Jasa besar ‘katak’ pada UMNO - Utusan Malaysia

Jasa besar ‘katak’ pada UMNO

LANGKAH Sheraton menyaksikan Muhyiddin Yassin (tengah) dilantik sebagai Perdana Menteri berikutan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas 22 bulan mentadbir negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANPA ‘katak’ ini, mana mungkin UMNO akan kembali berkuasa, kuat dan kaya seperti hari ini?

Sedih mendengar perbahasan sidang khas Parlimen mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 berkaitan Akta Anti Lompat Parti pada 11 April lalu, apabila mereka yang melompat digelar sebagai katak terus dipersalahkan. Seolah-olah tindakan mereka tiada nilai langsung.

Walhal dari sudut lain, tindakan mereka memberi kesan besar kepada sebuah negara yang berasaskan sistem kenegaraan Islam, Melayu dan bumiputera. Melayu, Islam, bumiputera ‘kembali berkuasa.’ Sebelum itu, amat ketara kerajaan dominasi DAP.

Malaysia seolah-olah ‘diperintah’ DAP. Tidak pernah berlaku dalam sejarah, DAP yang rata-rata bukan Melayu mendapat begitu banyak kerusi menteri dan timbalan menteri ketika Pakatan Harapan (PH) berkuasa.

Pelantikan jawatan Kabinet tidak langsung mencerminkan komposisi penduduk. Semua ini berlaku gara-gara DAP mendapat majoriti agak besar kerusi Parlimen.

Suka atau tidak, jasa katak terhadap negara ini memang tidak dapat dinafikan. Sekiranya katak tidak ‘melompat’ melalui Langkah Sheraton, mana mungkin UMNO menjadi seadanya hari ini. Rasailah tempoh 22 bulan itu sehingga tamat lima tahun.

Jika lupa, biar saya ulangi, kemelut politik melalui Langkah Sheraton telah membawa kepada peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri (PM) ketujuh dan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM kelapan.

Peristiwa ini membawa kepada tumbangnya kerajaan PH selepas berkuasa selama 22 bulan berikutan kemenangan mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Pada 16 Ogos 2021, kemelut politik katak ini berpanjangan membawa kepada peletakan jawatan Muhyiddin sebagai PM.

Ini seterusnya membawa kepada pelantikan PM kesembilan daripada UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. UMNO yang kalah dalam PRU14, dengan izin Allah SWT, boleh kembali berkuasa selepas 22 bulan. Ajaibkan?

Tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia, sesebuah negara bertukar tiga PM/Presiden dalam tempoh kurang tiga tahun tetapi Malaysia berjaya memecahkan rekod. Malaysia boleh!

Mana mungkin Ismail Sabri boleh menjadi PM sekiranya tidak ada katak-katak ini? Justeru, berterima kasihlah juga kepada mereka. Mana mungkin melompat ketika mereka cukup selesa, berada dalam kerajaan. Namun, itulah yang mereka lakukan. Mesti mereka ada sebab tersendiri.

Salah satu sebab yang saya boleh fikirkan adalah lompatan ini berlaku disebabkan mereka tidak mahu lebih lama duduk dalam kerajaan yang didominasi DAP. Tempoh 22 tahun itu bagaikan ‘neraka.’

Saban hari kedengaran Islam dipijak dan diinjak. Proses untuk ‘memalaysianmalaysiakan’ amat ketara.

Bayangkan, tanpa lompatan ini, PH terus berkuasa selama lima tahun. Dalam tempoh itu, macam-macam boleh berlaku. Baik bertukar jahat, jahat bertukar baik.

PH boleh lakukan apa sahaja untuk membenam kebangkitan UMNO, seperti yang dilakukan dalam tempoh singkat 22 bulan sebelum tumbang.

KRONI

Hebat PH. Dalam tempoh singkat, mereka berjaya membuat ‘pembersihan’ luar dan dalam kerajaan. Boleh dikatakan habis semua lantikan dalam kerajaan terdahulu, ditamatkan dan digantikan dengan orang mereka.

Paling ketara, ketua-ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditukar. Tidak ketinggalan, hampir semua naib canselor dan pengurusan tertinggi universiti awam ditukar. Begitu juga institusi perundangan dan kehakiman, diganti dengan orang-orang mereka.

Syarikat kroni parti yang berkepentingan dengan kerajaan paling teruk terjejas. Dari mana parti terbabit mahu dapat lagi sumber dan dana apabila syarikat kroni sudah tidak mendapat projek dan tender?

Hari ini, pergilah ke pejabat kerajaan, melambak permohonan syarikat parti dan kroni parti itu berada di atas meja, menunggu untuk diluluskan.

Begitulah cepat dan pantas PH melakukan kerja apabila mendapat kuasa walaupun tanpa pengalaman banyak seperti UMNO yang berkuasa lebih 60 tahun.

Paling sedih, apabila tumbangnya PH, kita tidak lakukan pembersihan sama seperti PH buat. Kita berpegang kepada konsep don’t rock the boat, kononnya mahu menjadi malaikat.

Kesannya dirasai hingga kini, begitu ramai lagi saki-baki orang PH berada di dalam dan luar kerajaan yang menjadi duri dalam daging.

Banyak keputusan dan tindakan mereka yang tidak mesra kerajaan, lebih-lebih lagi mesra Islam. Paling ketara, institusi kehakiman, banyak kes berkaitan maruah Islam tercalar.

Bayangkan jika PH tidak tumbang dan terus berkuasa dalam tempoh lima tahun. Sudah pasti pembersihan yang mereka lakukan sampai ke peringkat maksimum.

Mereka boleh lakukan apa sahaja sehingga ada parti menjadi benar-benar lumpuh dan miskin, tidak mustahil menjadi papa kedana. Allah SWT sahaja yang tahu.

Dalam kata lain, walaupun ada yang berkata ketika PH memerintah 22 bulan bagaikan neraka, tidak mustahil PH boleh tukar neraka kepada ‘syurga’ jika masa lebih lama diberikan. Pendek kata, dalam tempoh lima tahun, banyak perkara boleh dilakukan ketika ada kuasa.

Tidak mustahil jika PH masih berkuasa, segelintir pemimpin parti yang sedang dibicara sekarang sudah berada dalam penjara kerana kes-kes mereka dipercepatkan untuk dijatuhkan hukuman.

Hari ini, ada yang masih bebas dan menikmati udara nyaman sementara menunggu keputusan. Seseorang yang dituduh itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Semua itu boleh dilakukan segera, jika ada kuasa.

Sebab itulah, berpada-padalah apabila menuding jari kepada saudara seagama yang melompat seperti yang disasar kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Saya bukanlah penyokong Bersatu tetapi tetap menghargai tindakan mereka menyelamatkan negara.

Benar, tindakan melompat ini tidak beretika. Prinsipnya, memang kita tidak suka kepada lompatan ini. Namun, disisi lain ada baiknya.

Tanpa katak ini mana mungkin UMNO berada di kedudukan sekarang? Mana mungkin MCA akan mendekati UMNO ketika susah.

Yakinlah, sebenarnya ada banyak hikmah tersembunyi di sebalik semua ini. Paling ketara, negara berjaya diselamatkan daripada malapetaka lebih besar. Allah SWT masih memberi peluang kepada kita. Bersyukurlah. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah ialah Pensyarah di Pusat Pengajian Teras, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×