PETALING JAYA: Syarikat penyedia insurans hayat dan takaful keluarga, Sun Life Malaysia telah melancarkan anugerah biasiswa “Nurturing Sun Brighter Talent”, demi membangunkan insan-insan berbakat generasi depan untuk memacu pertumbuhan syarikat, industri insurans dan takaful.
Penerima biasiswa itu adalah dua penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Nor Halizah Md. Yusop dan Hng Chong Khen daripada Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains & Teknologi.
Anugerah disampaikan di majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara syarikat itu dan UKM di pejabat cawangan 1 Utama Sun Life Malaysia, baru-baru ini.
Setiap penerima menerima biasiswa bernilai RM65,000, sijil dan MacBook. Penerima juga akan menjalani program latihan amali serta mendapat kontrak pekerjaan tetap dengan Sun Life Malaysia selepas menamatkan pengajian. Sun Life Malaysia juga akan membiayai yuran peperiksaan profesional mereka.
Penerima dipilih menerusi proses penilaian teliti termasuk temuduga dan sesi pembentangan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Sun Life Malaysia untuk menilai keupayaan akademik, ciri kepimpinan dan kemahiran insaniah masing-masing.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden/Ketua Negara Sun Life Malaysia, Raymond Lew, syarikat menganggar modal insan sebagai aset paling berharga.
“Kami sentiasa melabur dalam kakitangan kami dengan matlamat mutlak untuk membantu mereka memanfaatkan potensi penuh masing-masing.
“Menerusi biasiswa ini, selain membantu pelajar yang bercita-cita tinggi mengikuti pengajian impian mereka, kami juga komited untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dengan memberi bakat tempatan peluang menceburi kerjaya dalam industri insurans dan takaful,” katanya dalam kenyataan.
Raymond berkata, syarikat amat berbesar hati kerana dapat berganding bahu dengan UKM, yang memang disanjung tinggi kerana kecemerlangan penyelidikan dan kewibawaan pelajarnya.
“Dengan permintaan dan peluang baharu yang muncul di dalam industri, kami mahu menyokong aspirasi akademik pelajar dan membolehkan bakat-bakat tempatan kita untuk terus berkembang maju dalam dunia yang sedang pantas berubah,” ujarnya.
Dekan Fakulti Sains & Teknologi UKM, Prof. ChM Dr. Ishak Ahmad pula berkata, pihaknya sentiasa besungguh-sungguh dalam usaha memupuk golongan belia untuk memainkan peranan sebagai pemimpin masa depan.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Sun Life Malaysia atas sokongannya kepada UKM untuk memperkasakan generasi muda mencapai kecemerlangan akademik dan memberi peluang kepada pelajar menimba pengalaman pembelajaran menyeluruh agar pelajar bersedia menyertai industri,” katanya. – UTUSAN










