Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam buat apa?

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam buat apa?

MINGGU lalu, penulis dan dua aktivis #JusticeForBella memulakan petisyen dalam talian menuntut lantikan seorang individu sebagai penasihat mahkamah kanak-kanak dihentikan serta-merta. – MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH seminggu perbicaraan jenayah terhadap tertuduh yang dikatakan menganiaya seorang remaja sindrom Down berlangsung. Bagi menghormati perintah dikeluarkan mahkamah, saya tidak membicarakan perihal fakta-fakta menyayat hati yang dibentangkan melalui keterangan saksi-saksi. Sebaliknya saya mengambil peluang ini untuk menegur beberapa pihak yang dilihat tidak menjaga kepentingan benefisiari mereka wakili.

Minggu lalu, saya dan dua aktivis #JusticeForBella memulakan petisyen dalam talian menuntut agar lantikan seorang individu berkaitan kes ini sebagai penasihat mahkamah kanak-kanak dihentikan serta-merta. Objektif kami amatlah mudah – untuk memastikan mereka yang berkaitan secara langsung dan tidak langsung disiasat secara adil dan telus agar insiden seumpama ini tidak berulang lagi.

Kebimbangan utama kami adalah kezaliman majoriti yang telah membenarkan perkara sebegini berlaku tanpa menasihati, menegur apatah lagi menghentikan nasib buruk ke atas remaja tersebut.

Amatlah membimbangkan apabila perkara sebegini berlaku sedangkan negara kita mempunyai pelbagai mekanisme untuk memastikan hak kanak-kanak terpelihara.

Bukan sahaja sebagai komitmen negara selepas meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), juga atas dasar kemanusiaan yang secara semula jadi ada dalam diri setiap warganegara.

Kemudian Parlimen menggubal pula Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611)bagi mengiktiraf wawasan sebagai negara maju sepenuhnya di mana keadilan sosial dan pembangunan moral, etika dan rohani sama pentingnya dengan kemajuan ekonomi dalam mewujudkan masyarakat madani yang bersatu padu, progresif, damai, penyayang, adil dan berperikemanusiaan.

Bahkan pelbagai pihak telah digajikan melalui cukai rakyat untuk menjaga kepentingan kanak-kanak. Kita bukan sahaja ada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dipertanggungjawabkan untuk menjamin hak dan kesejahteraan kanak-kanak bagi mencapai potensi yang optimum, kita juga ada Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak yang memberi tumpuan sebahagian besarnya kepada usaha menyokong, menasihati, menggalakkan dan melindungi hak kanak-kanak di seluruh negara.

Yang janggal pada pandangan mata saya, apabila Pesuruhjaya Kanak-Kanak tidak berasa segan untuk duduk sepentas dengan pihak-pihak relevan dalam kes ini. Meskipun benar dalam undang-undang, setiap orang adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, namun adalah lebih baik kita mengambil iktibar dalam peribahasa, awal dikenal akhir tidak, alamat badan akan rosak agar tidak terkecundang dalam pengaturan peri laku kita.

PELIK

Moraliti masyarakat menuntut kita untuk menilai baik buruk tohmahan yang dilemparkan kepada mana-mana individu secara adil dan telus. Malah, sebagai masyarakat yang hidup berpaksikan adab, kesopanan serta kesusilaan, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk saling meraikan kebaikan dan menegah keburukan. Amatlah pelik apabila seorang pakar rujuk yang dilantik memelihara kanak-kanak dilihat duduk sama tinggi dengan seorang aktivis yang terpalit dalam skandal menggoncang dunia kesukarelawanan.

Juga pelik apabila terlalu banyak percanggahan fakta yang diberikan aktivis berkenaan sehingga dilihat seperti cuba melarikan diri daripada bertanggungjawab. Dalam mana-mana kes penderaan melibatkan kanak-kanak, pengabaian sekecil mana sekalipun dianggap sesuatu yang amat kejam kerana kesan jangka panjang terhadap mangsa.

Selain itu, terdapat bukti-bukti bahawa aktivis ini bukan sahaja gagal memastikan keselamatan penghuni rumah jagaan di bawah naungannya, keseluruhan ahli jawatankuasa premis tersebut turut gagal memastikan keselarasan pendaftaran di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Lebih memburukkan keadaan apabila dasar bagi pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak itu sendiri sering disorak sebagai langkah kanan dalam menjadi negara yang lebih progresif dan peka kepada hak kanak-kanak sedunia.

Di mana suara lantang pihak-pihak yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan kanak-kanak di negara ini? Adakah mereka terus membisu sedangkan aktivis seperti kami tidak lena malam memikirkan kezaliman yang berlaku? Lebih pelik, satu-satunya kenyataan Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam kes ini hanyalah berkenaan penyebaran video dan gambar-gambar remaja tersebut di media.

Adakah Pesuruhjaya Kanak-Kanak lebih bimbang dengan imej yang tersiar berbanding tuntutan keadilan dan hak buat mangsa? Sedangkan kes yang jelas sebegini pun masih ramai yang alpa dan tidak peduli. Apalah yang boleh diharapkan dengan hak asasi jutaan kanak-kanak tanpa nama dan rupa yang tidak diberitakan di dada akhbar?

Membisu adalah membiarkan kezaliman terus berlaku dan berulang! – UTUSAN

PENULIS ialah peguam litigasi yang beramal di Kuala Lumpur dan aktivis #JusticeForBella.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×