“Sebelum saya tiba di Tajikistan, saya beranggapan ia sebuah negara yang kurang menarik dan tidak banyak peluang ekonomi untuk diterokai. Namun setelah tiba di sana, ternyata sangkaan saya meleset,”.
Itu reaksi Syarizan Md. Isa, 49, yang dikongsikan kepada saya sewaktu berkunjung ke negara itu atas urusan kerja November lalu.
Menjejaki negara itu merubah perspektif dirinya terhadap negara yang kurang dikenali dan diterokai oleh kebanyakan pelancong di dunia termasuklah dari Malaysia.
Ujarnya, Tajikistan sebuah negara yang bersih, aman dan makmur.
“Masyarakatnya peramah dan majoriti penduduknya beragama Islam. Kos kehidupan di sana pula amat rendah jika dibandingkan dengan negara kita. Matawang Tajikistan disebut Somoni dan kadar tukaran asing RM1 bersamaan TJS3.09. Purata gaji pekerja pertengahan adalah sekitar TJS1,900 atau RM615,” katanya.
Sewaktu berada di sana seminggu, Syarizan hanya menghabiskan kira-kira RM200 sahaja untuk belanja makan.
Menurut Syarizan, Dushanbe merupakan ibu negara Tajikisan dan kota ini bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong bahkan penduduk setempat.
Tajikistan kaya dengan alam semulajadi dan mempunyai bentuk muka bumi yang bergunung-ganang.
Pada waktu lapang, penduduknya suka menghabiskan masa di taman-taman rekreasi dan bunga yang banyak terdapat di bandar-bandar utama di Tajikistan. Rata-rata rakyatnya amat menghargai tokoh-tokoh kesusasteraan seperti Rudaki.
Rudaki atau nama penuhnya Abu Abd Allah Ja’far ibn Muhammad Rudaki merupakan seorang pensyair Parsi.
Beliau yang dilahirkan di Rudak, Empayar Samanid (kini, Tajikistan) pada 859 telah menghasilkan pelbagai penulisan syair dan dianggap sebagai pendiri sastera Parsi lama.
“Banyak taman dan tugu dibina bagi menghargai jasa Rudaki terhadap dunia kesusasteraan Parsi. Antara yang kekal dalam ingatan saya ialah Kubu Hissar,” katanya yang melawat negara itu atas tujuan menjalinkan hubungan antara Aquila Emas Sdn. Bhd. dan Jawatankuasa Penyiaran Radio & Televisyen Tajikistan.
Tajikistan yang suatu ketika dahulu pernah menjadi sebahagian daripada Kesatuan Soviet turut terdapat banyak binaan bersejarah seperti kubu dan istana dari zaman berbeza.
PERSAMAAN DENGAN MALAYSIA
Seminggu berada di bumi Tajikistan sukar menebak penduduk negara itu bagaimana, namun pada pandangan Syarizan, persamaan antara dua negara ini ialah majoriti penduduknya beragama Islam. Justeru menu halal mudah didadapati. Sikap warganya juga sangat ramah.
“Majoriti penduduk di sini terlibat dalam aktiviti pertanian dan penternakan. Mereka juga amat menghargai tetamu. Apa yang pasti, Tajikistan adalah sebuah negara yang selamat untuk dilawati,” tegasnya yang memasang niat untuk melancong ke s negara itu lagi.
Syarizan yang berkhidmat sebagai Pengarah Urusan dan Penerbit syarikat Aquila Emas Sdn. Bhd. berkata, kembaranya ke Tajikistan bertujuan menjalin kerjasama menerbit dan membekal kandungan kreatif TV dan filem, selain berkongsi pengalaman dalam pembangunan bakat kreatif antara kedua negara.
Bermula 1 Januari lepas, pelancong dari 52 buah negara termasuk Malaysia tidak lagi memerlukan visa merentasi sempadan Tajikistan bagi tujuan pengembaraan.
Khabar gembira itu disampaikan Duta Besar Tajikistan di Malaysia, Ardasher Qodiri yang mengatakan rakyat dari 52 buah negara dibenarkan masuk dan tinggal ke negara Asia Tengah itu dalam tempoh 30 hari.
Polisi baharu itu bertujuan memperkukuhkan hubungan antara Tajikistan dan negara-negara asing terutamanya dalam sektor pelancongan.










