pada AS$500 per auns) berbanding harga emas di pasaran (AS$700 per auns) mengetahui nilai dolar AS adalah disandarkan pada harga emas ini. Secara teknikalnya, nilai dolar AS kini susut sebanyak 29 peratus berbanding nilai emas dengan tindakan Rusia ini.

Namun, reaksi pasaran masih berbelah bahagi kerana kebanyakan negara termasuk Malaysia masih menyimpan rizab aset dalam bentuk dolar AS. Malaysia umpamanya mempunyai rizab antarabangsa sebanyak AS$115.8 yang kebanyakannya dalam bentuk mata wang atau instrumen dolar AS.

Semua negara dunia takut jika dolar AS susut atau dinilai semula disebabkan krisis ini kerana masing-masing mempunyai banyak aset dalam nilai dolar AS yang akan turut merosot kesan daripadanya.

Malaysia tidak ada pilihan kerana masih menjalankan perdagangan barang-barang dan perkhidmatan dalam dolar AS. Jadi, kita masih terpaksa bergantung kepada dolar AS.

Jika kita mengubah tumpuan belian kepada urus niaga dalam mata wang Yuan atau Ruble atau Euro misalnya, kita boleh mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS.

Jika China dan negara besar lain di Asia juga kembali kepada sistem Bretton-wod menggunakan rizab emas, pastinya dolar AS akan tumbang.

Dolar AS sememangnya tidak ada nilai sandaran dan hanya terus kukuh kerana hampir semua negara di dunia termasuk Rusia menyimpannya sebagai aset.

Malaysia patut mengambil peluang ini untuk mengkaji semula cadangan memperkenalkan mata wang Dinar yang bersandarkan kepada emas sebagai mata wang masa hadapan.

Lebih-lebih lagi jika kita dapat mewujudkannya dalam bentuk mata wang Crypto atau mata wang maya sempena pelancaran bank digital secara rasmi di Malaysia.

Ini tentu menjadi impian ramai cendekiawan dan kapten industri di Malaysia yang mahu melihat ekonomi negara kita bebas daripada kongkongan konspirasi dolar AS dan Uncle Sam. – UTUSAN

DR. Barjoyai Bardai ialah Profesor Emeritus di Sekolah Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UTAR).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×