SAYANG anak berpada-pada, jika tidak, boleh menghancurkan masa depan mereka. Saya kongsikan kisah seorang rakan yang kini hidup dalam kesukaran, tidak mampu berkomunikasi dengan baik dan terus menerus memerlukan sokongan moral.
Faiz (bukan nama sebenar) merupakan jiran dan teman sekelas saya sejak dari bangku sekolah menengah lagi. Sikap Faiz agak berbeza berbanding rakan-rakan lain. Setiap pagi, dia akan menunggu di depan rumah saya hanya semata-mata tumpang naik kereta ke sekolah.
Nak tumpang, tiada masalah pun bahkan ibu bapa saya pun sangat berbesar hati untuk membantunya. Tapi bila suatu hari saya demam, dia yang sudah berada di depan rumah terus berjalan pulang dan tidak ke sekolah. Saya terkejut. Kenapa dia tidak sahaja terus berjalan kaki ke sekolah atau ambil teksi?
Setelah beberapa kali berkunjung ke rumahnya, barulah saya sedar bahawa Faiz tidak mempunyai komunikasi yang baik dengan adik-beradik selain terlalu dimanjakan oleh ibu bapa. Keadaan ini membentuk sikap dan keperibadian tidak mampu berdikari dan sentiasa memerlukan bantuan orang lain.
Alhamdulillah, Faiz sekarang sudah berumah tangga dan mempunyai dua orang anak. Dia bekerja sebagai buruh kontrak. Saya memuji sikapnya yang tidak memilih kerja bahkan bekerja keras untuk mencari rezeki. Namun, itu semua masih tidak mampu menghalang Faiz untuk tidak mengharapkan orang lain.
Sehingga kini Faiz masih duduk serumah dengan ibu bapa dan keadaan ini sangat merunsingkan mereka kerana terpaksa menjaga anak-anaknya. Anak-anak pergi sekolah pun kena hantarkan.
MENTAL
Ada sesetengah ibu bapa berpandangan, anak seperti ini seolah-olah mempunyai penyakit mental atau masalah tertentu. Namun, tidak sedar bahawa merekalah punca anak bersikap sedemikian.
Saya merayu, janganlah terlalu memanjakan anak dengan cara keterlaluan. Ya, saya faham, anda mungkin tidak mahu anak disakiti orang lain tapi itulah lumrah kehidupan. Takkan anak kena rotan dengan cikgu pun jadi isu? Takkanlah terpaksa keluar pejabat semata-mata nak ambil anak pulang dari sekolah. Kalau dia bersekolah menengah, kenapa tidak biarkan sahaja pulang berjalan kaki? Takut dia letih dan berpeluh?
Aduhai ibu bapa, ketahuilah bahawa sikap seperti ini sebenarnya akan menghancurkan masa depan mereka. Bayangkan sejenak, kalau suatu hari nanti anda meninggal dunia, apa akan berlaku dengan mereka nanti? Pernahkah terfikir bagaimana mereka menjalani kehidupan tanpa anda? Kita pasti rasa takut bila memikirkan keadaan ini, namun malangnya ia sudah menjadi barah dalam masyarakat hari ini.
Paling penting, kalau ada kenalan seperti ini, tolonglah jangan sesekali tinggalkan mereka, sebaliknya usahalah membantu mereka. Kalau saya sendiri pun masih berusaha untuk mengubah cara hidup Faiz, mengapa tidak anda?-UTUSAN
PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.











