Hujan tak turun pun salah DAP - Utusan Malaysia

Hujan tak turun pun salah DAP

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dikatakan DAP tidak sensitif kepada orang Melayu/Islam apabila menyokong ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD)?

ICERD tidak diusahakan oleh DAP. ICERD diusahakan oleh Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Menteri Luar). Itu tak ada dalam manifesto. Tapi dia nak usahakan dan dia pun dapat yakinkan Dr. Mahathir untuk buat ICERD.

Tapi sekarang awak tengok orang yang buat ICERD cakap saya menentang ICERD. Pas dan UMNO tahu Saifuddin buat, mengapa mereka tak ambil tindakan ke atasnya dan kenapa pula sokong dia jadi menteri?

Dia buat, kita pula yang kena tanggung. Itu yang saya cakap, semua salah DAP. Hujan turun pun salah DAP, hujan tak turun pun salah DAP.

Bagaimana pula dengan isu mengutamakan bahasa Cina dalam kenyataan akhbar Kementerian Kewangan?

Itu satu lagi fitnah. Kenyataan (rasmi) dalam bahasa Melayu tetapi kita berikan terjemahan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin kerana kenyataan itu berkaitan dengan kewangan 1MDB. Kita mahu maklumat yang tepat. Dan kita tak gunakan kepala surat kementerian (dalam terjemahan).

Bila ada menteri BN sebelum ini buat, mengapa tak jadi hal? Kadang-kadang buat hanya satu bahasa sahaja, bahasa Melayu pun tak ada. Mengapa masa itu tak jadi hal, sekarang bila kita buat mengapa jadi hal. Jadi itu lagi satu permainan fitnah.

DEEP STATE

Adakah kelemahan komunikasi kerajaan PH untuk memberi penjelasan dengan pantas ada kaitan dengan deep state (kerajaan dalam kerajaan) yang YB pernah dedahkan?

Orang dia (pem­bangkang) yang masih ada dalam kerajaan PH atau deep state, dia mainkan itu komunikasi. Sungguhpun mereka dalam kerajaan, kita menteri, mereka kerjasama dengan parti lawan untuk jatuhkan atau sabotaj kita punya program.

Orang dalaman yang mengkhianati kita termasuk Muhyiddin (ketika itu Menteri Dalam Negeri). Mengapa dia tahan kita punya orang yang dikaitkan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) bila kumpulan itu tak wujud langsung?

Mengapa DAP tidak berusaha mendekatkan diri dengan masyarakat Melayu/Islam selepas PH menang?

Kita (melalui Kementerian Kewangan) selamatkan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) daripada penyelewengan dan juga penyalahgunaan kuasa yang berlaku supaya caruman untuk pergi menunaikan haji tidak terjejas.

Kita keluarkan RM19.9 bilion dan akhirnya kita lihat sekarang Tabung Haji pulih semula. Yang selamatkan Tabung Haji ialah PH tetapi sekarang mereka tak mahu sebut lagi.

Kita juga bagi wang kepada sekolah pondok yang (kerajaan) tak pernah bagi sebelum ini. Tetapi dia tak cakap itu. Sebaliknya dia cakap mengapa awak bagi wang kepada sekolah persendirian Cina sedangkan semua sekolah pondok kita bagi lebih banyak.

Jadi itulah permainan kaum dan agama untuk buruk-burukkan DAP. Dia berjaya kerana deep state, orang dalaman yang sama-sama kerjasama dengan mereka.

MELAYU DIPINGGIRKAN

Dengan hanya seorang Melayu menang pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), ada mengatakan DAP telah meminggirkan orang Melayu?

Itu terpulang kepada pilihan wakil-wakillah. Ada banyak faktor. Jadi kalau sebut itu tentang pemilihan, saya rasa itu bukan kerana mereka tolak pemimpin Melayu, tetapi ada faktor-faktor lain.

Bagaimanapun, kita boleh lihat bahawa mereka (ahli) tidak menentang bila kita letakkan calon Melayu macam PRN Johor kita ada letak dua calon Melayu tapi hanya satu yang menang.

Jadi di sini saya rasa yang penting ialah ahli-ahli secara amnya mereka menerima pendekatan bahawa kita adalah parti untuk semua rakyat Malaysia. Dan tentu kita mesti berusaha untuk mencerminkan itu komposisi masyarakat Malaysia (dalam CEC).

Dikatakan DAP anti-Melayu/Islam tetapi yang pelik ibu pejabat DAP terletak bersebelahan masjid?

Macam kita punya staf pun ada (ramai) orang Melayu. Lihat tak, ada perempuan pakai tudung ramai. Itu tak jadi hal, tetapi kerana (orang Melayu) telah dimomokkan.

Kalau awak hadir kongres DAP, kebanyakan (ucapan) menggunakan bahasa Melayu kerana kita parti berbilang bangsa, jadi semua faham bahasa Melayu.

Dr. Mahathir sendiri pun terkejut. Beliau ada sebut, saya pergi itu mesyuarat DAP, cakap lebih bahasa Melayu daripada MCA dan MIC. Kita punya lagu parti pun dalam bahasa Melayu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×