TUGAS dan peranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) cukup luas. Dalam istilah mudah, mereka bermula daripada daftar kelahiran (yang suatu ketika dahulu dikendalikan mereka) sehinggalah daftar kematian. Malah, urusan menggali semula kubur bagi meneruskan penyiasatan juga membabitkan agensi penguatkuasaan itu.
Malangnya, masyarakat agak susah untuk mengucapkan terima kasih.
Polis cenderung terus dihukum apabila membuat sesuatu kesilapan atau mengambil tindakan yang tidak menyebelahi kepentingan mereka. Yang peliknya ‘kejayaan’ polis diukur dari sudut kesilapan dilakukan ketika menjalankan tugas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, melangkah tahun ke-215 penubuhan PDRM, agensi itu akan terus memperkasakan integriti dan mempertahankan kedaulatan undang-undang.
Hasrat PDRM untuk memperkenalkan Program Kembali Ke Pusat Latihan (Back To Training Centre) untuk pegawai dan anggota bermasalah khususnya terbabit dalam isu integriti serta moral sewajarnya diberi pujian.
Ini kerana langkah itu bertujuan memperkasa pegawai dan anggotanya melalui penerapan nilai murni bagi memastikan mereka tidak terbabit dalam isu integriti, selain bagi memberi bimbingan serta sokongan.
Ia juga mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan menjaga imej PDRM, sekali gus memberi peluang kedua kepada mereka yang tersalah langkah untuk perbaiki diri.
Dalam organisasi besar seperti PDRM, sudah tentu terdapat segelintir pegawai dan anggota bermasalah dari segi integriti serta moral.
Apa dikesalkan, masyarakat tetap menganggap gejala ini seperti sinonim dengan pasukan polis. Ia tidak adil kepada pegawai dan anggota yang bekerja keras mengekalkan integriti demi kesejahteraan dan keselamatan negara.
Mengikut bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, hanya satu peratus daripada kira-kira 100,000 anggota PDRM terlibat gejala rasuah.
Maklumat ini disahkan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad yang gigih memperjuangkan isu integriti. Sebanyak 1,571 pegawai dan anggota polis dikenakan tindakan tatatertib sepanjang 2021.
Antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak mengisytiharkan harta, mengunjungi pusat hiburan, berkahwin tanpa kebenaran, enggan menerima laporan dan meminta imbuhan.
Selain itu, terdapat juga 23 pegawai dan anggota polis direkodkan terbabit kesalahan jenayah, rasuah (18), dadah (84) dan syariah (48).
Sementara Ahli Lembaga Penasihat Pencegah Rasuah SPRM, Datuk Seri Azman Ujang berpendapat bahawa usaha melatih semula pegawai dan anggota bermasalah itu nawaitunya baik tetapi persoalannya bagaimana ia boleh dilakukan agar lebih berkesan dan efektif? Ramai berpendapat mereka akan diajar mengenai pelbagai teori dan maklumat ilmiah untuk mengekalkan integriti dalam pasukan polis.
Oleh itu, fokus program ini perlu menyemaikan aspek pendekatan agama the fear of God dan pendidikan moral bagi mempertingkat ketahanan serta jati diri supaya menjauhi amalan tidak bermoral khususnya rasuah bagi jangka masa panjang. Strategi ini sesuai di Malaysia yang mana majoriti rakyatnya beragama Islam.
Pandangan bekas Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tan Sri Ismail Ibrahim bahawa sebenarnya hal ini merupakan nilai universal. Rakyat bukan Islam menjadikan ajaran Islam sebagai nilai budaya.
Integriti sukar diajar. Ia terpahat dalam jiwa sama seseorang. Ada berpendapat doktrin agama juga tidak berupaya mengubah perasuah. Pembudayaan integriti diamalkan dalam diri sejak kecil hasil good parenting (termasuk ibu bapa menunjukkan contoh yang baik) dan sistem persekolahan baik yang boleh membantu membentuk akhlak serta peribadi yang baik dalam membentuk pembangunan modal insan masyarakat yang bencikan rasuah.
Ini disahkan teori jenayah (nature vs nurture) bahawa faktor persekitaran lebih mempengaruhi tingkah laku atau akhlak perasuah daripada keturunan. Faktor cara dibesarkan, sistem pendidikan yang boleh tingkatkan integriti dan contoh yang baik.
Bekas Duta Malaysia Datuk Yahaya Abd. Jabar berpendapat di kebanyakan negara maju yang tahap integriti sangat tinggi dan rasuah rendah, mereka tidak menggunakan cara ‘takut Tuhan’ dalam menangani isu ini. Mereka memberi keutamaan kepada sistem pendidikan dan keterbukaan pentadbiran yang membawa impak baik sedangkan di negara ini sudah lama menggunakan konsep ‘takutkan Tuhan’ tetapi masih tidak berjaya sangat seperti yang dikehendaki.
Indeks Persepsi Rasuah 2021 mendedahkan Finland dan Denmark adalah antara negara yang paling kurang rasuah sementara bagi negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendapat tempat ke-24 dan Malaysia dikedudukan 62 daripada 180 negara. Sudan, Somalia dan Syria berada di kedudukan tercorot.
Kredibiliti, pengalaman dan kepakaran tenaga pengajar juga perlu diberi keutamaan supaya ia lebih memberi impak positif kepada peserta kursus.
Untuk kelestarian, apabila tamatnya kursus pegawai atasan juga hendaklah menunjukkan contoh baik dan menjalankan tanggungjawab pengawasan kepada pegawai bawahan. Kepemimpinan melalui teladan patut ditonjolkan dan bukan sekadar cakap kosong.
Sifat amanah, telus, bertanggungjawab dan berkhidmat demi kepentingan awam menjadi inti pati kepada istilah integriti serta etika yang patut ada kepada pegawai dan anggota polis.
Dengan kata lain, integriti dan etika dalam pekerjaan serta organisasi bukan sekadar pembabitan individu untuk menyediakan keperluan diri sahaja sebaliknya membabitkan tindakan baik dilakukan dalam kerja dan semua ini mempunyai kaitan rapat dengan ajaran agama dan tanggungjawab sebagai manusia.
Adalah baik jika PDRM melaksanakan tapisan keutuhan dan keselamatan rapi terutama semasa pengambilan pegawai kanan dan untuk mengisi jawatan berisiko tinggi.
Di Amerika Syarikat (AS), ujian poligraf dilaksanakan dalam pengambilan pegawai polis, tentera, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA). Amalan itu turut dibuat di Singapura membabitkan polis, tentera, Biro Penyiasatan Amalan Rasuah, Kementerian Sumber Manusia serta pejabat pendakwa raya.
Untuk kelestarian mengekalkan integriti, mereka menjalankan ujian poligraf secara rawak dan impaknya sangat memberangsangkan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali sendiri pernah menyatakan apabila nilai integriti rapuh, ditambah dengan ruang dan peluang mendapat habuan lumayan daripada pihak berkaitan, maka kecenderungan untuk terjerumus dalam rasuah adalah besar.
Diharapkan latihan semula pegawai dan anggota dapat memperkasa integriti PDRM, sekali gus meningkatkan imej, prestasi serta kepercayaan orang ramai. Usaha bersungguh dan baik terutama dari aspek pencegahan patut diberi pujian serta sokongan sepenuhnya.-UTUSAN
DATUK Seri Akhbar Satar adalah Ahli Lembaga Institut Integriti Malaysia (IIM).











