MUKADIMAH
PENGALAMAN selama 30 tahun dalam pembangunan hartanah serta pengurusan harta menjadikan jiwa DATUK NORLIZA ABDUL RAHIM cekal dan kental. Dengan pengalaman itu, beliau kini menyahut cabaran untuk terus memajukan UDA Holdings Berhad (UDA).
Dalam temu bual hampir sejam bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto, FAUZI BAHARUDIN beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO menyatakan ketegasan dalam membuat keputusan amat penting tetapi pada masa sama memerlukan kebijaksanaan dan berhemah supaya dapat bekerja secara berpasukan untuk pembangunan sektor korporat.
“Saya berani katakan kelompok yang berjaya dalam dunia korporat adalah mereka yang merangkak dari bawah, mengharungi susah payah serta mengenal selok-belok manusia dan dunia korporat yang diceburi,” katanya.
UTUSAN: Boleh kongsi perkembangan terbaharu?
NORLIZA: Kebanyakan aktiviti pada bulan Ramadan adalah memberi sumbangan kepada asnaf. Dari minggu pertama sudah banyak memberi bantuan persekolahan. Di peringkat UDA, kita sudah turun ke Kedah dan Pulau Pinang. Kita bagi di hampir setiap Parlimen di bawah program Kembali Ke Sekolah merangkumi pakaian, kelengkapan persekolahan, beg dan lain-lain.
Minggu pertama Ramadan juga sudah edarkan makanan asas seperti tepung, gula, susu, biskut kepada kumpulan berkenaan.
Sementara minggu lalu sudah turun ke Pahang, Selangor dan akan ke Pulau Pinang, Kedah, Johor dan Perak untuk memberi duit raya kepada asnaf sebanyak RM200 sehingga RM300 seorang bergantung pada bajet zakat. Selain duit raya, kita juga beri pakaian hari raya kepada kumpulan asnaf khususnya anak yatim dan berbuka puasa bersama mereka.
Selain itu, UDA membantu usahawan wanita khususnya ibu tunggal untuk menambah pendapatan sepanjang bulan mulia ini. Kita tambahkan gerai untuk bantu peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) mengembangkan perniagaan di Johor dan Perak.
Tujuan saya mudah, sekarang sempadan sudah dibuka, saya mahu usahawan terutama ibu tunggal ambil peluang berniaga dan pada masa sama mula cipta jenama sendiri. Dengan sedikit bantuan ini diharap mereka dapat menjana sumber pendapatan yang baik.
Untuk makluman, kami menyewakan gerai-gerai ini pada harga RM500 sebulan sedangkan sebelum ini antara RM7,000 hingga RM8,000. Pada saya ia sudah cukup murah sebab tujuan kita untuk bantu mereka memulakan perniagaan dan kerana itu kami tak mencari jenama besar, sebaliknya fokus kepada mereka yang baru mula berniaga.
UDA sudah 50 tahun, sudah jadi satu jenama yang kukuh. Bagaimana Datuk melihat persaingan dengan syarikat hartanah swasta?
Sewaktu terima tawaran, saya buat beberapa kajian. Bila pegang (jawatan pengerusi), misi saya adalah memastikan legasi 50 tahun ini dinaiktaraf dan dijenamakan semula. Sebabnya saya anggap UDA telah buat yang terbaik selama ini dengan memberi kemudahan perumahan, hartanah, pusat beli belah, hospitaliti kepada rakyat yang memerlukan khususnya di kawasan bandar.
Cuma ia boleh ditambah baik dari segi konsep, fasad bangunan dan servis. Orang kata UDA banyak rumah yang biasa-biasa, yang tak nampak mewah dari segi rekaan, jadi saya minta diubah suaikan supaya nampak lebih menarik ikut peredaran zaman dan dalam masa sama harga jualan perlu dikawal supaya orang ramai mampu memiliki rumah. Kita tak mahu orang kata UDA jual rumah mewah sahaja tetapi mereka juga perlu faham visi syarikat ini untuk memberi pemilikan perumahan di kawasan bandar kepada bumiputera dalam setiap kategori taraf hidup.
Sebagai pemaju perumahan, kita kena subsidi bersilang. Kalau tidak, kita tak boleh nak tanggung kos. Jadi, perlu jual sedikit elemen mahal dan perbanyakan perumahan murah. Itu cara kawal kos pembinaan untuk setiap pembinaan hartanah.
Kedua, saya sangat gembira apabila UDA sudah mengeluarkan penjenamaan baharu iaitu LIFE yang menekankan kepada legacy, integrated, finesse dan enrich.
Adakah pendekatan Datuk untuk memajukan UDA mengambil kira pengalaman 30 tahun dalam dunia korporat?
Ini memang passion saya. Saya nak pastikan UDA dilihat sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang membangunkan projek hartanah terbaik secara domestik. Saya mahu UDA setaraf, setanding atau lebih baik daripada pemaju swasta.
Untuk perubahan yang pertama akan menyaksikan setiap pembangunan kali ini ada trademark UDA yang boleh dilihat orang awam. Anda kena lihat pada masa akan datang.
Yang terdekat pula sedangkan siapkan Bukit Bintang City Center, Bandar Tun Hussein Onn Avenue 3 sementara di Pulau Pinang banyak projek sedang berjalan. Kali ini penekanan khusus kepada elemen teknologi hijau.
Bila saya masuk, projek UDA kurang dari segi landskap, nampak agak kering dan keras. Jadi, saya minta dalam bajet mesti ada 10 hingga 20 peratus kos yang memberi fokus kepada landscaping sebab nak rakyat tinggal dalam komuniti yang mempratikkan gaya hidup dan kesihatan yang baik.
Bagaimana dengan jualan hartanah UDA dalam tempoh penularan Covid-19?
Amat terkesan semasa pandemik. Jualan pada 2020 jatuh dengan agak ketara tetapi pada tahun lalu penjualan rumah naik lebih 100 peratus. Kita berjaya jual semua unit di Legasi Kampung Baru. Ini menunjukkan keperluan perumahan masih mendesak walau di fasa pandemik.
Jenis rumah pilihan pembeli?
Mestilah rumah mampu milik, sehingga kini permintaan tinggi untuk rumah jenis ini. Tetapi kalau UDA membina rumah mampu milik sahaja agak sukar untuk kembang (perniagaan). Kita perlu ada elemen seimbang, perlu ada rumah pada harga yang agak tinggi. Cuma fokus kita adalah pada rumah mampu milik dan menjual melebihi 80 hingga 90 peratus kepada bumiputera.
TANAH WAKAF
Dari mana dapat sumber tanah?
Kebanyakkan di kawasan bandar dan berminat untuk beli tanah di kawasan bandar selari dengan misi syarikat.
Bagaimana dengan pembangunan tanah wakaf?
UDA adalah perintis dalam pembangunan tanah wakaf di Malaysia dan kita juga biasa menerima anugerah pemaju hartanah terbaik dalam pembangunan tanah wakaf.
Sebanyak 2.7 peratus pembangunan UDA dari aset tanah wakaf dan kebanyakannya di Pulau Pinang dan baru ini kita akan buat di Kedah.
Pembangunan tanah wakaf sangat unik dan saya secara peribadi sangat suka dalam bidang ini sebab pertama, kalau tanah wakaf kita biar, kita tak boleh dapat sumber pendapatan kepada orang yang mewakafkan. Bila bangunkan tanah itu, ia akan memanfaatkan kumpulan yang memerlukan. Tanah wakaf ini perlu dijual kepada umat Islam. Jadi, secara tidak langsung, niat murni arwah untuk beribadah sudah dicapai. Selain itu, kita juga capai peratus geopolitik Melayu di kawasan tersebut.
Bila bangunkan tak kira di mana pun secara tidak langsung tanah sekitarnya juga akan naik (membangun). Kita bantu juga kawasan sekitar.
Dalam konsep ini keutamaan diberikan kepada asnaf. Kerana itu UDA akan perbanyakkan rumah kos rendah dan mampu milik. Perlu ingat bahawa ia hanya melibatkan kos pembinaan. Ini bukan projek nak untung banyak tetapi untuk ibadah, fardu kifayah. Kerana itu kita lebih suka membangunkan tanah wakaf.. -UTUSAN











