SUDAH sampai masa kita mengubah tanggapan sesetengah pihak bahawa kitab suci al-Quran diturunkan hanya untuk dibaca dan dihafal.
Penurunan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW bukan semata-mata untuk dibaca dan dihafal malah ia juga bertujuan supaya umat Islam dapat menghargai dan mengamalkan segala panduan dan perintah yang termaktub di dalamnya.
Tanggal 17 Ramadan setiap tahun iaitu pada hari ini, umat Islam di serata dunia menyambut satu peristiwa besar dan penting dalam sejarah kewujudan agama Islam itu sendiri iaitu peristiwa turunnya kitab suci al-Quran.
Peristiwa berkenaan yang juga lebih dikenali oleh umat Islam sebagai nuzul (turun) al-Quran merupakan peristiwa diturunkan ayat al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad SAW yang dibuat secara berperingkat-peringkat sehingga ia menjadi lengkap sebagaimana kitab suci seperti yang kita kenali pada masa kini.
Perkataan nuzul juga mempunyai persamaan dengan maksud berpindah dari atas ke bawah. Peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira berhampiran kota suci Mekah.
Kitab suci al-Quran merupakan satu kitab panduan hidup manusia dan rujukan utama umat Islam di serata dunia di samping sunnah Rasulullah SAW.
Bagi umat Islam yang benar-benar menghayati kitab suci terbabit, al-Quran iaitu kalimah Allah SWT bukan sekadar pusaka peninggalan Rasulullah SAW semata-mata.
Mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW yang diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun ini, diamanahkan supaya umat manusia dapat mengenali, mempelajari, menghayati, mendalami dan seterusnya mengamalkan segala yang terkandung di dalamnya.
Allah SWT berfirman di dalam al-Quran melalui surah Yunus ayat 57 yang bermaksud: “Wahai manusia! Sungguh, telah datang kepadamu pelajaran (al-Quran) dari Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.”
Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita semua bahawa terdapat pelbagai bentuk panduan dan bimbingan penting yang dibawa melalui kitab suci al-Quran khusus kepada umat Islam dan manusia keseluruhannya di peringkat global.
Melalui kitab suci al-Quran, kita dapat mempelajari sejarah silam kehidupan manusia di masa lampau dan ia menjadi panduan dan bimbingan kepada kehidupan kita semua pada masa kini.
Al-Quran juga mendedahkan kita semua mengenai pelbagai aspek kehidupan seperti pendidikan, hubungan kekeluargaan, hubungan dalam masyarakat, sains, politik, agama, undang-undang atau hukum, pentadbiran, ekonomi, pengurusan harta, kesihatan, perubatan, tatatertib (akhlak) dan lain-lain.
TAFSIRAN
Dengan terdapatnya pelbagai aspek atau perkara yang dibawa melalui kitab suci ini, ia sekali gus menjadikan al-Quran sebagai sebuah kitab yang unik serta membawa pelbagai jenis manfaat bukan sahaja terhadap umat Islam malah kepada semua manusia di serata dunia.
Adalah penting untuk diketahui, segala bentuk panduan, bimbingan dan manfaat yang dibawa melalui kitab suci al-Quran ini hanya dapat diperoleh dan dihayati sekiranya kita dapat memahami segala isi kandungan yang dibawa di dalamnya.
Selepas itu, kita hendaklah mengamalkan segala perkara yang telah dinyatakan di dalam kitab suci terbabit dalam kehidupan seharian kita.
Segala bentuk panduan, bimbingan dan manfaat yang dibawa melalui al-Quran tidak dapat dinikmati oleh kita semua sekiranya kita hanya memberi tumpuan sepenuhnya pada aspek bacaan dan hafalan kitab suci terbabit semata-mata.
Adalah penting bagi umat Islam menghargai kurniaan terbesar yang telah diberikan oleh Allah SWT ini dengan mengenali, mempelajari, memahami dan mendalami kitab suci berkenaan secara terperinci serta mengamalkannya dan bukan hanya sekadar membaca dan menghafalnya sahaja.
Untuk mengenali, mempelajari, mendalami dan mengamalkan kitab suci berkenaan adalah penting untuk kita faham mengenai segala maksud, makna atau inti pati serta tafsiran yang ingin disampaikan melaluinya.
Perkara ini adalah penting kerana kitab suci al-Quran itu sendiri telah diturunkan dalam bahasa Arab manakala umat Islam dan manusia secara keseluruhan itu sendiri adalah terdiri daripada pelbagai bangsa yang mempunyai bahasa mereka sendiri.
Tidak semua manusia dapat memahami bahasa Arab dengan fasih serta menguasainya dengan sempurna.
Adalah mustahil untuk umat Islam ataupun mana-mana umat manusia yang tidak terdiri daripada bangsa Arab untuk memahami dengan sempurna segala maksud dan makna yang terdapat di dalam kitab suci al-Quran itu tanpa mempelajari bahasa Arab ataupun mendapatkan bantuan daripada mereka yang betul-betul pakar dalam bidang tafsiran dan ilmu berkaitan dengan al-Quran.
Walaupun apa-apa kesukaran dialami, segala usaha untuk mengenali, mempelajari, mendalami dan mengamalkan apa yang telah dinyatakan di dalam kitab suci al-Quran haruslah dilakukan oleh semua umat Islam.
Ia juga amat berfaedah kepada mana-mana umat manusia yang ingin mendapatkan panduan, bimbingan serta manfaat daripadanya. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).











