Perbaiki kemudahan perhubungan negeri di Kelantan

Perbaiki kemudahan perhubungan negeri di Kelantan

KEADAAN jalan sesak di Jambatan Sultan Yahya Petra ekoran peningkatan pengguna jalan raya keluar dari Tumpat ke Kota Bharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESESAKAN berjam-jam di jalan raya di Kelantan walaupun sudah sekian lama namun masih belum diperbaiki terutama apabila ketika tiba musim perayaan mahupun waktu puncak. Boleh dikatakan sebahagian besar jalan raya negeri ini masih menggunakan dua lorong iaitu sehala pergi dan sehala balik.

Penggunaan kenderaan yang semakin meningkat sejak sedekad lalu disebabkan kemudahan bas rentas desa dan antara bandar kurang mendapat sambutan. Kemudahan bas boleh dikatakan kurang berkesan dalam menyediakan perkhidmatan yang sepatutnya kepada rakyat Kelantan.

Jalan raya pintasan yang dibina masih lagi menggunakan konsep sehala sedangkan jumlah penggunaan kereta amat tinggi seperti di Jalan Pasir Mas ke Tunjong, Pasir Putih ke Jeli, Pasir Mas ke Rantau Panjang dan sebagainya.

Lebuh Raya Kota Bahru ke Kuala Krai pula masih belum disiapkan walaupun sudah melebihi lima tahun dalam pembinaan. Kerajaan Negeri Kelantan perlu merangka strategi mampan perhubungan jalan dan alternatif lain bagi meningkatkan pembangunan sosioekonomi negeri ini.

Setiap perhubungan jalan negeri terutama jalan antara bandar seperti di Kota Bahru, Machang, Pasir Putih, Pasir Mas dan lain-lain adalah sentiasa berada dalam kesesakan tanpa mengira masa pada masa kini. Kesesakan yang teruk di jalan bandar berpunca daripada ketiadaan pelan untuk meremajakan bandar tersebut yang sesuai dengan tahap pembangunan yang mampan di bandar.

Ada kalanya pembesaran bandar seperti Machang, Pasir Mas, Rantau Panjang dan sebagainya diperlukan kerana pertambahan penduduk menyebabkan pertambahan keperluan yang selari dengan perubahan zaman.

Pemfokusan kepada kawasan-kawasan tertentu dalam pembangunan bandar adalah kurang sesuai kerana akan menyebabkan kawasan bandar yang tersedia ada tidak dibangunkan walaupun berpotensi. Ikhtiar melihat konsep perbandaran yang lebih lestari untuk kesejahteraan komuniti terutama penyediaan kemudahan seperti kurangnya kesesakan jalan dan parking kereta perlu difikirkan demi masa depan Kelantan.

DAIF
Tetapi apa yang berlaku kebanyakan jalan yang dibina pada tahun 1990an masih belum diperbaiki dan dimodenkan selaras dengan keperluan pengguna jalan raya. Ini boleh dilihat apabila sebahagian jalan raya masih belum berubah sedangkan Terengganu lebih jauh ke depan dalam memperbaiki mutu dan kemudahan jalan rayanya kepada pengguna. Boleh dikatakan setiap bandar utama di Terengganu seperti di Kuala Terengganu, Dungun, Kuala Berang dan Kemaman telah jauh berubah.

Ini menyebabkan Kelantan kelihatan daif dari segi penyediaan kualiti mutu kemudahan perhubungan jalan raya. Tanpa adanya pembangunan perhubungan jalan raya, pelaburan luar untuk pembangunan perbandaran akan kelihatan kurang berdaya saing.

Kota Bahru mempunyai kelebihan dan keunikan kerana merangkumi sejumlah kawasan yang agak besar. Tetapi kurang dibangunkan untuk menarik pelaburan atau pelancong luar melihat keindahan pesisir pantai mahupun keindahan bandar lestari. Walaupun bandar Tumpat dibangunkan tetapi kemudahan perhubungan jalan mahupun kemudahan lain masih kurang mampu untuk menarik pelancong luar datang.

Manakala jalan persekutuan yang menghubungkan laluan utama Kelantan dengan negeri-negeri di utara dan pantai barat iaitu Lebuhraya Timur-Barat yang dibina dan siap pada tahun 2005 dengan tambahan penyambungan Gerik ke Lebuhraya Butterworth- Kulim sehingga ke Pulau Pinang kini semakin sesak.

Malah, kerap kali berlakunya kemalangan sehingga mengorbankan nyawa. Ini disebabkan jalan persekutuan tersebut masih berkonsepkan selorong pergi dan selorong balik. Bahkan kerap kali juga jalan persekutuan mahupun jalan negeri di Kelantan sentiasa tidak diselenggara dengan baik apabila banyak jalan berlubang dan tidak disediakan lampu jalan. Ini amat membahayakan pengguna jalan raya terutama ketika waktu hujan dan malam.

Walaupun tiada laluan tol bagi perhubungan di jalan Persekutuan tetapi kemudahan pemagaran supaya tiada binatang ternakan atau liar berkeliaran amat diperlukan bagi mengelakkan kemalangan yang tidak diingini. Penjagaan kualiti jalan yang tidak bertol di jalan Persekutuan yang menghubungkan Kelantan dengan negeri-negeri lain perlu sentiasa dipantau bagi mengekalkan kemudahan tersebut lestari dengan jumlah pengguna jalan raya sepanjang tahun.

LRT & MONORAIL
Mungkin sudah tiba masanya bagi Kerajaan Negeri Kelantan mencadangkan agar diwujudkan perkhidmatan sistem pengangkutan Transit Aliran Ringan (LRT) atau Monorail di bandar-bandar utama bagi mengurangkan jumlah penggunaan kenderaan di jalan raya. Perhubungan moden LRT dan Monorail menjadi keperluan terutama bagi membangunkan keseluruhan kawasan bandar dan luar bandar secara holistik.

Andai pembesaran jalan dan pembinaan jalan baharu memakan kos, maka lebih baik kos tersebut dialihkan untuk membina LRT dan Monorail yang diselia dan disediakan melalui kerjasama pintar antara pihak swasta dengan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Rangka strategi penyediaan perkhidmatan ini amat diperlukan bagi daya saing bandar dalam masa akan datang. Situasi ini boleh dipertimbangkan apabila jumlah kenderaan melebihi kapasiti untuk menampung jumlah kenderaan yang sedia ada.

Jika ini tidak dilakukan maka pengguna jalan raya di bandar tersebut akan menghadapi fenomena kerugian masa dan peningkatan pelepasan gas karbon. Impaknya adalah penurunan kualiti kesihatan terutamanya kesihatan mental penduduk bandar-bandar utama seperti Kota Bahru, Machang, Pasir Mas dan lain-lain.-UTUSAN

DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×