PETALING JAYA: Sabah ‘kerugian’ sekurang-kurangnya RM80.1 juta dalam Pemberian Khas melalui geran tahunan disebabkan pertukaran kerajaan bermula Langkah Sheraton sehinggalah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih kerajaan.
Hal itu kerana, semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kerajaan diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah menggandakannya kepada RM53.4 juta pada tahun 2021 dan merancang memberi RM106.8 juta pada 2022 dan menaikkannya lagi kepada RM108 juta pada 2023.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Sepanggar daripada Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, kerajaan Persekutuan tidak perlu berbangga ketika mengumumkan geran tahunan sebanyak RM125.6 juta itu selain Kerajaan Sabah tidak perlu bersorak gembira setelah menerima dana berkenaan kerana disifatkan berlaku manipulasi dalam soal pemberian khas.
Katanya, gandaan pemberian khas berkenaan dijangka lebih besar daripada RM125.6 juta seperti diumumkan Ismail Sabri baru-baru ini, jika dasar-dasar Pakatan Harapan (PH) yang menaikkan amaun tersebut diteruskan hingga kini.
“Sejak PH memerintah lagi, kami sudah bersetuju menaikkan geran tahunan khas Sabah secara berperingkat dalam tempoh lima tahun, tetapi, apa yang berlaku pada 2020, Perikatan Nasional (PN) merampas tampuk pimpinan kerajaan Persekutuan, jadi ia tidak dapat dipenuhi.
“Sehingga berlaku siri pertukaran kerajaan di bawah Ismail Sabri, kerajaan kembali kepada nilai asal iaitu RM26.7 juta yang diberi pada 1973 dan kononnya menaikkan geran kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022,” katanya ketika dihubungi semalam.
Khamis lalu, Ismail Sabri memaklumkan, Kerajaan Persekutuan dan Sabah bersepakat dan bersetuju mengenai kajian semula pemberian khas kepada Sabah dengan menaikkan amaun bernilai RM26.7 juta sebanyak 4.7 kali (sejak tahun 1973) kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022.
Kedua-dua kerajaan antara lain akan terus berunding mengenai tuntutan 40 peratus hasil negeri Sabah dan menjalankan kajian semula pemberian khas itu untuk mendapatkan suatu amaun pemberian khas baharu yang dapat mengimbangi keperluan Sabah tanpa menjejaskan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.
Di dalam Bahagian IV Jadual Ke-10 Perlembagaan Persekutuan, Sabah berhak menerima Pemberian Khas bersamaan dua perlima atau 40 peratus daripada hasil bersih negeri dikutip Kerajaan Persekutuan.
Pun begitu, hingga kini, Sabah tidaklah mendapat 40 peratus hasil bersih negeri, namun digantikan dengan pemberian khas lain dalam tempoh lima tahun, menyaksikan jumlahnya masing-masing RM20 juta (1969), RM21.5 juta (1970), RM23.1 juta (1971), RM24.8 juta (1972) dan RM26.7 juta (1973).
Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif (UPKO), Nelson. W. Angang berkata, Sabah sepatutnya bertegas sebarang kajian semula dan persetujuan mengenai Pemberian Khas daripada Kerajaan Persekutuan mesti berdasarkan formula 40 peratus seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan, dan bukannya melalui geran tahunan setiap lima tahun.
Katanya, dibimbangi kajian semula pemberian khas disepakati antara kedua-dua kerajaan melalui geran tahunan akan menjadi contoh duluan pada masa akan datang, yang mengakibatkan negeri itu mungkin tidak akan dapat menerima 40 peratus hasil negeri setelah kajian semula geran khas tahunan dilakukan.
Nelson turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri seolah-olah mengabaikan formula 40 peratus kutipan hasil negeri yang boleh diperoleh seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan.
“Atas dasar apakah kenaikan 4.7 kali ganda (pemberian khas) bermula dari 2022 dibuat? Adakah ia berdasarkan kepada formula 40 peratus? Jika tidak, adakah ini bermakna Sabah telah mengakui bahawa hak perlembagaan kita melalui formula 40 peratus boleh diketepikan,” katanya. – UTUSAN










