MENGENALI sosok bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa, walaupun nampak tegas, namun tetap mesra dan ada kalanya melantunkan lawak jenaka ketika sesi sidang akhbar.
Sepanjang 10 tahun menjadi wartawan, saya beberapa kali berpeluang bertemu dan menemu bual beliau. Setiap kali itulah beliau begitu bersungguh-sungguh memperjuang serta memastikan perkhidmatan awam mendukung dan melaksanakan apa jua dasar negara termasuk Dasar Transformasi Negara melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Sosial supaya Malaysia menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Malah beliau sering kali menegaskan bahawa penjawat awam dilarang menyertai perhimpunan yang menentang kerajaan demi memastikan mereka menjalankan tanggungjawab sebagai kakitangan dengan baik.
Prinsipnya jelas, mahu mengubah persepsi negatif terhadap perkhidmatan awam negara.
KSN ke-13 yang dilahirkan pada 29 Ogos 1958 di Kluang, Johor itu merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Ekonomi serta Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sains Alam Sekitar dan Ekonomi dari Oklahoma State University, Amerika Syarikat.
Pada awalnya, beliau merupakan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang kemudiannya pada 5 Januari 1981 dilantik sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian serta pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah dan Ketua Unit Perkapalan, Kementerian Pengangkutan.
Beliau juga pernah berada dalam Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dari 16 Disember 1997 hingga 21 April 2009 dan menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Ekonomi Wilayah sejak 2003.
Beliau menyandang tugas Pengarah Seksyen Pembahagian; Timbalan Ketua Pengarah Program Transformasi Kerajaan; Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri dari 22 April 2009 sehingga 2012.
Ali juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Johor Corporation dan Pengarah Bukan Eksekutif Bintulu Port Holdings Berhad serta mempunyai rekod cemerlang.
Pada 19 Jun 2012, beliau diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dilantik sebagai KSN bagi menggantikan Tan Sri Mohd. Sidek Hassan yang tamat kontrak perkhidmatan pada 23 Jun 2012.
Ketika itu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik pelantikan Ali serta berharap beliau bukan sahaja dapat memantapkan lagi sektor awam negara dan menjayakan program transformasi kerajaan tetapi memastikan hubungan antara pekerja dengan kerajaan bertambah baik dan harmoni. Tanggungjawab itu dipikul dengan baik dan jelas ternayata berjaya.
Di sebalik kesibukan memikul tanggungjawab sebagai KSN, beliau dipilih sebagai Ikon Membaca Kebangsaan pada 21 September 2014, sekali gus menjadi penjawat awam pertama menerima anugerah itu yang sebelum ini diterima oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; pelakon antarabangsa, Datuk Michelle Yeoh dan angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.
Anugerah itu hasil inisiatif Perpustakaan Negara Malaysia sejak 2009 bagi menggalakkan dan membudayakan amalan membaca terutama dalam kalangan generasi muda. Beliau suka membaca hal ehwal ekonomi dan kepimpinan, kartun dan fiksyen.
SAKSI PENTING
Sekiranya mengikuti perkembangan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ali yang merupakan saksi keempat pendakwaan menyatakan kepada Mahkamah Tinggi pada 19 November 2019 bahawa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada jawatannya selepas beliau membangkitkan terlalu banyak soalan berkaitan kekayaan dana tersebut.
Dalam masa sama, beliau juga mendedahkan pemecatan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada Julai 2015 disebabkan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak telah hilang keyakinan terhadap ketua penasihat undang-undangnya.
KEHILANGAN
Hari ini, negara sekali lagi kehilangan sebutir permata berharga apabila Ali, 66, yang juga anak kedua daripada lapan beradik menghembuskan nafas ketika menerima rawatan di Hospital Dublin, Ireland.
KSN, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, pemergian Allahyarham pada Ramadan yang mulia adalah satu kehilangan besar kepada negara dan perkhidmatan awam.
“Mewakili seluruh warga Perkhidmatan Awam Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tan Sri Dr. Ali Hamsa yang kembali ke rahmatullah pada hari ini, 21 April 2022 bersamaan 19 Ramadan 1443H di Hospital Dublin, Ireland.
“Sesungguhnya, pemergian beliau di bulan Ramadan yang mulia ini merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Menjenguk ke laman Facebook, selain pekerja sektor awam membanjiri ucapan takziah ke atas kepulangan Ali ke negeri abadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi hantarannya juga mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Ali.
Ismail Sabri memaklumkan bahawa Ali telah menabur jasa dan bakti sepanjang perkhidmatannya dan pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat negara.
Semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman. – UTUSAN











