BAHASA Indonesia ialah kelainan nasional bahasa Melayu di republik itu. Begitu juga dengan bahasa Melayu Malaysia, Singapura dan Brunei.
Dalam kepelbagaian ini, setiap kelainan ini didapati masih utuh ciri asas bahasa Melayu yang merupakan induknya.
Walaupun begitu, setiap kelainan mengalami perkembangan secara berasingan sehingga terbentuk corak tersendiri pada bahasa Melayu yang digunakan di negara tertentu. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila kita menonton rancangan televisyen di semua negara ini.
Sehubungan ini, kita masih memahami semua rancangan yang disiarkan kerana wujudnya persamaan.
Pada masa sama kita juga mendapati wujud perbezaan yang disebabkan penggunaan kelainan nasional masing-masing.
Kelainan nasional ini sebenarnya adalah identiti nasional bagi setiap negara, di samping berupa lambang kedaulatan negara kerana bahasa Melayu adalah bahasa negara di empat buah negara ini.
Meskipun sebagai identiti nasional dan lambang kedaulatan negara masing-masing, semua ciri asas bahasa Melayu tidak sesekali dipinggirkan, antaranya sistem bunyi dan nahu.
Ciri pembeza antara kelainan nasional itu didapati hanya wujud dari segi penyebutan, intonasi dan cara pengungkapan.
Ia tidak merupakan unsur utama dalam sistem bahasa Melayu, justeru tidak akan sesekali mengasing-asingkan kelainan nasional ini, kecuali mewujudkan ragam berbeza sahaja.
Dengan penyebutan, ia bermakna wujudnya cara tertentu kelainan nasional ini diucapkan dari segi aksen, iaitu kelainan pertuturan yang berbeza dengan kelainan lain.
Manakala intonasi merujuk kepada pola naik turun suara ketika bertutur yang merupakan irama suara semasa bercakap.
Cara pengungkapan pula ialah penggunaan bahasa baik, khususnya dari segi kata dan nahu yang merupakan identiti berbahasa dalam sesuatu kelainan itu.
Dengan ini, penyebutan pada kelainan Indonesia pada kata pinjaman daripada bahasa asing, selalunya akan mengikuti sistem bunyi bahasa Melayu, iaitu diucapkan seperti yang dieja.
Ini dapat dilihat misalnya pada kata “produk” yang akan disebut dengan nilai bunyi “u” pada suku kata kedua.
Ini membezakannya dengan kelainan lain, khususnya di Malaysia yang rata-rata menyebutnya dengan nilai bunyi “a” walaupun terang-terangan “u” adalah vokalnya. Aksen beginilah yang memberi keperibadian kepada kelainan Indonesia.
Intonasi kelainan Indonesia begitu berbeza sehingga melahirkan irama suara bercakap tertentu lagi khusus dalam pengucapan bahasa Melayu.
Irama ini tidak dapat dinafikan adalah identiti kelainan Indonesia yang bukan sahaja amat ketara, tetapi juga jati diri fizikal kelainan nasional itu. Ia ciri unik lagi istimewa sebagai keperibadian tersendiri yang tidak sama dengan kelainan nasional bahasa Melayu lain.
Cara pengungkapan kelainan Indonesia dari segi kata dan nahu sering kali bersifat amat tersendiri sehingga boleh menimbulkan keanehan bentuk selain kesukaran pemahaman.
TRADISI
Sebagai contoh, cara pengimbuhan idiosinkratiknya: “terkait dengan perkara itu…”, “sejarah pemengaruhan Balai Pustaka…” dan “pemerintah akan memberlakukan peraturan…”. Begitu juga dengan kata sama bunyi dan ejaan tetapi berlainan penggunaannya.
Antaranya ialah jabat pada pejabat yang dalam kelainan lain bermakna tempat bekerja, tetapi bermakna orang memegang jawatan dalam kelainan Indonesia.
Selanjutnya, jabatan membawa makna bahagian daripada sesuatu pentadbiran dalam kelainan lain, tetapi bermaksud pangkat seseorang dalam organisasi dalam kelainan Indonesia.
Sesungguhnya tiga ciri ini tidak sepatutnya digunakan untuk mengasingkan kelainan Indonesia daripada yang lain-lain sebagai bukan lagi bahasa Melayu, walau macam mana sekalipun jurang pemahamannya, yang dianggarkan sekitar 30 peratus tahap perbezaannya dengan yang lain-lain.
Sebenarnya jurang ini tidak disebabkan sangat oleh kata pinjaman asing dalam bahasa Indonesia yang banyak sekali itu.
Ia lebih kepada kata asal bahasa Melayu yang banyak digunakan dalam kelainan Indonesia, yang kini tidak diketahui, justeru tidak difahami komuniti kelainan lain.
Antaranya ialah kata langka pada ayat “Dilarang keras membunuh binatang yang sudah langka (jarang dijumpai)” dan kata guyur pada ayat “Dia ikut mengguyur (menyiram) kucingnya sewaktu melakukan perbuatan itu ke atas sayuran jualannya”.
Semua perbezaan ini wujud daripada perkembangan tradisi yang tidak sama, waima daripada teras yang sama, iaitu warisan Melayu. Untuk ini, pada satu sudut, kelainan berbeza-beza ini ibarat hanya warna tidak sama pada kanvas lukisan yang sama.
Sehubungan ini, semuanya saling melengkapi antara satu sama lain dalam konteks solidariti Alam Melayu. Pada sudut lain, ia memperlihat pemikiran tidak sama mengenai hasilan perkembangan yang berlainan itu, waima daripada peradaban Melayu yang diwarisi bersama.
Dalam hal ini, yang mahu dilunaskan mengikut hukum linguistik, satu kelainan itu bukan sahaja mahu dipertentang dengan yang lain sebagai lebih layak, kelainan tertentu juga mahu didiskriminasikan sebagai tidak sehebat yang satu itu.
Sebetulnya Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei adalah negara serumpun yang seketurunan dari segenap segi perihal Melayu.
Sehubungan ini, walaupun terdapat perubahan budaya yang berlaku pada bahasa Melayu di setiap negara ini, ia didapati tidak sesekali menjejaskan struktur asasnya sehingga memberi kesan negatif pada sistem bahasa Melayu itu sendiri, sama ada dari segi sistem bunyinya mahupun cara pembentukan kata dan pembinaan ayatnya. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.










