MINGGU lalu, empat penyelam warga asing dari Britain, Perancis, Belanda dan Norway dipercayai hilang semasa melakukan aktiviti latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman. Sehubungan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Johor melalui Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria mengaktifkan operasi carilamat dengan kerjasama Pasukan Polis Marin dan Jabatan Perikanan.
Ekoran kejadian tersebut, aktiviti di laut seperti selam skuba dan selam snorkel (snorkeling) di perairan Mersing dihentikan serta-merta untuk memberi laluan kepada aktiviti carilamat dan penilaian risiko bagi memastikan tahap keselamatan pelancong.
Dua hari lalu, tiga penyelam yang hilang itu berjaya ditemui oleh nelayan tempatan di selatan Pengerang dekat Kota Tinggi. Namun, seorang penyelam disahkan meninggal dunia selepas tidak dapat bertahan akibat terlalu lemah.
Mengambil iktibar kejadian ini, Persatuan Pelancongan Mersing bersama-sama pengusaha pelancongan dan pemilik bot pelancongan mencadangkan beberapa pendekatan bagi memastikan aktiviti pelancongan marin dapat dikendalikan dengan lebih selamat dan dipantau secara lebih berkesan. Antaranya, mengadakan latihan kesedaran keselamatan di laut secara berkala kepada semua pengusaha pelancongan dan pengendali bot pelancong berlesen. Juga mengusahakan agar pemandu bot pelancong ini mempunyai kekompetenan pelaut yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut.
AIS
Selain itu, pelaksanaan penilaian risiko aktiviti di laut dengan memetakan lokasi penyelaman yang berisiko dan lokasi penyelaman menarik juga kritikal. Perancangan kepada pelaksanaan boleh direalisasikan melalui kerjasama dengan pakar-pakar universiti tempatan, contohnya Universiti Malaysia Terengganu.
Seterusnya, teknologi terkini pengesanan seperti sistem identifikasi automatik (AIS) harus diperkenalkan kepada penyelam skuba bagi memastikan kedudukan mereka sentiasa dipantau dan memudahkan pengesanan sekiranya berlaku kecemasan.
Dengan adanya cadangan-cadangan tersebut, diharapkan dapat meningkatkan tahap keselamatan dan ketersediaan pengusaha industri pelancongan khususnya di daerah Mersing menerima lebih ramai lagi pelancong dan membuka semula aktiviti-aktiviti pelancongan di laut dengan kadar segera. Adalah wajar bagi semua pihak untuk memahami situasi sebenar berhubung perkara ini agar sama-sama dapat membantu kelestarian industri pelancongan terutama keselamatan di laut seterusnya dapat meningkatkan sumber pendapatan khususnya warga tempatan di pesisir pantai. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohamad Rosni Othman ialah Dekan Fakulti Pengajian Maritim dan Pengarah Pusat Logistik & Pengangkutan Maritim Malaysia (MALTRAC), Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Penulis juga Penasihat Persatuan Pelancongan Mersing.










