Pengundi boleh saman ahli Parlimen lompat parti?

Pengundi boleh saman ahli Parlimen lompat parti?

SEJAK 2018, seramai 39 ahli Parlimen di negara ini telah melompat parti. – JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADAKAH pengundi mempunyai hak untuk menyaman ahli Parlimen yang melompat parti? Ini adalah persoalan berlegar-legar di minda pengundi yang jelas inginkan sesuatu yang konkrit dalam pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti 2022 di Parlimen pada 11 April ini.

Gejala politik lompat melompat termasuk mengosongkan kerusi tanpa sebab membuatkan pengundi hilang keyakinan. Memang sebelum ini, ada parti yang ditinggalkan memfailkan saman terhadap bekas ahli Parlimen mereka bagi menuntut ganti rugi kerana didakwa melanggar kontrak, amanah dan mendapat kekayaan yang tidak sepatutnya.

Kalau ikutkan undang-undang sivil, rakyat ada hak untuk menyaman sesiapa pun andainya difikirkan diri teraniaya, ditipu serta tidak bertanggungjawab, mungkir janji dan tidak amanah termasuk wakil rakyat yang dipilih. Namun, ini bukan setakat perihal ahli Parlimen yang belot, boikot, tidak setia, mempunyai agenda tertentu dan kepentingan diri sendiri tetapi di bawah Perlembagaan Persekutuan, pengundi mempunyai hak kukuh memainkan peranan besar dalam menyuburkan dan menggerakkan sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan.

Dalam hal ini, pengundi tertanya-tanya, adakah dalam draf akhir RUU ini bahawa pengundi mempunyai hak untuk menyaman ahli Parlimen yang jelas telah mengkhianati pengundi di kawasan masing-masing? Apakah akan ada usaha untuk memasukkan hukuman sewajarnya di bawah fasal RUU baharu ini terutama untuk menyaman ahli Parlimen yang dilihat ada rasional dan sangat wajar sekali? Ini kerana pilihan raya merupakan medan bagi rakyat memberi keabsahan kepada sekelompok individu iaitu wakil rakyat diberikan mandat untuk membawa suara mereka dan memerintah negara.

Ironinya, adakah sangat wajar pengundi dikhianati begitu sahaja apabila melihat wakil rakyat mengumumkan untuk keluar tidak kiralah melompat ke parti lain atau mengisytiharkan sebagai ahli Parlimen Bebas? Malahan ada ahli Parlimen meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada ahli politik lain sehingga menyebabkan berlaku pilihan raya kecil. Adakah justifikasi sebegini diambil kira dalam RUU baharu ini?

Sebenarnya pengundi sangat terkesan dengan peristiwa peralihan kuasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Seolah-olah ditikam dari belakang, seolah-olah dihina tanpa perikemanusiaan dan pengundi dianggap tidak penting dalam memenangkan wakil rakyat yang dipilih atas pelbagai sebab dan faktor.

Sejak 2018, sebanyak 39 ahli Parlimen di negara ini telah melompat parti. Akibat tindakan melompat parti ini juga membawa kepada ketidakstabilan politik malah negara menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri dalam satu penggal Parlimen.

SUIS

Rakyat berkehendakkan sebuah kerajaan yang stabil bagi mengusahakan pemulihan ekonomi sesegera boleh serta mengembalikan tahap kesejahteraan kesihatan awam sejak tsunami Covid-19 melanda dunia hampir tiga tahun.

Menerusi RUU ini, sedikit sebanyak perlu diingatkan terutama kepada ahli Parlimen sedia ada atau bakal calon wakil rakyat bahawa pengundi adalah pemegang kuasa. Suis kunci kuasa terletak di tangan pengundi terutama dalam PRU15 kelak serta pilihan raya seterusnya.

Situasi sekarang ialah pengundi lebih mementingkan pembangunan nyata yang dijanjikan oleh pemerintah. Lihat sahaja Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini, ia adalah mesej jelas daripada pengundi.

Ini selari dengan pandangan sarjana Barat, J. Colemen dalam bukunya, Foundations of Social Theory yang mana pengundi boleh membuat pilihan rasional, matlamat dan membawa kepada proses pemilihan berkaitan dengan ekonomi, pentadbiran dan pembangunan yang mapan.

Agak menarik teori identifikasi diperkenalkan Angus Campbell dalam bukunya, The American Voter yang menekankan pengundi juga mengundi berasaskan ikatan dan kesetiaan terhadap sesuatu parti. Namun, ikatan pengundi terhadap sesuatu parti tidak bersifat mutlak dan boleh berubah berdasarkan faktor calon dan isu.

Ini bermakna tingkah laku pengundi menjadi asas untuk memahami kehendak rakyat, seterusnya menjelaskan persoalan sebab-sebab seseorang mengundi dan faktor-faktor yang mempengaruhi pilihan calon.

Ahli Parlimen yang menang wajar memahami tingkah laku pengundi yang perlu dihormati dan sangat kompleks ini. Andainya setiap wakil rakyat menjiwai keikhlasan, kejujuran dan kerelaan pengundi yang keluar mengundi berdasarkan fakta yang mana menurut dalam buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir, setiap rakyat yang berdaftar sebagai pemilih berhak untuk mengundi dalam mana-mana pilihan raya, setiap pengundi berhak memperoleh sekurang-kurangnya satu kertas undi dan tidak boleh dihalang daripada menunaikan tanggungjawab mereka.

Di samping itu, pengundi tidak boleh dihalang daripada memasuki pusat pengundian, majikan perlu memberi cuti atau pelepasan waktu untuk pekerja mengundi, orang kurang upaya (OKU) berhak mendapatkan kemudahan yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengundi dan banyak lagi kuasa.

Ini bermakna wakil rakyat yang faham akan hak seorang pengundi, sudah tentu perkara berkaitan lompat parti tidak timbul sama sekali.

Tetapi perkara itu masih lagi tidak difahami dalam kalangan ahli politik dan parti yang diwakili mereka sehingga memaksa satu ikatan undang-undang perlu dilaksanakan dalam membendung isu sosial politik ini. Yang nyata, sejarah bakal dicipta untuk kemenangan pengundi dan rakyat sebenarnya sebaik sahaja RUU Anti Lompat Parti 2022 diluluskan di Parlimen. – UTUSAN

PENULIS ialah bekas Setiausaha Kaukus Kesejahteraan Rakyat, Dewan Negara dan bekas Pegawai Penyelidik kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang berpengalaman lebih 17 tahun dalam institusi Parlimen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×