BUKAN Pakatan Harapan (PH) sahaja akan tewas dua pusingan pilihan raya umum (PRU) selepas ini, sebelum konon baru kembali menguasai Putrajaya, tetapi semua parti bakal alami nasib serupa.
Ini yang harus dijadikan teladan dan iktibar. Jangan apabila meraih kuasa sahaja membentuk kerajaan, kerja selepas itu bukan lagi tunaikan manifesto yang tebal gila. Tapi lain pula jadinya yang dikerjakan. Sibuk cari salah orang lain. Salahkan kerajaan terdahulu.
Dendam kesumat menggila dengan kenyataan menggemparkan bukan-bukan dikeluarkan pimpinan kerajaan baharu. Sehingga hancur lebur begitu sahaja usaha luar biasa dan amat bersejarah menumbangkan kerajaan berkuasa lebih enam dekad.
Inilah yang terjadi kepada kerajaan PH sampai cuma terdaya berkuasa selama 22 bulan atau setahun 10 bulan sejak 9 Mei 2018.
Mana tidaknya, masuk-masuk sahaja buka pintu kerajaan, terus membesit mengatakan hutang negara mencapai RM1 trilion. Padahal, hutang Kerajaan Persekutuan waktu itu RM686.8 bilion iaitu 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Kenyataan hutang negara RM1 trilion “hanya menimbulkan keraguan terhadap pasaran kewangan, mengejutkan agensi penarafan kredit dan menjejaskan keyakinan pelabur dalam institusi negara seperti Bank Negara Malaysia”.
Masuk Ogos 2018 pun masih disebut-sebut pasal hutang dan masalah kewangan negara yang amat serius sebagai: “Betapa besarnya jumlah RM1 trilion hutang Kerajaan Persekutuan boleh dilihat sekiranya RM1 juta dibayar setiap hari, maka masa yang diperlukan untuk melangsaikan hutang RM1 trilion ialah 2,640 tahun! Ataupun bayi yang baru dilahirkan akan hutang sekeliling pinggang serta-merta sebanyak RM33,333.”
Dakwaan wang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dirompak diuar-uarkan ketika itu turut menjejaskan keyakinan pelabur berkenaan tadbir urus kewangan negara. Sehingga mengakibatkan pelabur lari dan mencatatkan aliran keluar dana asing mencecah RM38 bilion.
Pengeluaran dana asing yang berterusan keluar dari Malaysia ketika itu juga menjejaskan Bursa Malaysia sehingga kehilangan 200 mata atau bersamaan dengan kemerosotan nilai sehingga RM270 bilion.

TERUMBANG-AMBING
Masuk Mac 2019, lagi diuar-uarkan bebanan kewangan negara. PH mahu penjawat awam ‘ikat perut’. Rakyat perlu berkorban, kata mereka. Bantuan dipotong atau dimansuhkan. Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menyebabkan harga barang naik dengan lebih tinggi lagi.
Waktu itu pasaran saham merosot sehingga menjadi paling corot dalam dunia kerana menteri PH mengatakan ‘tak reti untuk berhenti berbohong’. Ramai yang ‘terbakar’ dan rugi teruk dalam pasaran saham serta unit trust.
Dividen-dividen yang dibayar oleh tabung-tabung rakyat seperti ASN/ASB dan Tabung Haji juga jatuh kepada paling rendah dalam sejarah. Harga sawit tidak pulih sehingga timbul jenaka ‘rakyat disuruh minum sesudu sehari’.
Tahun kedua PH memerintah, rakyat dihidangkan dengan prestasi merosot sebahagian menteri sehingga membawa peletakan jawatan menteri pendidikan. Janji-janji PH terus dituntut rakyat. Prestasi PH terumbang-ambing sebagai kerajaan.
Di bandar-bandar besar, pinggir bandar dan ceruk-ceruk kampung ketika menghadiri kenduri-kendara, tak kira majlis kecil besar, majlis kahwin, aqiqah anak, sambutan hari jadi, para tetamu bercerita di bawah khemah kecil dipasang dengan rumah isu satu ini sahaja – “nasib Melayu tidak terjamin hari ini”.
Kata mereka, orang Melayu sudah hilang status quo dalam menentukan untung rugi, jatuh bangun dan simpang-siur nasib bangsanya sendiri – meskipun masih membentuk bangsa majoriti dalam Malaysia.
Kefahaman mengenai kedudukan orang Melayu sebagai bangsa teras dalam kemajmukan Malaysia semakin pudar secara perlahan-lahan.
Prinsip first amongs equal atau ‘pertama di antara yang sama’ – sebagai prinsip asas pembinaan Malaysia semakin dicabar oleh pihak yang mahu menggantikannya dengan prinsip- prinsip yang lain.
Pembawaan ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkan oleh parti tertentu dan sekutunya telah mengancam, membelenggu dan meresahkan setiap tubuh dan jiwa raga orang Melayu. Sama ada di desa mahupun di pinggiran bandar, orang Melayu merasakan bahawa ‘Malaysian Malaysia’ telah mencengkam identiti dan jati diri ke-Melayuan mereka.
JANGGAL
Kemenangan PH dalam PRU14 itu seakan satu kejanggalan. Janggal kerana hari ini, apabila orang Melayu mahu membela kepentingan bangsanya, mereka dikatakan rasis dan tidak toleran. Rakyat terus menuntut teras-teras utama janji-janji PH dalam manifesto PRU14 yang lepas.
Mereka jelak dengan ‘analisis-analisis’ hutang negara, projek terbengkalai dan ‘kes-kes naik turun mahkamah’ yang kelihatan tidak diuruskan ‘rule of law nya dengan baik’.
Wujud pula semasa tempoh 22 bulan PH mentadbir itu pendakwaan terpilih dan pengguguran pendakwaan. Antaranya, pengguguran sepenuhnya kes rasuah melibatkan pemimpin parti sekutu PH walaupun prosiding mahkamah telahpun berjalan dan saksi-saksi telah mula memberi keterangan di mahkamah.
Mengejutkan pula cara pengendalian kes melibatkan anggota bomba, Allahyarham Adib Mohd. Kassim. Pendedahan bekas peguam kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai campur tangan Peguam Negara di dalam prosiding inkues kematiannya selain wujudnya afidavit difailkan oleh Jabatan Peguam Negara mendeposkan (memberikan keterangan bersumpah) Allahyarham Adib tidak dipukul.
Sedangkan prosiding inkues belum pun selesai, yang didakwa menunjukkan kurang arifnya Peguam Negara mengenai perjalanan inkues dan diragui kredibiliti beliau untuk menjalankan tanggungjawab secara bebas.
Yang ketara lagi, asyik bergaduh sesama sendiri setiap hari. Tidak ada kisah lain. Berebut kuasa, berebut kuasa. Mahu jadi PM, mahu jadi PM.
Dan di saat-saat ‘menghembuskan nafas terakhir’ Februari 2020, PH kalah kesemua lima daripada enam pilihan raya kecil (PRK) di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis, kecuali Sandakan yang dipertahankan DAP.
Banyak flip flop berlaku semasa kerajaan 22 bulan tempoh hari. Perlukan dua pusingan PRU lagi untuk berkuasa semula? Tepuk dada tanya selera. – UTUSAN











