Jaminan kepada pemain industri, masyarakat pelabur

Jaminan kepada pemain industri, masyarakat pelabur

PERDANA Menteri dilihat menggunakan pendekatan pragmatik di mana beliau lebih gemar berjumpa sendiri dengan pemegang taruh bagi memahami sendiri isu-isu ekonomi dan kewangan yang membelenggu. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK ramai dalam kalangan pemain industri dan penganalisa ekonomi yang menaruh harapan tinggi apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri pada 21 Ogos 2021. Ketika itu, negara masih berdepan dengan kesuraman ekonomi akibat pandemik Covid-19 dan ramai yang meragui kemampuan beliau untuk melaksanakan reformasi ekonomi.

Beliau dilantik ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berlarutan yang telah menyebabkan banyak syarikat gulung tikar, pekerja kehilangan sumber pendapatan dan penyusutan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Namun selepas hampir lapan bulan memegang amanah sebagai Perdana Menteri, keupayaan beliau memimpin negara keluar dari kancah kegawatan ekonomi mula terbukti.

Sebagai contoh, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan nilai perdagangan negara bagi Mac 2022 mencatatkan kenaikan tahun ke tahun sebanyak 7.3 peratus kepada RM236.6 bilion yang juga merupakan nilai tertinggi pernah direkodkan.

Eksport negara bagi tempoh sama pula meningkat 25.4 peratus daripada RM105 bilion ke RM131.6 bilion. Ini merupakan bulan ketujuh berturut-turut semenjak September 2021 di mana nilai eksport bulanan mengatasi angka psikologi RM100 bilion.

Sektor borong dan runcit turut mencatatkan perkembangan memberangsangkan di mana bagi Februari 2022, ia mencatatkan kenaikan 8.5 peratus kepada RM117.2 bilion berbanding bulan sama, tahun lepas.

Perdana Menteri dilihat menggunakan pendekatan pragmatik di mana beliau lebih gemar berjumpa sendiri dengan pemegang taruh seperti persatuan-persatuan industri bagi membolehkan beliau memahami sendiri isu-isu ekonomi dan kewangan yang membelenggu. Beliau juga bersikap terbuka dalam proses libat urus dan tidak mencampuradukkan sentimen peribadi atau ego dalam menentukan sesuatu dasar.

Sebagai contoh, walaupun pada awalnya Ismail Sabri kurang setuju dengan pengeluaran khas RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun selepas mendapatkan maklum balas daripada rakyat sendiri, beliau akhirnya meluluskan cadangan tersebut.

Permintaan domestik dijangka menerima tempias positif hasil keputusan membenarkan pengeluaran khas KWSP ini. Sehingga pertengahan April 2022, sejumlah 5.3 juta ahli KWSP telah mengemukakan permohonan membabitkan jumlah pengeluaran sebanyak RM40.1 bilion.

Ini akan menyuntik kecairan dalam pasaran tempatan dan dijangka mampu memberi kesan gandaan (multiplier effect) terutama untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Demikian juga dengan pengumuman gaji minimum baharu RM1,500 yang beliau buat pada bulan lalu. Pada peringkat awalnya, beliau berkeberatan untuk meluluskan cadangan berkenaan kerana kekhuatiran tentang kesan buruk seperti kenaikan kos kepada para majikan.

Namun, beliau juga melihat peranan penting gaji minimum sebagai komponen utama kepada dua agenda besar yang perlu dicapai menjelang 2025, iaitu miskin sifar serta Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi. Miskin tegar merujuk kepada isi rumah dengan pendapatan bulanan di bawah RM1,169 berdasarkan kepada kos pembelian makanan bagi isi rumah dengan empat orang ahli keluarga. Gaji minimum baharu ini akan membantu mempercepatkan usaha mengatasi isu kemiskinan tegar.

Untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2025, Malaysia perlu mencapai Pendapatan Kasar Negara (Gross National Income) per kapita AS$12,535 (RM53,524). Pada 2019, ia berada di tahap AS$11,200 (RM47,824).

Adalah dianggarkan untuk mencapai sasaran ini, KDNK antara 2021 hingga 2025 perlu berkembang pada kadar antara 4.5 hingga 5.5 peratus setiap tahun. Untuk rekod, KDNK untuk 2021 berkembang 3.1 peratus manakala untuk 2022, ia diunjurkan meningkat pada kadar antara 5.5 hingga 6.5 peratus.

Di sebalik pencapaian memberangsangkan setakat ini, masih ada beberapa isu besar berkaitan ekonomi peringkat nasional yang perlu dipantau dalam waktu terdekat termasuk pelaksanaan rangkaian generasi kelima (5G), lesen bank digital, ancaman kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta pengambilalihan konsesi empat lebuh raya di Lembah Klang.

Selain itu, terdapat juga desakan untuk program subsidi petrol bersasar bagi memastikan ia hanya dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak. Apatah lagi untuk tahun ini, jumlah subsidi petrol boleh mencecah RM28 bilion.

Kajian Perbelanjaan Isi Rumah 2009/2010 oleh Bank Negara menunjukkan 20 peratus isi rumah terkaya menikmati 42 peratus subsidi petrol berbanding hanya empat peratus untuk 20 peratus isi rumah termiskin. Jika tiada inisiatif untuk menangani ketirisan ini, subsidi petrol boleh menjadi bebanan besar kepada kedudukan kewangan negara.

Untuk meneruskan reformasi ekonomi ini, Malaysia memerlukan kestabilan kepimpinan politik agar dasar fiskal dan kewangan sedia ada boleh dilaksanakan dengan berkesan dan konsisten.

Dalam hal ini, pengumuman oleh UMNO bahawa Ismail Sabri akan menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti merupakan suatu jaminan yang amat dialu-alukan oleh pemain industri dan masyarakat pelaburan.

Ia merupakan satu isyarat yang penting bahawa segala perancangan dan dasar ekonomi sedia ada akan diteruskan selepas pilihan raya umum akan datang.

PENULIS ialah akauntan bertauliah dan penganalisa ekonomi bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×