Aisar Khaled sudah insaf, mahu timba ilmu mantapkan lakonan - Utusan Malaysia

Aisar Khaled sudah insaf, mahu timba ilmu mantapkan lakonan

AISAR Khaled semakin menyerlah dalam bidang lakonan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUT sahaja nama pempengaruh Aisar Khaled, rata-rata pasti mengenali jejaka tinggi lampai ini. Mana tidaknya, kehadiran bintang muda itu sering terpalit dengan kontroversi yang seakan-akan dicipta sendiri. Bahkan, dia ibarat kebal dengan segala tohmahan, dan kecaman serta kritikan umum.

Kalau diimbas, tentu saja khalayak masih segar ketika dia melakukan kandungan untuk salurannya dengan menziarahi pusara Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.

Selain itu, meriah di media sosial bila mana dia mengislamkan beberapa individu. Bukan itu saja, Aisar sembahyang di tempat terbuka yang kurang sesuai.

Begitu pun, ketika ditemui, kongsi jejaka berusia 22 tahun itu, pengalaman mendewasakan dirinya.

“Macam-macam hal sudah berlaku. Jadi, saya ambil pengajaran daripada setiap pengalaman dan insiden itu sebagai pengajaran.

“Insya-Allah lepas ini taklah. Saya nak fokus industri lakonan dan perlahankan sedikit kandungan yang mengundang kontroversi.

“Saya tidak merancang pun untuk mewujudkan sebarang kontroversi, malah tak fikir ke depan kesannya ketika itu,” akui anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu.

Mengambil peluang dan kesempatan waktu, Aisar yang pemurah dengan senyuman itu memohon ampun maaf atas kekhilafannya.

“Saya minta maaf dengan apa yang pernah saya buat sebelum ini. Saya terima teguran semua dan saya juga maafkan.

“Janganlah benci terlalu lama, bagilah peluang,” luahnya.

Filem pertama
Sebelum terjun ke bidang lakonan, umum mungkin sudah sedia maklum, Aisar aktif dengan pembabitan promosi atau pun kempen dan jenama produk.

Tidak lama selepas itu, dia disunting oleh pengarah terkenal, Michael Ang untuk berlakon menerusi drama pertamanya, Chandelier.

Terbaharu, Aisar bersetuju untuk terlibat dalam filem Gila Gusti genre aksi komedi yang menyaksikan sisi lainnya.

“Lazimnya saya terbabit dalam naskhah percintaan. Baik dalam telefilem mahu pun drama bersiri. Kali ini, aksi komedi, sebab itulah saya mahu cuba,” ujarnya.

Sebagai informasi, antara pembabitan menerusi drama bersiri lain seperti Lelaki Lingkungan Cinta dan Misteri Wak Leman dan Ijam.

Mengulas keseronokkan bergelar pelakon, Aisar sejujurnya masih merasakan dia hanya seorang yang biasa-biasa sahaja.

“Alhamdulillah masih rasa biasa-biasa sahaja. Jumpa peminat layan sahaja,” katanya ringkas.

Bercakap tentang kehadiran lambakan pempengaruh di arena lakonan. Aisar berpesan kepada semua hendaklah mengambil tanggungjawab itu dengan serius.

“Sekarang ini produksi kalau nak menjayakan karya untuk senang popular, kuantiti seseorang pempengaruh mungkin lebih senang menarik perhatian penonton daripada pengikutnya.

“Cuma, bagi saya pempengaruh yang diberi peluang itu, buatlah betul-betul. Berlakon tak sama dengan kandungan yang dibuat seperti mana dimuat naik di media sosial.

“Sertailah kelas lakonan dan baca skrip supaya faham. Cuba hidupkan karakter watak itu,” katanya yang merancang untuk ke kelas pelakon Fauziah Ahmad Daud.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×