TIDAK semua naskhah mampu mencurah segala isinya. Namun menerusi drama Korea yang berjudul Bad and Crazy ini berjaya mengeluarkan pelbagai garapan genre. Antaranya misteri, jenayah, drama, aksi, dan komedi.
Biarpun setiap dari satu episod mengambil masa hampir sejam. Usaha saya untuk berhenti dari menonton episod seterusnya gagal! Mana tidak, penulis karya ini, iaitu Kim Sae-bom bijak dalam meletakkan elemen cliffhanger atau elemen saspens di penghujung episod.
Selain Sae-bom sebagai penulis naratif naskhah ini, visual yang diketengahkan juga memainkan peranan. Hal itu, pujian harus diberikan kepada pengarah Yeo Seon-dong dan pihak produksi Studio Dragon dan Mink Entertainment. Babak dan sudut penggambaran visual disusun kemas dan rapi, sekali gus melahirkan rasa teruja dalam menonton.
Secara ringkasnya, Bad and Crazy mengisahkan seorang polis lakokan Lee Dong-wook sebagai Ryu Su-yeol yang berkredibiliti namun mempunyai sikap cenderung melakukan korupsi dan materialistik.
Setiap usahanya untuk naik pangkat gagal setelah pelbagai cara dilakukan. Anggota Kongres Do Yoo-Gon tampil memberi satu misi sebagai peluang dan balasan untuk menggapai hasratnya.
Dalam menjalankan misi itu, Su-yeol berdepan dengan lelaki misteri bernama K, lakonan Wi Ha-joon yang turut menggagalkan usahanya. Watak K itu digambarkan seorang yang bersikap menegakkan kebenaran dan keadilan. Sehinggalah satu babak, penonton akan ketahui siapa sebenarnya K yang acap kali menggagalkan usaha Su-yeol.
Menarik juga apabila menyaksikan aksi pergelutan antara kedua-dua watak Su-yeol dan K. Dalam keterujaan melihat kelincahan mereka berlawan itu, wujud elemen komedi. Jadi, tidaklah terlalu sarat dengan elemen aksi semata-mata.
Konflik utama dan perincian proses
Penonton pastinya akan cuba untuk mencari konflik utama. Jika diperhatikan, episod awal sehingga kedua, tidak terlalu awal juga tidak terlalu lewat untuk merungkai permasalahan sebenar. Pada episod ketiga, penonton akan mula perlahan-lahan didedahkan dengan konflik utama.
Walau bagaimanapun, sehebat mana naskhah itu, pasti ada sedikit kelompongan. Biarpun naskhah ini mempunyai 12 episod, namun ada beberapa perkara kecil yang mungkin dianggap renyah. Mungkin juga sutradara hanya memfokuskan konflik utama sahaja.
Secara peribadi, ia mungkin boleh dipanjangkan lagi sehingga ke 14 atau 16 episod. Ada hal kecil yang pihak produksi dan pengarah boleh bincangkan untuk menerokai dan mengembangkan satu atau dua permasalahan supaya naskhah ini ibarat menu cukup garam.
Pada saya, Bad and Crazy berjaya mempersembahkan karya berkualiti dan berani menyampaikan mesej korupsi dalam sesebuah institusi dengan kreatif. Pastikan anda menonton karya ini di penstriman digital Netflix.











