Puasa tingkat sel otak, tak ganggu tumbesaran - Utusan Malaysia

Puasa tingkat sel otak, tak ganggu tumbesaran

Ketajaman minda kanak-kanak tidak akan berkurang dengan melakukan ibadah berpuasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mendidik anak kecil berpuasa satu usaha terpuji. Bagaimanapun ibu bapa tidak sepatutnya terlalu memaksa kerana ia boleh memberikan tekanan kepada kedua-dua pihak.

Walaupun sudah terbukti ada anak sekecil empat tahun berjaya berpuasa penuh tetapi usia sesuai untuk belajar berpuasa sebenarnya sama dengan usia mula bersolat iaitu tujuh tahun.

Pakar Pediatrik Mawar Medical Centre, Dr. Mohd. Zaqrul Razmal Mohd. Podzi berkata, sebagai persiapan awal, ibu bapa perlu memastikan anak mempunyai tubuh badan sihat dan tidak mengalami sebarang sakit sebelum mengajak mereka berpuasa.

“Berikan gambaran bahawa waktu makan dan minum mereka bakal berubah seperti bersahur bagaikan sarapan lebih awal dan berbuka pula adalah makan lewat petang,” katanya kepada Seri.

Sama seperti orang dewasa, berpuasa memberi banyak manfaat daripada segi fizikal dan mental termasuk merangsang minda.

Tidak perlu risau kerana ibadah itu sama sekali tidak akan mengganggu tumbesaran.

Sebaliknya berpuasa mampu merangsang sifat auto fizikal iaitu membantu kesihatan anak secara fisiologi.

“Ia merangsang perkembangan lebih banyak sel otak, seterusnya meningkatkan daya otak. Dr. Mark Mattson, seorang profesor Neurologi di Universiti John Hopkins, menjelaskan puasa meningkatkan kadar neurogenesis di otak,” katanya.

Neurogenesis adalah pertumbuhan dan perkembangan sel otak dan tisu saraf baharu. Kadar neurogenesis yang lebih tinggi dikaitkan dengan peningkatan prestasi otak, daya ingatan, meningkatkan mood dan tumpuan.

Ibu bapa juga tidak perlu risau anak cepat letih di sekolah apabila berpuasa kerana kajian membuktikan ketajaman minda tidak akan berkurang dengan berpuasa.

Bila perlu berbuka?
Perubahan ketika anak berpuasa, perlu diberi perhatian.

Lemah, kurang kencing, tidak aktif dan sangat letih antara tanda anak perlu diberi kebenaran untuk berbuka puasa.

“Kalau paksa juga, anak berisiko mengalami kekurangan gula atau hiporglesemia dan hidrasi yang teruk.

“Hiporglesemia menyebabkan sawan dan merosakkan otak manakala hidrasi menyebabkan pengsan dan membawa kematian. Jangan paksa anak berpuasa jika tidak berdaya.

“Sekiranya anak muntah, sediakan makanan dan minuman yang mudah sama ada susu atau apa saja untuk mereka segera berbuka puasa,” katanya.

Dr. Mohd Zaqrul berkata, risiko itu sebenarnya boleh dielakkan sekiranya anak makan makanan berkhasiat ketika bersahur, banyak minum air dan makan buah-buahan atau kurma yang boleh membantu mereka cergas sepanjang berpuasa.

“Anak biasanya akan minta untuk berbuka waktu makan tengah hari. Pujuk anak terus bertahan. Sibukkan mereka dengan aktiviti lain atau tidur siang beberapa jam. Elakkan mereka masuk ke dapur.

“Boleh juga bagi hadiah masa berbuka nanti sebagai penghargaan dan galakan supaya mereka terus berpuasa. Orang dewasa, mengharapkan pahala tetapi kanak-kanak tidak semua faham konsep ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×