JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menawarkan sebarang nilai dan politik moral yang lebih bermutu berbanding UMNO sebaliknya menawarkan pemimpin yang khianat kepada mandat diberikan rakyat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada 39 Ahli Parlimen yang melompat, 26 telah menyertai Bersatu termasuk dilantik menjadi menteri dan mengurus negara ini.
Sehubungan itu, kata bekas Menteri Besar Johor itu, perkara berkenaan menjadikan rakyat bingung memikirkan apa perkara yang bermoral tentang Bersatu.
“Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kerap kali mengulangi kenyataan bahawa partinya ditubuhkan untuk menggantikan UMNO. Cita-cita beliau adalah memberikan orang Melayu sebuah parti yang bebas daripada rasuah, politik wang dan salah guna kuasa.
“Bagi beliau, Bersatu adalah alternatif yang lebih baik, dipandu nilai dan mempraktikkan kepemimpinan bermoral. Namun hingga saat ini, kita tidak melihat kelainan yang ditawarkan mereka.
“Tiada ideologi yang tuntas. Tiada rencana yang luar biasa untuk bangsa dan negara. Dan tiada kepemimpinan yang mempesonakan baik dari segi ketokohan, idea mahupun ‘conviction’,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohamed Khaled, dalam soal Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang dibincangkan oleh Jemaah Menteri, kedengaran bahawa menteri-menteri Bersatu adalah yang paling lantang mengkritik cadangan kerajaan.
“Kononnya demi sebuah ketelitian dan penambahbaikan, tetapi semua orang tahu bahawa cerita sebenar adalah kerana mereka rasa terpukul dengan RUU tersebut. Merekalah punca utama keperluan RUU tersebut diusulkan untuk dijadikan undang-undang,” tegasnya.
Sementara itu, beliau turut mempersoalkan lapisan kedua pemimpin Bersatu yang dirasakan tidak dapat menanam keyakinan dalam masyarakat Melayu khususnya untuk mentadbir negara dengan baik.
“Adakah orang Melayu akan merasa yakin dengan kualiti, pemikiran dan ‘conviction’ mereka, lihat sahaja bagaimana mereka menguruskan kementerian mereka, menyantuni rakyat dan pelbagai dasar yang mereka perkenalkan.
“Semuanya menjurus kepada ‘a serious neglect of duty dan failed leadership’. Mengungkap idea besar dan cita-cita besar itu sangat mudah, namun akhirnya idea dengan kerja nyata itu adalah sangat sukar untuk diterjemahkan,” katanya.
Maka disebabkan perkara-perkara itu, Mohamed Khaled berkata, Bersatu adalah projek politik yang gagal dan tidak akan membawa bangsa Melayu ke mana-mana untuk selama-lamanya kerana Presidennya tidak mempunyai ‘conviction’ pada apa yang beliau war-warkan.
Kata beliau, secara nyata, mereka hanya ingin kuasa, bukan kesanggupan untuk perjuangan yang panjang dan suci untuk orang Melayu dan tanah air. – UTUSAN











